disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      
Memaparkan catatan dengan label Palestin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Palestin. Papar semua catatan

Sabtu, 26 Januari 2013

Cakna Palestin di Masjid Mukim Pdg. Enggang - 25 Jan 2013.

RM 2, 410. Terima kasih kepada semua jemaah Masjid Mukim Padang Enggang kerana sudi menderma untuk tabung Cakna Palestin tadi. Terima kasih juga buat AJK masjid yang memberi ruang kepada ambo untuk berkongsi sedikit sebanyak tentang Isu Pelestin dan hubungkaitnya dengan semua ummat Islam. Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Imam tadi pun jeligho molek. Malam ni ada khemah jualan barangan Cakna Palestin, tayangan video Palestin dan juga sedikit ucapan dari seorang wakil Palestin. Sesiapa yang berhampiran boleh la ke sana.

13 Rabiul Awal 1434H
Jumaat, 25 Januari 2013



Jumaat, 27 Mei 2011

As-Syahid Al-Rantissi, Doktor Pakar Dan Pejuang Hebat HAMAS.

Abdul Aziz Ali Abdul Majid al-Rantisi dilahirkan pada 23/10/1947 di sebuah kampung bernama Binaa yang terletak di antara Asqalan dan Jaffa di dalam sebuah keluarga yang kuat beragama. Keluarganya telah dipaksa untuk berhijrah ke Gaza selepas peperangan 1948 dan menetap di khemah pelarian Khan Yunus bersama para puluhan ribuan pelarian yang lain, pada waktu itu umurnya hanya berusia enam bulan. Di perkhemahan tersebutlah beliau membesar bersama sebelas orang adik beradiknya yang lain (sembilan lelaki dan dua orang perempuan).

Pendidikannya
Sebagai seorang yang mempunyai otak yang cerdik beliau amat cemerlang di dalam pembelajarannya. Ketika baru berusia enam tahun sahaja beliau telah memulakan persekolahannya di salah sebuah sekolah di kawasan perkhemahan tersebut. Di usia sebegini muda juga beliau terpaksa bekerja demi menampung perbelanjaan keluarganya yang besar dan miskin dan juga kehidupan mereka yang amat perit di kawasan perkhemahan yang serba daif. 

Pada tahun 1965 beliau telah menamatkan pembelajaran menengahnya dan melanjutkan pelajarannya ke Fakulti Perubatan di Universiti Iskandariah, Mesir. Di Fakulti tersebut beliau telah lulus dengan cemerlang dan telah menamatkannya pada tahun 1972 . Pada tahun 1976 beliau telah mengakhiri pelajarannya di peringkat sarjana (master) dalam pengkhususan peditriasi (perubatan kanak-kanak), dan memulakannya kerjanya sebagai doktor peru batan di Hospital Nasir (Pusat perubatan utama di kawasan Khan Yunus.

Penglibatannya di dalam perjuangan
Bapa kepada enam orang anak (dua lelaki dan empat perempuan)dan sepuluh orang cucu ini telah mula aktif dengan gerakan islam dan aktiviti-aktiviti islam semenjak beliau menuntut di Universiti Iskandariah lagi. Oleh kerana itu tidak hairanlah jika beliau amat aktif dengan kerja-kerja amal, kebajikan dan dakwah seawal beliau memulakan perkhidmatannya di Khan Yunus. Antara penglibatan awalnya ialah sebagai jawatankuasa di peringkat pusat Majma Islamiy (sebuah pertubuhan islam di Gaza), pimpinan persatuan doktor-doktor Arab cawangan Gaza dan juga antara pihak pengurusan pertubuhan bulan sabit merah Palestin. Beliau juga telah berkhidmat sebagai pensyarah di dalam bidang perubatan kanak-kanak dan juga biologi di Universiti Islam Gaza bermula dari tahun 1978.

