disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      
Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan

Ahad, 7 April 2024

Dua Kegembiraan Orang Berpuasa.

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

  

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قال رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ …. لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ 

 

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda… Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti…. 

(H.R. Muslim No : 1945)  Status: Hadis Sahih.

 

Pengajaran: 

1.  Bagi orang puasa, mereka akan mendapat kegembiraan ketika berbuka kerana dapat makan dan minum serta menghilangkan  rasa lapar dan dahaga selepas menahannya di siang hari.

 

2.  Kegembiraan kedua apabila dapat bertemu Allah kelak. Ia hanya akan terhasil dari puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, menjaga segala syarat, kehendak dan mengharap keredhaan Allah. Hal ini penting untuk kita meraih kegembiraan yang hakiki di akhirat dengan ganjaran keampunan.

 

3.  Bukan sekadar rasa nikmat selepas menahan lapar, iaitu tidak sekadar letih jasmani. Tapi yang kita inginkan juga nikmat rohani. Hubungan dan ikatan kita dengan Allah SWT  menerusi amalan kita. Ibadat yang benar-benar bertunjangkan keikhlasan dan kehambaan dalam menjalaninya.

 

4.  Marilah kita berusaha meraih kedua-dua kegembiraan. Kita menjaga dan melatih mulut, pandangan dan segala pancaindera yang lain agar akur kepada perintah Allah.

 

5.  Mohon jauh dari puasa yang sia-sia. Jika hanya kegembiraan yang pertama kita raih, rugi dan sia-sialah kita. Rugi juga jika hanya perut yang lapar, tapi nafsu masih sentiasa kenyang. "Dedah aurat, pergaulan bebas, asyik dengan hiburan, web lucah, mengumpat, menghina, dedah aib, berkata kotor, menyebarkan fitnah dan perkara yang tidak betul menerusi media sosial spt whatsApp, telegram, FB serta  bermacam-macam lagi dosa lain. Andai solat yang ditinggalkan, maka tiada guna seluruh puasanya".

 



Andainya ini Ramadhan terakhir buat kami...
Jadikanlah puasa kami sbg puasa yg Kau rahmati. 
Jadikanlah Ramadhan ini paling bererti, penuh dgn cahaya iman, menerangi kegelapan hati kami menuju redha serta kasih sayang Mu. 
Jadikanlah Ramadhan ini sbg penghapus segala dosa2 kami.

Ya Allah...
Terimalah amalan kami. 
Terimalah taubat kami. 
Ampunkanlah dosa kami. 
Amankanlah kehidupan kami disana nanti yg kekal abadi. 
Kurniakanlah kpd kami Syurga Mu yg maha luas nikmatnya.

Dalam keghairahan kita untuk meraikan Aidilfitri yang bakal menjelma, sewajarnya kita merenung sejenak apakah kita akan bertemu lagi Ramadhan pada tahun akan datang.

Kita sering mendengar tentang berita kematian secara mengejut yang melibatkan sanak saudara, rakan sekerja, mahupun jiran tetangga. Sebahagiannya kelihatan sihat dari segi fizikal tubuh badan, muda dari segi usia, namun tidak disangka-sangka ajal datang menjemput.

Malaikat Izrail boleh datang bila-bila masa menjemput, dalam keadaan kita tidur, menonton televisyen, maupun ketika makan di restoran mewah bertaraf 5 bintang bersama kenalan yang kaya raya. Kematian boleh datang secara tiba-tiba, di mana-mana saja kita berada, sama ada ketika kita sudah bersedia mahupun kita masih terleka. 

Oleh itu isikan usia yang masih berbaki ini untuk beribadah sebanyak mungkin dan mohon agar Allah swt ringankan setiap gerak langkah kita untuk beribadah. Gandakan ibadah dengan perbanyakkan solat sunat, ruangkan masa membaca al quran secara istiqomah. Teruskan menyumbang, bersedekah dan infak pada bulan penuh keberkatan ini dan bulan-bulan seterusnya.

والله أعلمُ بالـصـواب

 

07hb April 2024
27hb Ramadan 1445H

Rabu, 14 Februari 2024

Tarikh Mula Puasa (01 Ramadhan 1445H) - 12 Mac 2024

Alhamdulillah kita dah beberapa hari berada dalan bulan Syaaban. Tak sampai pun sebulan lagi kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan.

Bulan Ramadan menjadi bulan yang mulia dan penuh keberkatan kerana Allah SWT telah memilih beberapa peristiwa besar berlaku pada bulan ini. Ketibaan bulan Ramadhan sangat ditunggu-tunggu oleh jutaan umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Bulan yang penuh dengan pengampunan dan dilipatkali gandakan pahala amalan menyebabkan seluruh umat islam bergembira dengan ketibaan bulan yang mulia ini. 

