doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Jumaat, 12 Oktober 2012

Palestin: Bumi Barakah, Hak Mutlak Umat Islam Seluruh Dunia

KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Seorang lelaki tua yang sedang duduk beristirehat di Masjidil Aqsa didatangi oleh wakil dari sebuah pertubuhan Yahudi.

Mereka bertanyakan lelaki berusia 90 tahun itu sama ada beliau berhasrat menjual tanahnya kepada orang Yahudi.

"Wahai orang tua, mahukah engkau menjualkan tanah milik kamu ini kepada orang Yahudi?" Lelaki tua itu pun menjawab: "Ya boleh. Tetapi ada satu syarat yang mesti kamu penuhi.

"Kamu mesti mendapatkan persetujuan untuk menjual tanah ini daripada seluruh umat Islam di atas muka bumi ini dan kamu juga mesti mendapatkan persetujuan daripada setiap bayi umat Islam yang akan lahir selepas ini."

Lalu wakil pertubuhan Yahudi tersebut berkata, "Ini adalah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Bagaimana akan kami dapatkan tandatangan-tandatangan tersebut?"

Lantas orang tua Palestin itu pun menjawab: "Begitulah mustahilnya bagi aku untuk menjual tanah ini kepada kamu."

Gambaran itu diberikan oleh seorang pejuang pembebasan Al-Quds dan Al-Aqsa, Sheikh Raed Solah pada satu temubual.

HAK MUTLAK SELURUH UMAT ISLAM

Ia menunjukkan bahawa Baitulmaqdis (Al-Quds) dan Masjidil Aqsa bukanlah hak milik mutlak rakyat Palestin sahaja tetapi adalah milik seluruh umat Islam dan menjadi hak mereka seluruhnya untuk memperjuang dan mempertahankannya.

Atas komitmen ini jugalah yang membawa Sheikh Raed Solah ke Malaysia untuk berucap pada seminar "Selamatkan Masjid Al-Aqsa daripada Ancaman Zionis" (SESMAZ) di Putrajaya, baru-baru ini.

Isu Palestin adalah satu isu yang sangat panjang sejarahnya, merentasi beberapa tamadun manusia dan menyelusuri beberapa era.

Ia bukan hanya berlaku dalam dekad yang terakhir ini, tetapi isu Palestin telahpun mula "dimainkan" sejak ribuan tahun yang lepas.

Isu bermula apabila berlaku pertembungan kuasa di bumi Palestin daripada satu kuasa besar ke satu kuasa besar yang lain. Antaranya ialah kerajaan Parsi, Rom, Tentera Islam, Tentera Salib (The Crusaders), Tentera Tatar (Mongol) dan penjajahan Britain.

Menurut Perunding Aman Palestin, Prof Madya Dr Zainur Rashid, dalam Deklarasi Balfour 1917 iaitu selepas berakhirnya Perang Dunia Pertama, kerajaan Britain membuat keputusan untuk memberi sokongan terhadap pembentukan sebuah negara yang dikhususkan untuk orang Yahudi di bumi Palestin dikenali sebagai Israel.

Aman Palestin ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan berpangkalan di Malaysia, yang ditubuhkan bagi mengumpul dana untuk rakyat Palestin.

Britain adalah kuasa besar dunia pada ketika itu dan telah menjadi kuda tunggangan Zionis sebelum takhta kuasa besar dunia bertukar tangan kepada Amerika Syarikat (AS).

Beliau menyatakan bahawa agenda ini telah dirancang oleh Zionis antarabangsa yang mana pengasas Neo-Zionism, Theodore Herzl, adalah individu yang bertanggungjawab ke atas penubuhan negara Israel.

PENGHIJRAHAN YAHUDI EROPAH KE PALESTIN

Bermula pada tahun 1917, penghijrahan Yahudi secara beramai-ramai dari Eropah ke Palestin berlaku dan peristiwa "Holocaust" yang berlaku dari tahun 1933 hingga 1945 adalah pemangkin kepada penghijrahan secara beramai-ramai oleh orang Yahudi ke bumi Palestin.

Britain, yang menguasai Palestin dari tahun 1917 hingga 1948 "menurunkan" kuasa kepada Israel sebelum mereka keluar dari bumi barakah itu, jelas Dr Zainur kepada Bernama.

Pada tarikh ini jugalah berlakunya peristiwa yang dikenali sebagai peristiwa "An-Nakbah" yang bermaksud 'malapetaka hitam', di mana negara Israel telah diisytiharkan secara rasmi.

Menurut Dr Zainur lagi, peristiwa Holocaust adalah peristiwa "ciptaan" bersama antara Hitler, Nazi, dan Zionis bagi mempercepatkan proses penubuhan negara haram Israel.

Keadaan menjadi bertambah runcing sejak tahun 1948 di mana semakin ramai Yahudi berhijrah ke bumi Palestin dan telah berlaku banyak kekejaman di dalam usaha mereka memperluaskan kawasan.

PELARIAN

Rampasan tanah dan kebun serta pembunuhan orang Islam semakin berleluasa, sehingga kawasan yang dinamakan Israel itu semakin besar dan orang Palestin semakin dihimpit di dua kawasan utama iaitu di Gaza dan Tebing Barat.

Dr Zainur menyatakan terdapat dua kesan besar daripada peristiwa'An-Nakbah'; hilangnya Palestin dari peta dunia dan dua pertiga daripada rakyat Palestin menjadi pelarian bermula pada tarikh tersebut sehinggalah ke hari ini.