Pada tahun 1983 beliau telah dipenjarakan buat kali pertama kerana enggan membayar cukai kepada kerajaan Zionis Israel. Pada 5/1/1988 beliau telah dipenjarakan buat kali kedua selama 21 hari di atas kesalahan yang sama. Keengganan beliau membayar cukai tersebut kerana kengganannya mengiktiraf penjajahan Israel terhadap bumi tercintanya Palestin. Ketegasan beliau ini merupakan bibit-bibit yang membawa kepada pembentukan keperibadiannya sebagai pemimpin sebuah gerakan islam yang berjaya menggoncang Israel di masa-masa mendatang.

Bersama dengan rakan-rakan seperjuangannya yang membawa aspirasi perjuangan Ikhwanul Muslimin beliau telah mengasaskan gerakan HAMAS pada tahun 1987 untuk memulakan kembali penentangan bersenjata terhadap Israel yang telah lama ditinggalkan oleh orang-orang Arab dan kaum muslimin. Gerakan ini telah berjaya meletuskan gerakerja baru di dalam metod penentangan terhadap rejim Zionis. Gelombang Intifadah yang telah diilhamkan oleh gerakan HAMAS telah membawa anak-anak muda Palestin untuk keluar ke jalan-jalan raya untuk bersemuka dengan pihak tentera Zionis.

Pembunuhan tentera-tentera Israel dan juga kemusnahan yang minor berjaya dilakukan oleh HAMAS. Operasi-operasi ketenteraan terhadap konvoi tentera Israel juga telah menggegarkan keutuhan tentera rejim Zionis buat pertama kali selepas mereka berupaya untuk berehat buat beberapa tahun lamanya selepas kerajaan-kerajaan Arab telah mula meletakkan senjata mereka.

Buat kali ketiganya beliau telah dipenjarakan pada 4/2/1988 kerana keterlibatannya dengan HAMAS yang didakwa oleh Israel sebagai tindakan pemberontakan yang subversif. Selepas dua tahun setengah dipenjarakan, akhirnya beliau telah dibebaskan pada 4/9/1990. Sayangnya tiga bulan selepas itu beliau telah dipenjarakan sekali lagi iaitu pada 14/12/1990 selama setahun. Walaubagaimanapun, peluang beliau dipenjarakan buat kali keempat ini merupakan sesuatu yang bertuah. Beliau telah ditempatkan di dalam satu sel bersama Syeikh Ahmad Yassin, bapa perjuangan HAMAS dan juga ikon perjuangan rakyat Palestin. Peluang itu diambil olehnya untuk menghafal al-Quran. Ketika itu jugalah beliau telah membina replika masjid al-Aqsa dengan menggunakan kotak-kotak terbuang yang masih boleh dilihat sehingga kini di meja di rumahnya beliau di bandar Gaza. Di dalam penjara itu jugalah beliau banyak menghasilkan syair-syair perjuangan. Tidak hairanlah selain daripada ahli politik dan pemimpin HAMAS beliau juga amat dikenali sebagai seorang penyair.

Dibuang negara.
Selepas dibebaskan pada penghujung 1991 beliau meneruskan aktiviti ? aktiviti untuk membebaskan bumi Palestin tanpa mengenal erti putus asa. Usaha rejim Zionis untuk melunturkan semangatnya dengan memenjarakan beliau tidak berhasil, malah beliau bertambah bersemangat dan gerakan HAMAS semakin bertambah kuat. Rejim Israel Zionis yang telah mula buntu akhirnya menghalau keluar 400 para pejuang kemerdekaan Palestin yang terdiri daripada para pejuang HAMAS dan juga gerakan Jihad Islami pada 17/12/1992 ke Marja Zuhur di Selatan Lubnan. Pada waktu itulah bintangnya mula menyinar di peringkat antarabangsa bilamana beliau telah menjadi jurubahasa para wartawan. Ini kerana kefasihannya di dalam Bahasa Inggeris berbanding dengan rakan-rakannya yang lain. Penonjolannya ini telah mewujudkan hubungan baiknya dengan para wartawan sehingga hari sebelum beliau syahid. Beliau amat disenangi oleh para wartawan, dan pintu apartmennya sentiasa terbuka kepada para wartawan dan junalis. Ini juga amat penting bagi HAMAS, memandangkan beliau merupakan pemimpin politik bagi gerakan tersebut (manakala Ahmad Yassin sebagai pemimpin spiritual mereka).

