disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Rabu, 8 Januari 2020

Profesor Dr Haji Muhd Kamil - Kuliah Maghrib Khas Di Masjid Mukim Padang Enggang.

Seperti yang telah diwarwarkan sebelum ini oleh Tuan Imam, Ustaz Hj Abdul Halim dan Ustaz Shahiman, jawatankuasa Masjid Mukim Padang Enggang telah menganjurkan Kuliah Maghrib Khas bersama Penceramah Motivasi yang tak asing lagi, Prof Dr Hj Muhd Kamil Ibrahim. 

Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan, anggaran kehadhiran mencecah 300 orang berpandukan bilangan saf semasa solat isyak. Mereka yang hadhir terdiri dari ahli Jemaah mukim padang enggang, pelajar-pelajar kelas al quran dewasa, pelajar-pelajar kelas al-quran kanak-kanak dan ibu bapa mereka. Terima kasih kepada En Azli, Ustaz shahiman,Hj. Johari Maybank, Hj. Hasbullah, Hj. Zahari, Cikgu Din TM, En. Harun, Pak San, En. Zulkifli PDRM dan beberapa lagi ahli qariah Masjid Mukim Padang Enggang. Atas usaha dan inisiatif merekalah program Kuliah Maghrib Khas ini dapat disempurnakan dengan jayanya.

Manusia sememangnya tidak berminat membicarakan soal kematian kerana ia sesuatu yang menakutkan. Bagaimanapun, perjalanan hidup yang kita lalui setiap hari ini sebenarnya semakin mendekatkan diri kita dengan kematian. Samaada kita mahu ataupun tidak, kematian akan tetap datang. Beringatlah, jangan sampai tiba-tiba datang kematian, segala-galanya sudah terlambat untuk menyesali apa yang telah kita lakukan ketika hidup di dunia ini.

Realiti hidup ini, setiap manusia diberikan ujian dalam pelbagai bentuk antaranya godaan hawa nafsu dan kesenangan. Tidak ada manusia yang terlepas daripada ujian termasuk orang yang beriman. Justeru itu, jangan biarkan kemewahan dan kesenangan yang dinikmati di dunia ini menyebabkan kita menjadi lalai dan lupa diri. Sememangnya di dunia ini semakin ramai manusia yang sudah mampu memperoleh segala kesenangan dan kemewahan hidup, namun jika ia diibaratkan dengan kehidupan akhirat, dunia ini umpama sebuah mimpi. Ramai manusia yang tertipu dengan permainan dunia, terleka dan hilang arah tujuan. Banyak berhibur dan lalai hingga terlupa tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah S.W.T.

Dengan mengingati mati, kita akan sentiasa bersedia untuk meningkatkan amalan kebajikan, memelihara diri dari dosa dan juga akan sentiasa mengajak orang lain membuat kebaikan. Apa yang perlu kita titik-beratkan adalah bersederhana dalam menjalani kehidupan seharian dan saling mengingatkan yang kita semua akan mati. Akhir sekali, sentiasalah motivasikan diri kita dengan mengingati pesanan Saidina Abu Bakar, "Sesiapa masuk kubur tanpa bekalan, maka seperti mengharungi laut tanpa perahu!"

Semoga kita semua dapat meningkatkan amalan agar perjalanan untuk menuju ke alam Barzakh dan akhirat akan menjadi lebih mudah.




  

  

















Kredit: Foto diperolehi dari whatsapp (NurulAmir)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.