Melihat anak bulan merupakan salah satu kaedah untuk memastikan tarikh permulaan puasa dan atau hari raya untuk umat Islam di negara ini. Sebanyak 29 lokasi di seluruh negara dijadikan tempat untuk melihat anak bulan:

  1. Pontian Kecil (Johor)
  2. Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara (Melaka)
  3. Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan)
  4. Bukit Melawati (Kuala Selangor)
  5. Bukit Jugra, Banting (Kuala Langat)
  6. Balai Cerap Selangor dan Sabak Bernam
  7. Pantai Pasir Panjang, mukim Pengkalan Baru, daerah Manjung (Perak)
  8. Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang)
  9. Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda
  10. Pemandangan Indah (Pulau Langkawi)
  11. Menara Alor Setar, Alor Setar (Kedah)
  12. Bukit Besar (Kuala Terengganu)
  13. Bukit Geliga (Kemaman)
  14. Pulau Perhentian, Besut
  15. Balai Cerap KUSZA (Mukim Merang, Setiu, Terengganu)
  16. Bukit Peraksi (Pasir Puteh)
  17. Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram (Kuala Krai)
  18. Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu. 
  19. Esplanade Luak, (Miri)
  20. Teluk Bandung (Kuching)
  21. Tanjung Batu (Bintulu)
  22. Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan
  23. Bukit Tanjung Batu (Nenasi)
  24. Gunung Berincang (Cameron Highlands)
  25. Bukit Pelindung, Kuantan
  26. Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan
  27. Menara Kuala Lumpur
  28. Pusat Konvensyen Antarabangsa
  29. Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

Anak bulan boleh dilihat pada hari rukyah yang ditetapkan setiap 29 hari bulan hijrah pada waktu matahari belum terbenam. InsyaAllah 29 Syaaban nanti, kita akan sama-sama akan dapat mengikuti perisytiharan tarikh bermula ibadah puasa bulan Ramadan bagi tahun 1445H. 

Mengikut prosedur, kesemua 29 tempat cerapan akan mencerap anak bulan Ramadhan 1445H di lokasi masing-masing bermula pada waktu Maghrib sehingga anak bulan terbenam.

Foto bersama petugas di lokasi cerapan anak bulan Ramadhan 
beberapa tahun lepas di Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu.

Selepas cerapan anak bulan dilaksanakan di 29 lokasi itu selesai, setiap lokasi akan melaporkan laporan kenampakkan anak bulan kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. 

Apabila telah menerima semua laporan daripada 29 lokasi, barulah Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan mengumumkan tarikh awal Ramadhan 1445H bagi negara Malaysia. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan tarikh awal ramadhan melalui radio dan televisyen.

Bilangan Hari Menuju Tarikh Mula Berpuasa (01 Ramadhan 1445H)


Pada 11hb Mac 2024 bila dah masuk waktu Maghrib @07:24ptg, bermulalah bulan RAMADHAN. Pada malam itu bila dah selesai saja solat fardhu isyak kita dah boleh lakukan solat sunat terawih.

Ibadah PUASA bermula bila masuknya waktu subuh @06:12pagi iaitu pada 12hb Mac 2024. 

Waktu imsak@06:02pagi iaitu sepuluh minit sebelum masuk waktu subuh kita disunatkan untuk berhenti makan dan waktu untuk kita berjaga-jaga kerana ianya menandakan waktu subuh hampir tiba. 

Waktu imsak boleh diibaratkan seperti lampu isyarat berwarna kuning di mana kita perlu bersedia untuk memberhentikan kenderaan. 


Sepanjang hari berpuasa, waktu atau saat yang paling ditunggu-tunggu oleh setiap umat Islam adalah waktu berbuka puasa. Laungan azan Maghrib @07:24petang menandakan waktu berbuka bagi setiap orang Islam yang menjalankan ibadah puasa.

Semoga Ramadhan kali ini 1445H menjadi lebih bermakna dengan mengisi acara ibadat siang dan malamnya. Kemuncak Ramadhan adalah 10 hari terakhirnya iaitu mencari malam Lailatul Qadr dan di waktu  yang sama kita cuba khatamkan al-Quran yang akan menjadi teman kita di waktu hidup dan pemberi syafaat di hari akhirat. InsyaAllah.


Bacaan Al-Quranul Karim (Lengkap 114 surah) oleh Ustaz Khairul Anuar Basri Al-Hafiz..