Sekembalinya beliau dari Marja Zuhur ke Gaza, beliau telah dipenjarakan oleh pihak rejim sehingga tahun 1997. Selepas keluar dari penjara tersebut, dalam tempoh tidak sampai setahun pihak berkuasa autonomi (Palestinian National Authority ? PNA) yang diketuai oleh Yassir Arafat pula telah memenjarakan Dr. Rantisi pada 10/4/1998. Selepas 15 bulan dipenjarakan, akhirnya beliau telah dibebaskan kerana kematian ibunya. Walaubagaimanapun selepas itu beliau telah dipenjarakan sekali lagi sebanyak tiga kali oleh PNA. Beliau telah dibebaskan buat kali terakhir kerana dua sebab, pertamanya kerana beliau melancarkan mogok lapar, dan selepas jet pejuang Israel menyerang para tahanan di penjara milik PNA. Pembebasannya buat kali terakhir itu mengakhiri tempoh 27 bulan beliau dipenjarakan oleh PNA.

Pembebasannya itu bagaikan satu rahmat bilamana Syeikh Yassin sebelum itu telah pun dibebaskan juga. Dengan gabungan dua ikon perjuangan Palestin ini gerakan HAMAS menjadi bertambah mantap dan mendapat momentum perjuangan yang lebih kuat dari sebelum itu. Intifada gelombang kedua pada penghujung tahun 2000 sebagai satu bukti kekuatan HAMAS semakin bertambah. Strategi bom syahid yang diinovasikan oleh HAMAS semakin bertambah saban hari dan menjadikan penduduk Yahusi Zionis hidup dalam ketakutan dan memaksa ramai di antara mereka untuk berhijrah semula pulang ke tanah air asal mereka. Dianggarkan lebih 50,000 rakyat Israel yang keluar negara tidak pulang semula ke Israel semenjak tahun 2000. Dr. Rantisi juga sering ditemui oleh para wartawan dari serata dunia dan berjaya menyampaikan mesej perjuangan kemerdekaan mereka de seluruh dunia. Ini amat menggerunkan Israel, malah Amerika yang ingin memaksa dunia untuk melihat HAMAS sebagai perjuangan pengganas yang radikal.

As-Syahid Al-Rantissi dan As-Syahid Sheikh Ahmad Yassin

Pada 10 Jun 2003, Israel dengan taktik bacul dan biadapnya telah melancarkan percubaan membunuh Dr. Rantisi dengan membedilnya dengan roket yang dilancarkan oleh helikopter Apache mereka. Serangan itu menemui kegagalan apabila Dr. Rantisi dan anaknya yang masih kecil berjaya menyelamatkan diri mereka, namun kereta yang mereka naiki hancur dimamah oleh letupan roket tersebut. Serangan tersebut telah dibalas oleh HAMAS dengan siri serangan-serangan yang telah mengecutkan perut setiap warga Zionis. Ketika berada di atas katil hospitalnya, beliau mengatakan : Hanya perjuangan bersenjata sahaja yang akan dapat memerdekakan bumi Palestin kita?. Selepas syahidnya Syeikh Ahmad Yassin pada 22 / 3 / 2004 beliau telah dilantik menjadi pemimpin HAMAS di wilayah Gaza dan berjanji untuk membalas dendam diatas kematian Syeikh Ahmad Yassin.

Ketika ditemuramah oleh salah sebuah badan berita antara bangsa, tidakkah dia takut yang dia pula akan menjadi mangsa buruan tentera Zionis yang seterusnya, dia menjawab: “Semua orang akan mati, mengapa takut dengan kematian? JIka saya diberikan pilihan samada untuk mati dibedil oleh helikopter Apache (milik tentera Zionis) ataupun akibat serangan jantung, saya memilih (untuk dibedil) oleh Apache!”

