BERDASARKAN beberapa hadis Rasulullah s.a.w., hukum
makan sahur adalah sunat. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas r.a.,
Baginda bersabda: Bersahurlah kamu, sesungguhnya dalam sahur itu ada berkat.
Dalam riwayat Abdullah bin al-Haris, salah seorang
daripada sahabat Rasulullah s.a.w. telah menceritakan ketika beliau masuk ke
rumah Nabi, Baginda sedang bersahur lalu bersabda: Sesungguhnya (sahur itu)
mempunyai berkat yang diberikan Allah kepada kamu sekalian, maka janganlah kamu
meninggalkannya.
Sahur ialah makan selepas waktu dinihari iaitu antara
pukul 3.00 pagi sehingga sebelum terbit fajar bagi orang-orang yang hendak
berpuasa pada bulan Ramadan atau pada bulan-bulan yang lain.
Bagaimanapun, waktu yang sesuai ialah selepas waktu
dinihari iaitu antara pukul 3.00 pagi sehingga sebelum masuk waktu imsak, iaitu
10 minit sebelum waktu Subuh.
Tambah beliau, imsak bererti menahan diri daripada
makan dan minum, bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari. Waktu imsak
adalah kira-kira 10 minit terakhir sebelum masuk waktu Subuh, iaitu bersamaan
dengan bacaan 50 ayat al-Quran.
Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawa sahabat
yang bernama Zaid bin Tsabit berkata: Kami telah bersahur bersama Nabi Muhammad
s.a.w. Kemudian kami mendirikan sembahyang, lalu Anas r.a. bertanya:
Berapakah jarak waktu antara kedua-duanya? '' Zaid
menjawab: Kadar membaca lima puluh ayat.''
Namun, seseorang yang makan dalam waktu imsak perlu
berhati-hati dan tidak melebihi waktu terbit fajar kerana ia bertujuan sebagai
peringatan kepada orang yang bersahur,'' katanya.
Beliau menjelaskan, tidak ada syarat-syarat tertentu
untuk bersahur, seperti tidur dahulu dan kemudian bangun untuk bersahur. Begitu
juga bersahur sekadar meminum air dan buah kurma. Memadailah jika mendapat
berkat daripada amalan bersahur.
Daripada Abu Sa'id al-Khudri, Rasulullah s.a.w.
bersabda: Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya
walaupun salah seorang daripada kamu kemudiannya meneguk seteguk air. Maka
sesungguhnya Allah s.w.t. berselawat ke atas orang-orang yang bersahur. (Hadis
riwayat Imam Ahmad)
Sekiranya terdapat buah kurma, ia adalah makanan sahur
bagi orang-orang yang beriman sebagai mana riwayat daripada Abu Hurairah,
Rasulullah bersabda: Sebaik-baik makanan sahur orang yang beriman ialah buah
tamar (kurma). (Hadis riwayat Abu daud)
Dalam riwayat yang lain pula, daripada As-Saib bin
Yazid, sabda Rasulullah s.a.w.: Sebaik-baik makanan sahur ialah buah tamar
(kurma). Baginda bersabda lagi yang bermaksud: Allah merahmati orang-orang yang
bersahur.
Bagaimanapun, sebagai bekalan tenaga sepanjang hari,
disarankan bersahur dengan makanan yang berkhasiat dan berzat supaya dapat
menahan diri daripada kelaparan dan mendapat kekuatan,'' jelas beliau lagi.
Hadis riwayat al-Hakim, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Memohonlah kamu (kepada Allah kekuatan) melalui makan sahur supaya memperoleh
kekuatan berpuasa pada siang hari.
Bangun dan berdoa pada waktu sahur sebenarnya mempunyai
barakah yang besar dan merupakan ciri-ciri orang yang bertaqwa. Firman Allah
s.w.t. dalam surah az-Zariyat, ayat 18, maksudnya: Dan pada waktu akhir malam
(sebelum fajar), mereka selalu beristighfar kepada Allah memohon ampun.
Bangun awal pagi untuk bersahur juga memberi peluang
untuk melakukan amal ibadat seperti berwuduk, berzikir, membaca al-Quran dan
menunaikan sunat tahajud dan sunat witir bagi yang belum melakukannya, ''
ujarnya mengenai hikmah bersahur.
Surah Ali Imran, ayat 17 pula, Allah menjelaskan waktu
yang sesuai untuk memohon keampunan daripada Allah s.w.t. Firman-Nya: Dan juga
orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah) dan orang-orang yang
benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiaas taat (akan
perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah)
dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.
Sahur juga merupakan salah satu daripada akhlak
Rasulullah s.a.w., sebagaimana yang terkandung dalam terjemahan hadis berikut:
`'Tiga perkara yang termasuk antara akhlak para rasul ialah bersegera berbuka
puasa, melambatkan sahur dan meletakkan tangan kanan ke atas tangan kiri ketika
dalam sembahyang.
Perbezaan antara puasa orang Islam dengan ahli kitab
terkandung dalam hadis riwayat Muslim, sabda Baginda: Perbezaan antara puasa
kita (umat Islam) dengan puasa ahlul kitab ialah makan sahur.
Menurut Ibn Hajar al-'Asqalani, pengarang kitab Fath
al-Bari dan Imam an-Nawawi di dalam kitab Sahih Muslim, bahawa sahur yang
memberi keberkatan ialah memperoleh balasan dan ganjaran pahala daripada Allah
s.w.t. dan mengikut sunah Nabi Muhammad s.a.w.
Sahur juga menghalang perbuatan-perbuatan tidak sopan
yang dipengaruhi oleh kesan lapar pada siang hari, selain memberi kekuatan
untuk beribadat bagi menghadapi rasa lapar dan dahaga pada siang hari,'' ujar
beliau tentang kelebihan-kelebihan bersahur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.