disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Ahad, 2 Jun 2019

Program Berbuka Puasa Bersama Ahli Keluarga Almarhum Paksu Hj Deris - 27 Ramadhan 1440H.

Bercakap tentang bulan ramadhan/berbuka puasa, pejam celik pejam celik dah sampai pun ramadhan terakhir. Tak terasa pun waktu berjalan. Begitulah cepatnya masa berlalu yang datang dan pergi begitu cepat sekali. Kadang-kadang bila kita mengimbas kembali, zaman kanak-kanak dan zaman sekolah terasa baru saja berlalu, malah seperti tak percaya bahawa kita semua sudah dewasa. 

Masa yang lalu semakin jauh meninggalkan kita dan ianya tak mungkin akan kembali lagi. Ia akan menjadi sejarah dalam hidup kita. Justeru itu hargailah waktu dan jangan hanya membiarkan waktu itu berlalu tanpa kita berusaha menyempurnakan kewajipan kita sebagai musafir di bumi Allah ini sebaik mungkin. Kita hanya pengembara di bumi-Nya yang hanya singgah sebentar dan akan berlalu pergi apabila tiba masanya nanti. 

Hari ni ahad 2 jun 2019 iaitu hari yang ke 28 ramadhan 1440H… anak-anak, cucu serta cicit almarhum Paksu Hj Deris telah berkumpul di rumah  Encik Mohd Hashim/Puan Hasnah di Kampung Demit Darat Kubang Kerian Kelantan untuk berbuka puasa bersama-sama. En Mohd Hashim @Pakcik Sen ialah anak keempat almarhum Paksu Haji Deris/ Maksu Hj Jah. Tiada juadah yang istimewa yang disediakan melainkan juadah tradisi keluarga kami, juadah yang biasa arwah emak kami, almarhumah Maksu Hj Jah pernah hidangkan dulu- dulu untuk seisi keluarga kami.



Foto awal 1960an

Berbuka puasa bersama ahli keluarga merupakan nikmat bulan Ramadhan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Kemesraanan anak cucu almarhum Paksu Hj Deris tidak kira usia dan kedudukan dimantapkan lagi apabila dapat menikmati juadah berbuka dalam suasana riang gembira dan gelak ketawa pada bulan yang penuh dengan keberkatan ini. 

Berbuka bersama keluarga adalah satu kenikmatan yang akan dikenang sampai bila-bila. Tentu kita masih ingat semasa kami kanak-kanak dulu, kami berebut makan untuk berbuka, kerana makanan disediakan ala kadar dan hanya cukup-cukup….semuanya licin dan pastinya jauh sekali dari membazir.  
























Kini kami sudah dewasa dan mempunyai wang sendiri, berbuka bersama keluarga adalah untuk mengerat silaturahim dalam semangat kekeluargaan sambil mengimbau kembali kenangan indah yang pernah kami lalui suatu masa dulu….yang semuanya kini jadi nostalgia indah buat kami.... Yang penting, dapat juga bersantai dengan keluarga.....yang kebanyakannya jarang-jarang berjumpa. Masing-masing sibuk dengan kerja dan tugasan lain. Ini lah masanya kami dapat berjumpa sambil makan bersama. 

Semoga Ramadhan kali ini benar-benar dapat memberikan kebaikan bagi seluruh anggota keluarga kami. Manakala untuk berbakti kepada orang tua yang sudah meninggal dunia, apa yang seharus kita lakukan ialah dengan mendoakan mereka, memohon keampunan untuk mereka, melaksanakan wasiat mereka, menghubungkan silaturahim dan menghormati sahabat karib mereka. Selain itu, salah satu cara yang terpuji adalah dengan bersedekah atau infaqkan harta yang pahalanya diniatkan untuk kedua-dua ibubapa kita.

Semoga ibu bapa kita sentiasa diberikan kebaikan oleh Allah SWT sepertimana mereka memberi segala kebaikan kepada kita sejak kita dilahirkan sehingga kini. Sesungguhnya kasih sayang serta pengorbanan ibu bapa tak mungkin dapat dibalas dengan nilaian kekayaan, kehebatan atau kekuasaan yang kita miliki di dunia ini. 

Ingatlah bahawa keredhaan ibu bapa adalah keredhaan Allah SWT...seorang anak tidak akan masuk syurga, tidak akan dapat keredhaan Allah selama mana dia tidak mendapat keredhaan dari kedua ibubapanya.   

Mengakhiri catatan kali ini dengan satu doa dari surah Al-Hashr ayat 10:



Yang bermaksud: 
Wahai Tuhan Kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami sebarang perasaan hasad dengki dan dendam terhadap mana-mana orang beriman. Wahai Tuhan kami! Sungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.