Pada hari Sabtu, 17 April 2004, bersama dengan dua orang rakannya beliau telah menemui Allah S.W.T sebagai seorang syahid menyusul pemergian Syeikh Ahmad Yassin apabila kereta yang beliau naiki telah dibedil dengan roket dari helikopter Apache oleh pihak rejim Zionis di jalan al-Jallaa di wilayah Gaza. Rejim Israel Zionis menyifatkan Dr. Abdul Aziz al-Rantisi sebagai salah seorang pemimpin pengganas yang perlu dihapuskan demi menjamin keselamatan rakyat Israel dan kedamaian di kawasan tersebut. Tidak hairanlah dua minggu sebelum peristiwa tersebut empat buah helikopter Apache berlegar-legar di ruang udara Gaza untuk mencari Dr. Rantisi.

Persoalannya sekarang, kenapa masih lagi ada negara Islam, yang katanya bersimpati dengan perjuangan rakyat Palestin, tetapi dalam masa yang siapa tidak mahu mengiktiraf HAMAS sebagai pendokong kepimpinan tertinggi semangat jihad rakyat palestine? Sama seperti perangai Israel dan Amerika yang tidak mahu mengiktiraf HAMAS.




Sumber : http://norapalestina.blogspot.com

Khamis, 26 Mei 2011

Rintihan As-Syaheed Sheikh Ahmad Yassin



"Tidakkah kalian lihat wahai bangsa Arab, sudah sampai ke tahap mana keadaan ini?
Sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah mati (lumpuh). Aku bukan seorang penceramah yang lantang yang mampu menggegarkan semua tempat dengan suaraku (yang perlahan ini).
Aku tidak mampu untuk ke mana-mana tempat untuk memenuhi hajatku kecuali jika mereka menggerakkan (kerusi roda) ku.

Aku, yang sudah beruban putih dan berada di penghujung usia. Aku, yang diserang pelbagai penyakit dan ditimpa bermacam-macam penderitaan."
"Adakah segala macam penyakit dan kecacatan yang tertimpa ke atasku turut menimpa bangsa Arab hingga menjadikan mereka begitu lemah. Adakah kalian semua begitu wahai Arab, kalian diam membisu dan lemah, ataukah kalian semua telah mati binasa.

Adakah hati kalian tidak bergelora melihat kekejaman yang berlaku terhadap kami sehingga tiada satu kaumpun bangkit menyatakan kemarahan kerana Allah... Tiada satu kaumpun (di kalangan kalian) yang bangkit menentang musuh-musuh Allah yang telah mengisytiharkan perang antarabangsa ke atas kami dan menukarkan kami daripada golongan mulia yang dianiaya dan dizalimi kepada pembunuh dan penjenayah serta pengganas... (Tidak adakah yang mahu bangkit menentang musuh-musuh) yang telah berjanji setia untuk menghancurkan dan menghukum kami.

Tidak malukah umat ini terhadap dirinya yang dihina sedangkan padanya ada kemuliaan. Tidak malukah negara-negara umat ini membiarkan penjenayah Zionis dan sekutu antarabangsanya tanpa memandang kami dengan pandangan yang mampu mengesat air mata kami dan meringankan bebanan kami.

Adakah pertubuhan-pertubuhan umat ini, pasukan tenteranya, parti-partinya, badan-badannya dan tokoh-tokohnya tidak mahu marah kerana Allah dengan kemarahan sebenarnya lalu mereka keluar beramai-ramai sambil melaungkan, "Ya Allah, perkuatkanlah saudara-saudara kami yang sedang dipatah-patahkan, kasihanilah saudara-saudara kami yang lemah ditindas dan bantulah hamba-hambamu yang beriman!"

