disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Jumaat, 28 Jun 2019

Selamat Berangkat Ke Tanah Suci - Saudara Hasbullah Dan Isteri

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Pertama sekali marilah sama-sama kita perbanyakkanlah lafaz rasa syukur kerana kita semua telah dilahirkan sebagai seorang Islam dan dapat merasai nikmat Iman dan Islam kerana tanpanya maka teramat rugilah kita lahir didunia ini. 

Apabila sudah sampai seruan untuk menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci samaada bagi mengerjakan umrah atau haji, tunaikanlah tuntutan itu kerana InsyaAllah dengan izin-Nya, semua urusan serta perancangan berjalan lancar. Kepada sebahagian kami yang masih belum ada kesempatan atau peluang untuk menunaikan rukun islam yang kelima ini, sentiasalah memohon kehadhrat Allah SWT tanpa jemu, InsyaAllah akan tiba masanya juga nanti. 

Alhamdulillah, sahabat kami saudara Hasbullah Mohd Tajuddin dan isteri telah dijemput menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Mereka dijadualkan akan berangkat ke Tanah Suci dengan penerbangan yang pertama pada hari khamis - 4hb Julai 2019. 
Seusai Solat Isyak tadi, kami ahli qariah masjid Padang Enggang bersama imam tua dan imam muda telah dijemput untuk menghadhiri majlis solat hajat yang diadakan di kediaman beliau. Majlis solat sunat hajat diimamkan oleh imam muda ustaz Shahiman. Majlis diakhiri dengan jamuan nasi kerabu special dan pelbagai juadah lagi yang disediakan oleh tuan rumah yang kebetulannya hari ini 23 syawal 1440, walaupun berada pada penghujung syawal.... kami masih lagi dapat merasai aura dan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri.





Ya Allah, kami mohon kepadaMu cetuskanlah rasa ketaqwaan kepadaMu dalam hati bakal haji ini dan semoga ianya jadi amalan mereka setiap masa. 

Ya Allah, permudahkanlah segala urusan di dalam perjalanan mereka ini dan jadikanlah ia seumpama perjalanan yang dekat. 


Ya Allah, Enkaulah Penjaga mereka di dalam perjalanan samada di darat atau di udara dan juga penjaga terhadap keluarga dan harta-benda semasa ketiadaan mereka. 


Ya Allah, lindungilah mereka daripada kesukaran dalam perjalanan, daripada keadaan yang mendukacitakan dan daripada keburukan pada harta dan keluarga mereka. Sesungguhnya Engkaulah Maha mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Engkaulah Yang Maha berkuasa atas segalanya. Hanya kepada-Mu Ya Allah kami bermohon dan kami berserah. 

Kami warga Mukim Padang Enggang ucapkan selamat menjalani ibadah haji buat Saudara Hasbullah dan isteri semoga beroleh haji yang mabrur dan seterusnya selamat kembali ke tanah air. Semoga semuanya selamat dengan keizinanMu jua ya Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.