Khamis, 23 Mac 2023

Makluman: PROGRAM IFTAR RAMADHAN 1444H.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, Allah SWT masih berikan peluang untuk kita menemui Ramadhan pada tahun ini. Moga Allah terus kurniakan kita supaya sihat, cergas dan penuhi kehidupan kita yang masih berbaki ini dengan amal ibadah.

InsyaAllah, sebagaimana yang telah dimaklumkan, Program Iftar Ramadhan 1444H akan bermula pada 2 Ramadhan hingga 28 Ramadhan.

  1. AJK akan edarkan kupon ke 30 rumah setiap pagi untuk penerima pada hari berkenaan.
  2. Mohon sangat kerjasama Penerima untuk SERAHKAN kembali kupon tersebut kepada petugas semasa mengambil pek makanan.
  3. 1 pek makanan untuk 4 orang makan.
  4. Waktu pengambilan makanan ialah dari jam 6.00 petang hingga 6.30 petang di masjid.
  5. Penerima mesti mengambil pek makanan pada hari yang ditetapkan. TIDAK DIBENARKAN menukar hari.
  6. Menu utama yang dipersetujui ialah Nasi Arab.
  7. Biro Kebajikan Dan Hal Ehwal Mukim juga InsyaAllah akan menyediakan minuman sejuk pada setiap petang. 
Ilias Bin Mamat
(Biro Kebajikan & 
Hal Ehwal Mukim)

Pihak JK Masjid mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penaja program ini, semoga amal sedekah tuan puan diberkati Allah SWT.

Kupon Penerima Iftar

Satu pek makanan
untuk 4 orang makan



Sekian untuk makluman, terima kasih.


Hebahan:
   Ilias.

Sabtu, 11 Mac 2023

PROGRAM IFTAR RAMADHAN 1444H/2023M MASJID MUKIM PADANG ENGGANG.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, Mesyuarat Jawatankuasa Masjid Mukim Padang Enggang telah memutuskan akan mengadakan Program Iftar Ramadhan pada tahun ini sepertimana berikut:

  1. Satu Pek Makanan Berbuka Puasa untuk 30 buah rumah/keluarga setiap hari.
  2. Pembahagian Pek Makanan Berbuka Puasa bermula pada 2 Ramadhan 1444 hingga 28 Ramadhan 1444 ( 27 hari) yang dapat memanfaatkan 810 buah rumah/keluarga dalam Mukim Padang Enggang.
  3. Perbelanjaan keseluruhan untuk 27 Pek Makanan Berbuka Puasa:

3(i). RM 27.00 X 30 buah rumah 
= RM 810.00 sehari.

3(ii). RM 810.00 sehari X 27 hari 
= RM 21,870.00.

Pihak Jawatankuasa mengalu-alukan tajaan orang ramai untuk Program Iftar Ramadhan pada tahun ini. Bagi yang ingin memberi tajaan atau sumbangan iftar boleh menghulurkan sumbangan kepada:

  1. Imam Tua (Ustaz Hj Halim b. Mat Isa) atau 
  2. Bendahari (En. Md. Hassan b. Md. Ariffin)

 

PAKEJ SUMBANGAN / TAJAAN

A. Ikut bilangan rumah X RM27.
B. Ikut bilangan hari X RM810
C. Sumbangan ikhlas

Sumbangan tuan puan amat dialu-alukan dan didahulukan dengan ucapan terima kasih. Semoga sumbangan dan pergorbanan ikhlas dari tuan puan semua untuk menjayakan program ini akan menjadi amal jariah dan asbab keberkatan rezeki, dijauhkan dari musibah dan seterusnya mendapat keredhaan Allah SWT… InsyaAllah.

Daripada Zaid bin Khalid, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa"

(Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)



Hebahan oleh:
Hj. Ruzaidi B. Ismail
Biro Pembangunan Belia,
Wanita & Keluarga Solehah.

Ahad, 2 Jun 2019

Berbuka Puasa Bersama Ahli Keluarga Almarhum Paksu Hj Deris - 27 Ramadhan 1440H.

Bercakap tentang bulan ramadhan/berbuka puasa, pejam celik pejam celik dah sampai pun ramadhan terakhir. Tak terasa pun waktu berjalan. Begitulah cepatnya masa berlalu yang datang dan pergi begitu cepat sekali. Kadang-kadang bila kita mengimbas kembali, zaman kanak-kanak dan zaman sekolah terasa baru saja berlalu, malah seperti tak percaya bahawa kita semua sudah dewasa. 