Adakah kalian tidak memiliki kekuatan berdoa untuk kami? Seketika nanti kalian akan mendengar mengenai peperangan besar ke atas kami dan ketika itu kami akan terus berdiri dengan tertulis di dahi kami bahawa kami akan mati berdiri dan berdepan dengan musuh, bukan mati membelakang (dalam keadaan melarikan lari) dan akan mati bersama-sama kami, anak-anak kami, wanita-wanita, orang-orang tua dan pemuda-pemuda.

Kami jadikan di kalangan mereka sebagai kayu bakaran buat umat yang diam dalam kebodohan! Janganlah kalian menanti hingga kami menyerah atau mengangkat bendera putih kerana kami telah belajar bahawa kami tetap akan mati walaupun kami berbuat demikian (menyerah). Biarkan kami mati dalam kemuliaan sebagai mujahid.

Jika kalian mahu, marilah bersama-sama kami sedaya mungkin. Tugas membela kami terpikul dibahu kalian. Kalian juga sepatutnya menyaksikan kematian kami dan menghulurkan simpati. Sesungguhnya Allah akan menghukum sesiapa sahaja yang lalai daripada menunaikan kewajipan yang diamanahkan.
Dan kami berharap kepada kalian supaya jangan menjadi musuh yang menambah penderitaan kami. Demi Allah, jangan menjadi musuh kepada kami wahai pemimpin-pemimpin umat ini, wahai bangsa umat ini."


"Ya Allah, kami mengadu kepadaMu... kami mengadu kepadaMu... kami mengadu kepadaMu... kami mengadu kepadaMu lemahnya kami dan kurangnya helah kami. Demikianlah kami di hadapan manusia. Engkaulah Tuhan kepada orang-orang yang lemah. Dan Engkaulah Tuhan kami. Kepada siapa engkau tinggalkan kami. Adakah kepada orang yang jauh yang akan menyerbu kami. Ataukah kepada musuh yang berkuasa ke atas kami?

Ya Allah, kami mengadu kepadaMu darah-darah yang tertumpah, maruah yang ternoda, kehormatan yang diperkosa, kanak-kanak yang diyatimkan, wanita-wanita yang dijandakan, ibu-ibu yang kehilangan anak, rumah-rumah yang diruntuhkan, tanaman-tanaman yang dirosakkan.

Ya Allah, kami mengadu kepadaMu berseleraknya kesatuan (umat) kami, berpecahnya perpaduan kami, berbagai-bagainya jalan kami, terkebelakangnya kami.

Kami mengadu kepadaMu betapa lemahnya kaum kami, betapa tidak bermayanya umat di sekeliling kami dan betapa berjayanya musuh-musuh kami..."


Siapa As Syahid Sheikh Ahmad Yassin ini? 
Syeikh Ahmad Yassin telah dilahirkan di sebuah kampong bernama al-Jora, daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan (Ashkelon) pada tahun 1938. Dia telah dibesarkan di sana sehingga tahun 1948 ketika pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin, dia dan keluarganya dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza.

Membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang di dalam pelajarannya beliau amat disayangi oleh guru-gurunya ketika berada di sekolah. Beliau juga merupakan seorang ahli sukan yang aktif di zaman persekolahannya. Di zaman mudanya beliau telah ditimpa kemalangan, di mana beliau telah terjatuh ketika sedang beriadah yang menyebabkan beliau mengalami lumpuh pada bahagian kakinya.

Melihatkan kepada keadaan negara-negara Arab yang tidak lagi berminat untuk memerdekan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa, begitu juga dengan gerakan PLO yang semakin bersikap lunak terhadap rejim Zionis, Sheikh Ahmad Yassin dan juga rakan-rakannya di dalam pertubuhan Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan pembebasan islam yang dikenali sebagai HAMAS pada tahun 1987. 

HAMAS telah memulakan corak baru penentangan cara baru, iaitu dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dihasilkan dari masjid-masjid dari kalangan orang-orang muda yang dikenali dengan nama Atfal Hijarah (Kanak-kanak Batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan dengan tentera Zionis. Penentangan yang mempunyai impak yang besar terhadap rejim Zionis ini dikenali sebagai Intifadah. Kesan dari Intifadah ini amat hebat, pihak tentera Zionis terpaksa mengambil tindakan-tindakan drastik sebagai tindak balas terhadap kemaraan gerakan HAMAS.

