Bulan Ramadhan sememangnya waktu bagi umat Islam
menunaikan zakat fitrah. Untuk tahun ini negeri kita Kelantan masih mengekalkan kadar
seperti tahun sebelumnya iaitu RM7.00.
Umat Islam khususnya anak mukim Padang Enggang dinasihatkan supaya memastikan mereka
membayar zakat fitrah kepada amil yang mempunyai kad kuasa dan resit bayaran
yang dikeluarkan oleh MAIK (Majlis Agama Islam Negeri Kelantan).
Sebaik-baiknya menunaikan Zakat Fitrah di awal
Ramadhan bagi membolehkan agihan kepada golongan yang layak disempurnakan
sebelum menjelang Hari Raya Aidil Fitri.
Namun begitu, ulama khilaf bilakah waktu yang paling
utama atau menjadi wajib menunaikannya. Sama ada di awal Ramadan, pertengahan
mahu pun sejurus sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Maka dalam hal ini, fuqaha telah membahagikan waktu
pembayaran zakat fitrah kepada empat segmen. Iaitu harus yang bermula dari awal
Ramadhan, menjadi wajib sebelum menunaikan solat Aidilfitri, makruh seandainya
dikeluarkan selepas solat dan haram selepas terbenam matahari satu Syawal.
Bagi hikmahnya pula, Ibnu Abbas r.a berkata
(maksudnya): “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah dengan tujuan untuk
menyucikan orang yang yang berpuasa daripada perkara buruk yang tidak berfaedah
dan juga sebagai bantuan kepada fakir dan miskin.” (riwayat Abu Daud)
Oleh itu, bagaimana pula statusnya zakat harta? Jika
Ramadhan bulan khusus menunaikan fitrah, maka apakah zakat harta lebih baik
ditunaikan pada bulan-bulan yang lain?
Zakat harta itu hukum asalnya tertakluk kepada haul.
Iaitu tempoh matang terhadap pemilikan harta. Jika haulnya pada bulan
Zulhijjah, maka saat itulah baharu datangnya waktu wajib mengeluarkannya
sebagai zakat dan inilah waktu paling utama. Selama belum cukup masanya, maka
ia dianggap harus mendahulukan zakatnya. Samalah kesnya jika kita mahu
menunaikan zakat fitrah pada awal Ramadhan, ia dianggap waktu yang harus.
Jadi dalam bulan ramadhan tahun ini sama-samalah kita
mengambil kesempatan melipatgandakan sedekah, termasuklah zakat. Ini sesuai
dengan tindakan nabi SAW sendiri yang memperbanyakkan sedekahnya pada bulan
Ramadhan. Bahkan nabi menyatakan: “Sebaik-baik sedekah itu adalah pada bulan
Ramadhan.” (riwayat at-Termizi)
Ramadhan memang bulan keberkatan yang menjanjikan
pahala berkali ganda dalam segala jenis amalan. Ada sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah bahawa nabi pernah menyatakan dalam sebuah
hadis yang panjang, iaitu setiap amalan sunat diganjari pahala wajib dan setiap
satu amalan wajib diganjari 70 kali ganda pahalanya jika dilakukan di dalam
bulan Ramadhan. Ulama hadis ada yang menyatakan hadis ini daif. Namun ia masih
boleh dijadikan motivasi dalam beramal.
Maka, kita umat Islam wajar merenggut faedah bersedekah
pada bulan Ramadhan dengan melebarkannya kepada zakat harta, yakni tidak
sekadar zakat fitrah semata.
Bayangkan, jika kita menunaikan zakat pendapatan
RM1,000 pada bulan Ramadhan, maka di sisi Allah SWT kita sebenarnya telah
mendapat pahala berzakat RM70,000!
Untuk itu, sungguh pun haul kita mungkin belum sampai
pada Ramadhan ini, namun kita boleh sahaja menunaikannya lebih awal demi
merebut gandaan pahala ini.
Bahkan daripada aspek fiqh zakat, proses mengawalkan
haul zakat ini adalah diharuskan oleh Rasulullah SAW, justeru memang sudah
pernah berlaku pada zaman baginda.
Saiyidina Ali kwj menyatakan, Abbas bin Abdul Mutallib
dikhabarkan pernah meminta izin daripada Nabi Muhammad SAW untuk mempercepatkan
haul zakatnya, lalu Nabi Muhammad SAW telah memberikan keizinan kepadanya.
(Mafhum hadis riwayat Abu Daud)
Kesimpulannya, kita hendaklah merebut segala ganjaran
pahala yang begitu besar yang telah pun disediakan oleh Allah SWT dalam bulan
Ramadhan dengan melakukan pelbagai sedekah sunat, seperti menaja majlis berbuka
puasa, juga menunaikan sedekah wajib iaitu membayar zakat fitrah dan tidak
sesekali melupakan zakat harta di sisinya.
Mudah-mudahan, puasa kita diterima Allah dan zakat kita
juga digandakan pahala yang melimpah-ruah. Wallahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.