disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Khamis, 21 September 2017

Mereka Yang Tidak Disoal di Alam Barzakh



RASULULLAH SAW sentiasa berpesan kubur itu adalah rumah pertama yang akan didiami, rumah yang didiami ketika di dunia bukanlah rumah yang sebenar. Ada golongan manusia yang dikurniakan satu kerahmatan oleh Allah SWT kepada mereka, apabila suasana di alam kubur itu di dalam keadaan yang menakutkan, tiba-tiba mereka terlepas daripada pertanyaan oleh malaikat Mungkar & Nakir. Golongan pertama yang beroleh kelebihan itu ialah mereka yang berjaga-jaga terhadap musuh. Riwayat daripada Salman, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang hidupnya berjaga-jaga terhadap musuh di barisan hadapan (perbatasan) iaitu mereka yang berjuang di jalan Allah (askar-askar). Mereka yang berjaga sepanjang malam itu, orang ini lebih baik daripada dia berpuasa sebulan”.  Pekerjaan sebagai polis, pegawai keselamatan, tentera dan lain-lain yang menjaga keselamatan orang lain daripada pihak musuh atau bahaya dengan niat kerana Allah, amat beruntung kerana berpeluang untuk beroleh keistimewaan ini.  Rasulullah juga berkata, jika mereka ini meninggal dunia, segala amalan-amalan dan pahalanya akan datang padanya, dan Allah akan memberinya rezeki terselamat daripada fitnah kubur.

Golongan kedua yang akan terselamat di dalam kubur ialah orang yang mati syahid di jalan Allah. Menurut Rasulullah mereka yang mati syahid ini ada enam keistimewaan yang dikurniakan Allah kepadanya iaitu dosanya diampuni bermula daripada  saat darahnya menitis ke bumi. Orang yang mati syahid ketika berjuang di jalan Allah ialah syahid dunia dan akhirat. Kini kita berpeluang untuk beroleh syahid akhirat iaitu bagi mereka yang mati di dalam perjalanan untuk menuntut ilmu, ibu-ibu yang mati ketika dalam proses melahirkan,  mereka yang mati lemas di dalam air atau mereka yang mati ketika sedang mencari rezeki yang halal. Keistimewaan kedua yang dikurniakan kepada mereka yang mati syahid ialah diperlihatkan kepadanya tempatnya disyurga. Seterusnya mereka akan diselamatkan daripada azab kubur, terselamat daripada gelombang yang dahsyat ketika tiba hari kiamat,  diberi mahkota kehormatan daripada batu yang  paling baik  di dunia serta isinya dan dikahwinkan dengan 72 bidadari serta dapat memberi syafaat kepada 70 orang di kalangan ahli keluarganya yang berada di dalam neraka untuk dimasukkan ke dalam syurga.


Menyambung perkongsian berkaitan golongan yang tidak akan disoal ketika berada di alam kubur, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menerusi slot Mau’izati  di IKIMfm pada setiap Khamis, 5.15 petang, menurut Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Siapa sahaja yang meninggal dunia di dalam keadaan sakit tenat, bererti dia meninggal di dalam keadaan mati syahid. Dia akan terselamat daripada fitnah kubur serta dibawakan rezeki daripada syurga pada pagi dan petang.”  Imam Qurtubi menyifatkan hadis ini bersifat umum, tetapi ia kemudian dikhususkan kepada mereka meninggal dunia akibat sakit tenat yang di akibat penyakit di dalam perut (seperti kanser) (Riwayat Ibn Majah & Al-Baihaqi).

Golongan keempat pula ialah mereka yang meninggal dunia di dalam keadaan dirinya sudah membaca surah Al-Mulk. Ibn Abbas RA menceritakan ada seorang sahabat Rasulullah SAW yang sedang berjalan, tiba-tiba dia melihat tanah yang lapang dan mendirikan khemah di situ. Rupa-rupanya khemahnya itu terletak di atas tanah kubur. Ketika berada di situ,  dia terdengar seseorang sedang membaca surah Al-Mulk sehingga khatam. Lalu dia bertanya kepada Rasulullah tentang peristiwa yang telah dialaminya. Baginda menjawab: “Itulah surah yang menghalang dan menyelamatkan dia daripada azab kubur”. Barang siapa yang membaca surah Al-Mulk setiap malam, maka ia akan membela orang yang membacanya daripada siksa kubur (Riwayat Imam Tarmizi). Ada riwayat yang menyatakan bukan hanya surah Al-Mulk yang wajar dijadikan amalan, begitu juga dengan surah Al-Kahfi dan surah Al-Baqarah.

Kemudian antara golongan lain yang terselamat di alam kubur ialah mereka yang rajin mengamalkan bacaan daripada surah As-Sajdah. Melalui riwayat Siwar Ibn Saad, Abu Ishaq yang diterima daripada al-Barraq, sesiapa yang membaca alif lam mim dan taba rakallazi biya dihil mulk di dalam surah as-Sajdah sebelum tidur, dia akan terselamat daripada azab kubur dan terlindung daripada dua penguji kubur (Mungkar & Nakir).

Golongan keenam ialah mereka yang meninggal dunia pada malam Jumaat atau hari Jumaat. Ibn Umar menuturkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang muslim yang meninggal pada hari Jumaat ataupun malam Jumaat, melainkan Allah akan melindunginya daripada fitnah kubur padanya”. Secara lebih lanjut, Al Hakim juga menuturkan, sesiapa sahaja yang meninggal pada hari Jumaat akan tersingkap tabir yang menutupi apa yang menjadi miliknya di sisi Allah, kerana pada hari Jumaat neraka Jahannam tidak dinyalakan untuk orang mukmin. Semua pintu neraka ditutup kepada orang muslim dan para penguasa di neraka tidak bekerja sebagaimana pada hari-hari lain. Jika Allah mencabut nyawa seorang hamba yang taat mengabdikan diri pada hari Jumaat, yang demikian itu merupakan tanda kebahagiaan dan kebaikan tempat kembali pada dirinya.

Golongan ketujuh yang terselamat di alam kubur ialah para siddiqun atau siddiqin iaitu para sahabat Rasulullah dan mereka yang benar-benar beriman kepada ajaran agama walaupun tidak pernah bertemu dengan Baginda. Al-Hakim menegaskan bahawa para siddiqin tidak akan disoal di dalam kubur kerana di dalam doa yang dijadikan amalan membuktikan orang yang telah diberi nikmat oleh Allah dikalangan nabi, para siddiqin, para syuhada dan mereka yang salih. Mudah-mudahan kita tergolong di antara ketujuh-tujuh kalangan mereka yang terselamat di alam kubur kelak.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 November 2015


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.