Sheikh Ahmad Yassin adalah seorang insan yang mana imannya begitu digeruni oleh Israel. Dia seorang yang lumpuh, tak mampu untuk menggerakkan dirinya sendiri tapi jasadnya ini begitu ingin dimamah oleh peluru berpandu Israel. Dia berjalan dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan kerusi roda yang perlu ditolak oleh pengikut ataupun anaknya. Tapi insan ini, namanya sahaja sudah cukup untuk menggentarkan kawan dan lawan.
Dia mengetuai semangat jihad Palestin. Dia meniupkan semangat jihad kepada pemuda-pemuda Palestin.

Isterinya, Hajjah Ummu Muhammad memberitahu bahawa, hari-hari terakhir suaminya sudah dirasai oleh Sheikh Ahmad Yasin sendiri. “saya punya firasat akan segera mendapatkan kesyahidan dan memang itulah yang saya minta. Saya hanya mencari akhirat, bukan dunia” kata Sheikh Yasin pada anak-anaknya.

Seperti kebiasaannya sehari-hari, di hujung malam menjelang Subuh, Sheikh Ahmad Yassin khusyuk beriktikaf dan bermunajat kepada Allah di masjid Majma’ Al-Islamiy serta niat puasa sunat setelah meminum segelas air putih. Ancaman bahaya dirasai oleh ahli jemaaah masjid dan mereka bertindak mengambil tayar-tayar serta membakarnya agar asap yang naik nanti akan melindungi pergerakan beliau.

Selesai menunaikan solat subuh, para jamaah seperti biasa, berkerumun untuk bersalam dengannya, menanyakan tentang kesihatan beliau, seakan para jamaah dapat merasakan ini merupakan salam terakhir dan ingin mengucapkan salam perpisahan kepada pejuang ini yang tak pernah kenal menyerah kepada penjajah Zionis itu.


Detik-detik akhirnya tiba jua. Setelah selesai menunaikan solat Subuh pada 22 Mac 2004, 3 buah helikopter Apache tentera rejim zionis telah melancarkan tiga peluru berpandu kepada Sheikh Ahmad Yassin yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari masjid Majma’ Al-Islamiy. Salah satu daripada peluru berpandu itu kena tepat ke atas beliau. 

Beliau gugur syahid bersama menantunya, Khamis Musytaha, dua orang pembantu yang menolak kerusi rodanya serta beberapa orang lagi yang mengiringi beliau. Serpihan anggota badan dan darah berhamburan di segenap penjuru kawasan. Di tengah perjalanan antara rumah Syeikh Ahmad Yassin dan Masjid Akademi Islam kira-kira beberapa ratus meter jaraknya, darah kelihatan di merata tempat dan cebisan daging manusia melitupi dinding sebuah rumah dua tingkat di timur jalan. Petugas ambulan dan penduduk tempatan bersama-bersama mengutip dan mengumpulkan cebisan anggota manusia di jalanan.




Kerusi roda yang dinaiki beliau hancur musnah dan dipenuhi darah. Jasadnya pula bertaburan bersama kerusi rodanya. Syahidlah seorang Pejuang Islam berkerusi roda bernama Sheikh Ahmad Yassin….



Sheikh Ahmad Yasin telah mencurahkan seluruh hidupnya untuk membangkitkan semangat juang bangsa Palestin terhadap penjajah Zionis. Sheikh Ahmad Yasin sesungguhnya sangat dekat di hati seluruh kaum Muslimin dan Arab, serta para pejuang kebebasan di seluruh dunia.

Semuga pemergian Assyahid Sheikh Ahmad Yasin akan melahirkan lebih ramai pejuang Islam yang kental semangat yang sanggup berdepan dengan musuh Islam laknatullah. Tiada lagi pilihan buat umat Islam samaada menang atau syahid dimedan juang.