Masa yang lalu semakin jauh meninggalkan kita dan ianya tak mungkin akan kembali lagi. Ia akan menjadi sejarah dalam hidup kita. Justeru itu hargailah waktu dan jangan hanya membiarkan waktu itu berlalu tanpa kita berusaha menyempurnakan kewajipan kita sebagai musafir di bumi Allah ini sebaik mungkin. Kita hanya pengembara di bumi-Nya yang hanya singgah sebentar dan akan berlalu pergi apabila tiba masanya nanti. 

Hari ni ahad 2 jun 2019 iaitu hari yang ke 28 ramadhan 1440H… anak-anak, cucu serta cicit almarhum Paksu Hj Deris telah berkumpul di rumah  Encik Mohd Hashim/Puan Hasnah di Kampung Demit Darat Kubang Kerian Kelantan untuk berbuka puasa bersama-sama. En Mohd Hashim @Pakcik Sen ialah anak keempat almarhum Paksu Haji Deris/ Maksu Hj Jah. Tiada juadah yang istimewa yang disediakan melainkan juadah tradisi keluarga kami, juadah yang biasa arwah emak kami, almarhumah Maksu Hj Jah pernah hidangkan dulu- dulu untuk seisi keluarga kami.



Foto awal 1960an

Berbuka puasa bersama ahli keluarga merupakan nikmat bulan Ramadhan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Kemesraanan anak cucu almarhum Paksu Hj Deris tidak kira usia dan kedudukan dimantapkan lagi apabila dapat menikmati juadah berbuka dalam suasana riang gembira dan gelak ketawa pada bulan yang penuh dengan keberkatan ini. 

Berbuka bersama keluarga adalah satu kenikmatan yang akan dikenang sampai bila-bila. Tentu kita masih ingat semasa kami kanak-kanak dulu, kami berebut makan untuk berbuka, kerana makanan disediakan ala kadar dan hanya cukup-cukup….semuanya licin dan pastinya jauh sekali dari membazir.  

























Kini kami sudah dewasa dan mempunyai wang sendiri, berbuka bersama keluarga adalah untuk mengerat silaturahim dalam semangat kekeluargaan sambil mengimbau kembali kenangan indah yang pernah kami lalui suatu masa dulu….yang semuanya kini jadi nostalgia indah buat kami.... Yang penting, dapat juga bersantai dengan keluarga.....yang kebanyakannya jarang-jarang berjumpa. Masing-masing sibuk dengan kerja dan tugasan lain. Ini lah masanya kami dapat berjumpa sambil makan bersama. 

Semoga Ramadhan kali ini benar-benar dapat memberikan kebaikan bagi seluruh anggota keluarga kami. Manakala untuk berbakti kepada orang tua yang sudah meninggal dunia, apa yang seharus kita lakukan ialah dengan mendoakan mereka, memohon keampunan untuk mereka, melaksanakan wasiat mereka, menghubungkan silaturahim dan menghormati sahabat karib mereka. Selain itu, salah satu cara yang terpuji adalah dengan bersedekah atau infaqkan harta yang pahalanya diniatkan untuk kedua-dua ibubapa kita.

Semoga ibu bapa kita sentiasa diberikan kebaikan oleh Allah SWT sepertimana mereka memberi segala kebaikan kepada kita sejak kita dilahirkan sehingga kini. Sesungguhnya kasih sayang serta pengorbanan ibu bapa tak mungkin dapat dibalas dengan nilaian kekayaan, kehebatan atau kekuasaan yang kita miliki di dunia ini. 

Ingatlah bahawa keredhaan ibu bapa adalah keredhaan Allah SWT...seorang anak tidak akan masuk syurga, tidak akan dapat keredhaan Allah selama mana dia tidak mendapat keredhaan dari kedua ibubapanya.   

Mengakhiri catatan kali ini dengan satu doa dari surah Al-Hashr ayat 10:



Yang bermaksud:
 
Wahai Tuhan Kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami sebarang perasaan hasad dengki dan dendam terhadap mana-mana orang beriman. Wahai Tuhan kami! Sungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.

Sabtu, 13 Julai 2013

Mengeluarkan zakat dalam bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan sememangnya waktu bagi umat Islam menunaikan zakat fitrah. Untuk tahun ini negeri kita Kelantan masih mengekalkan kadar seperti tahun sebelumnya iaitu RM7.00.

Umat Islam khususnya anak mukim Padang Enggang dinasihatkan supaya memastikan mereka membayar zakat fitrah kepada amil yang mempunyai kad kuasa dan resit bayaran yang dikeluarkan oleh MAIK (Majlis Agama Islam Negeri Kelantan).

