disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Jumaat, 31 Mei 2019

WASIAT SYEIKH ABDULLAH FAHIM BIN IBRAHIM رحمه الله تعالی KEPADA UMAT ISLAM.

Syeikh Abdullah bin Ibrahim bin Tahir atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Hj Abdullah Fahim r.h adalah seorang tokoh ulama nusantara yang  dikenali umum sebagai ulama yang sangat perihatin dengan nasib dan kesedaran umat Islam di Tanah Melayu kita.


Antara usaha beliau membangkitkan kesedaran umat islam khususnya bangsa melayu Islam ialah dengan menyusun satu risalah khutbah jumaat yang disusun khas untuk dibacakan dimasjid-masjid .
Ini adalah supaya umat Islam mendapat penerangan yang jelas berkenaan dengan kedudukan umat Islam pada masa beliau.

Risalah Khutbah Jumaat ini dinamakan الايقاط:Khutbah Jumaat yang dinamakan khutbah penyedar dan penggerak.Risalah ini diterbitkan pertama kali (Saya tidak pasti samada ada diterbitkan lagi atau tidak selepas itu) oleh Ustaz Ahmad Al Badawi r.h yang juga merupakan anakanda kepada muallif.

Disini saya tampilkan beberapa isi utama khutbah dalam risalah الايقاظ ini supaya dapat menyedarkan hati dan menggerakkan minda serta tindakan kita pada zaman ini.

Isi khutbah dalam risalah ini ditulis dalam bahasa arab dan diiringi dengan terjemahan Bahasa Melayu,tetapi saya hanya tampilkan  dalam Bahasa  Melayu sahaja (tanpa mengubah gaya bahasa asal )supaya meringkaskan tulisan ini dan saya susun dalam bentuk point.

Antara isi khutbah:

1. "Maka Lazimlah diatas kamu berusaha pada menyatukan kata dan bersepakat setia.

2. "Dan bahawa sesungguhnya hak-hak Tanah air kamu itu amat banyak.Maka bangun membaiki keadaan itu ialah fardhu-fardhu yang tiada boleh dinafi dan diingkarkan.
Maka bahawasanya tanah air itu seperti ibu yang dikasihi yang sangat berat pikulannya dan bebannya."

3. "Dan sesungguhnya telah mara dan maju oleh bangsa-bangsa asing dinegara kamu beberapa jauh.Dan kamu didalam negeri kamu telah mundur kebelakang semata-mata berharap pada orang sahaja.Maka alangkah bekunya semangat kamu,dan lemahnya perasaan kamu dan apalah penyegan dan malas ini."

4. "Maka alangkah malangnya dan buruknya perangai kita dengan duduk semata-mata berdakap tangan sahaja, sedangkan perbendaharaan kekayaan bumi kita ditipu daya padahal kita tidak ambil tahu.
Demi Allah sesungguhnya inilah seburuk-buruk dan sejahat-jahat kelakuan."

5. "Jika sekiranya kita periksakan dengan halusi  akan umat kita nescaya kita dapati mereka sekalian didalam hal keadaan faqir dan dhaif semuanya.Hati turut sedih memandangnya.Mata perempuan-perempuan bujang dan anak-anak yatim dan orang-orang tua serta kanak-kanak juga turut menangis melihatkan hal yang berlakunya itu."

6. "Bersungguh-sungguh kamu pada mengeluarkan mata benda bumi kamu yang berfaedah dan berharga.Dan keraskanlah keatas bangsa kamu laki-laki dan perempuan atas mengerjakan perkara-perkara yang terpuji dan jangan kamu membiarkan seseorang pun daripada bangsa-bangsa asing mencerobohkan kehormatan kamu, dengan kamu tiada mengambil endah atau peduli."

7. "Dirikanlah didalam waton kamu akan masjid-masjid dan jalan-jalan yang memudahkan bagi perusahaan kamu.Dan adakanlah sekolah-sekolah agama dan sekolah-sekolah pertukangan.Dan keluarkanlah daripada bumi kamu akan harta yang banyak".

8. "Dan hendaklah tiap-tiap seorang daripada kita berpegang diatas kebolehan diri sendiri,dan supaya janganlah pula menjadi keberatan keatas anak-anak bangsanya.Maka berusaha tiap-tiap kita sekalian semuanya berakal belaka."

9. "Bahawa tiap-tiap pemerintah atau penjaga akan ditanya daripada jagaannya atau urusannya kerana Hadis Junjungan kita telah bersabda "Tiap-tiap pemerintah itu akan ditanya daripada pemerintahannya."Maka apalah pula akan dijawab oleh pemerintah-pemerintah itu dihadapan Tuhan yang Maha Besar dan Maha Kuasa."

Demikianlah petikan daripada risalah "الايقاظ: Khutbah Jumaat yang dinamakan khutbah penyedar dan penggerak".

Pada pandangan saya risalah ini layak kita nobatkan sebagai wasiat sepanjang zaman daripada tokoh ulama yang telah memilih tarikh kemerdekaan negara kita ini iaitu Syeikh Abdullah Fahim r.h  kepada anak bangsa seagama kita khususnya dan seluruh Umat Islam di Malaysia umumnya.

Al faqir ila afwi rabbih.
Muhammad Azzam bin Ghazali
Jumaat,27 Ramadhan 1440 H.
Bunut Payung, Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.