Sebaik-baiknya menunaikan Zakat Fitrah di awal Ramadhan bagi membolehkan agihan kepada golongan yang layak disempurnakan sebelum menjelang Hari Raya Aidil Fitri.


Ibnu Umar r.a pernah meriwayatkan: Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadhan kepada setiap orang Muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahu pun perempuan. Iaitu (jumlahnya) segantang kurma atau gandum. (riwayat Imam Muslim)

Namun begitu, ulama khilaf bilakah waktu yang paling utama atau menjadi wajib menunaikannya. Sama ada di awal Ramadan, pertengahan mahu pun sejurus sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Maka dalam hal ini, fuqaha telah membahagikan waktu pembayaran zakat fitrah kepada empat segmen. Iaitu harus yang bermula dari awal Ramadhan, menjadi wajib sebelum menunaikan solat Aidilfitri, makruh seandainya dikeluarkan selepas solat dan haram selepas terbenam matahari satu Syawal.

Bagi hikmahnya pula, Ibnu Abbas r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah dengan tujuan untuk menyucikan orang yang yang berpuasa daripada perkara buruk yang tidak berfaedah dan juga sebagai bantuan kepada fakir dan miskin.” (riwayat Abu Daud)

Oleh itu, bagaimana pula statusnya zakat harta? Jika Ramadhan bulan khusus menunaikan fitrah, maka apakah zakat harta lebih baik ditunaikan pada bulan-bulan yang lain?

Zakat harta itu hukum asalnya tertakluk kepada haul. Iaitu tempoh matang terhadap pemilikan harta. Jika haulnya pada bulan Zulhijjah, maka saat itulah baharu datangnya waktu wajib mengeluarkannya sebagai zakat dan inilah waktu paling utama. Selama belum cukup masanya, maka ia dianggap harus mendahulukan zakatnya. Samalah kesnya jika kita mahu menunaikan zakat fitrah pada awal Ramadhan, ia dianggap waktu yang harus.

Jadi dalam bulan ramadhan tahun ini sama-samalah kita mengambil kesempatan melipatgandakan sedekah, termasuklah zakat. Ini sesuai dengan tindakan nabi SAW sendiri yang memperbanyakkan sedekahnya pada bulan Ramadhan. Bahkan nabi menyatakan: “Sebaik-baik sedekah itu adalah pada bulan Ramadhan.” (riwayat at-Termizi)

Ramadhan memang bulan keberkatan yang menjanjikan pahala berkali ganda dalam segala jenis amalan. Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah bahawa nabi pernah menyatakan dalam sebuah hadis yang panjang, iaitu setiap amalan sunat diganjari pahala wajib dan setiap satu amalan wajib diganjari 70 kali ganda pahalanya jika dilakukan di dalam bulan Ramadhan. Ulama hadis ada yang menyatakan hadis ini daif. Namun ia masih boleh dijadikan motivasi dalam beramal.

Maka, kita umat Islam wajar merenggut faedah bersedekah pada bulan Ramadhan dengan melebarkannya kepada zakat harta, yakni tidak sekadar zakat fitrah semata.
Bayangkan, jika kita menunaikan zakat pendapatan RM1,000 pada bulan Ramadhan, maka di sisi Allah SWT kita sebenarnya telah mendapat pahala berzakat RM70,000!

Untuk itu, sungguh pun haul kita mungkin belum sampai pada Ramadhan ini, namun kita boleh sahaja menunaikannya lebih awal demi merebut gandaan pahala ini.

Bahkan daripada aspek fiqh zakat, proses mengawalkan haul zakat ini adalah diharuskan oleh Rasulullah SAW, justeru memang sudah pernah berlaku pada zaman baginda.

Saiyidina Ali kwj menyatakan, Abbas bin Abdul Mutallib dikhabarkan pernah meminta izin daripada Nabi Muhammad SAW untuk mempercepatkan haul zakatnya, lalu Nabi Muhammad SAW telah memberikan keizinan kepadanya. (Mafhum hadis riwayat Abu Daud)

Kesimpulannya, kita hendaklah merebut segala ganjaran pahala yang begitu besar yang telah pun disediakan oleh Allah SWT dalam bulan Ramadhan dengan melakukan pelbagai sedekah sunat, seperti menaja majlis berbuka puasa, juga menunaikan sedekah wajib iaitu membayar zakat fitrah dan tidak sesekali melupakan zakat harta di sisinya.


Mudah-mudahan, puasa kita diterima Allah dan zakat kita juga digandakan pahala yang melimpah-ruah. Wallahua’lam.