Menyentuh aspek pelarian, beliau menjelaskan beberapa fakta antaranya Palestin ialah sebuah negara yang mempunyai jumlah pelarian paling ramai di dunia iaitu 6.85 juta.

Malahan sejarah pelarian rakyat Palestin menjadi sejarah paling lama di dunia, bermula dari tahun 1948, sehinggalah ke hari ini, menjadikan mereka sebagai pelarian selama 64 tahun.

Isu pelarian Palestin juga adalah isu yang paling banyak dibincangkan pada persidangan-persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) di mana lebih 110 resolusi telah dikeluarkan, memutuskan bahawa pelarian Palestin berhak untuk kembali semula ke bumi Palestin.

Namun sayangnya, tiada satu pun resolusi-resolusi tersebut dipatuhi oleh Israel.

PENGUASAAN TANAH

Dari sudut perluasan tanah, Yahudi telah menguasai Palestin sedikit demi sedikit.

Pada 1948, orang Yahudi menguasai 54 peratus tanah Palestin tetapi selepas peristiwa 'Peperangan Enam Hari' atau 'An-Naksah' menyaksikan Zionis memperluaskan kawasan jajahannya secara paksaan dengan menguasai 77 peratus berbanding orang Palestin berkurang menjadi 23 peratus sahaja.

Seterusnya tahun 2000 menyaksikan orang Islam di Palestin hanya memiliki 10 peratus tanah, manakala Zionis menguasai 90 peratus tanah di bumi Palestin.

Berdasarkan statistik terkini yang direkodkan pada tahun 2007, Zionis telah pun menguasai 95.3 peratus, dengan umat Islam hanya memiliki 4.7 peratus tanah di Palestin.

Isu Palestin adalah isu penyatuan umat Islam di seluruh dunia dan tidak hanya terletak di atas bahu umat Islam Palestin sahaja tetapi menjadi kewajipan dan tanggungjawab ke atas semua umat Islam di dunia.

Perunding 'Aman Malaysia' Dr Zainur Rashid berkata, Solahuddin Al-Ayubi yang telah membebaskan Palestin pada 1187, bukanlah seorang rakyat Palestin dan bukan juga seorang yang berketurunan Arab, tetapi beliau ialah seorang yang berketurunan Kurdi.

"Namun kerana beliau memahami haknya sebagai seorang Islam ke atas bumi Palestin dan dari sudut agama, beliau telah meninggalkan segala kemewahannya demi membebaskan Palestin," katanya.

Solahuddin Al-Ayubi telah mengambil kembali tanah suci Palestin daripada tentera Salib dari Eropah. Dalam kalangan tentera Salib, beliau dikenali sebagai 'Saladin'.

Bagaimanapun, Dr Zainur turut meluahkan rasa kesalnya dengan memberikan satu fakta penting, yang turut dikongsi oleh pengasas pergerakan umat Islam "Palestine 48" Sheikh Raed Solah, yang menggambarkan tahap kesedaran dan kefahaman umat Islam terhadap tanggungjawab dan kewajipan mereka ke atas isu Palestin.

Sheikh Raed Solah menghadiri seminar "Selamatkan Masjid Al-Aqsa Daripada Ancaman Zionis" di Putrajaya, dekat sini baru-baru ini.

AL-QUDS

Dr Zainur berkata, terdapat hanya 17 juta orang Yahudi berbanding 1.7 bilion orang Islam di dunia.

"Jadi persoalan yang timbul sekarang adalah mengapa dan bagaimana umat Islam boleh diperlekehkan oleh mereka?

"Jawapannya ialah kealpaan umat Islam itu sendiri terhadap kesatuan umat dan tanggungjawab terhadap Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis," jelas Dr Zainur yang juga pakar perunding obstetrik dan ginekologi di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban.

Kepada orang Islam, Al-Quds atau Baitulmuqadis ialah tanah suci yang ketiga selepas Mekah dan Madinah.

Kealpaan umat Islam sendiri, menurut beliau, telah menjadikan isu negara Palestin dan Masjid Al-Aqsa hanya mendapat perhatian apabila berlaku serangan-serangan yang besar ke atas Gaza dan Tebing Barat, menjadikan ia isu bermusim.

Kelicikan Yahudi menggunakan senjatanya yang paling ampuh iaitu media, dengan menyembunyikan fakta-fakta penting mengenai isu Palestin dan sekalipun mereka memaparkannya, ia akan ditonjolkan mengikut sudut pandangan mereka yang akhirnya melalaikan umat Islam.

Kealpaan umat Islam juga berpunca daripada umat Islam sendiri yang tidak tahu dan tidak mahu mengambil tahu mengenai isu Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa.

Contoh yang diberikan oleh Dr Zainur adalah ketika bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon memasuki Masjidil Aqsa, di mana akhbar-akhbar Arab menyatakan yang Sharon tidak memasuki Masjidil Aqsa tetapi hanya sekadar berada di perkarangan Masjid.

Ini kerana berdasarkan pemahaman mereka, Masjidil Aqsa adalah masjid yang kubahnya berwarna hijau tua sedangkan Masjid Al-Aqsa merangkumi keseluruhan kawasan tersebut termasuklah dua buah masjid yang berada di dalamnya.

Jadi, yang mana satukah Masjidil Aqsa sebenar?

MASJIDIL AQSA DAN PENJELASANNYA

Menurut Dr Zainur yang telah pun menjejakkan kaki ke bumi Palestin, Masjid Al-Aqsa merangkumi keseluruhan kawasan yang luas, yang mana di dalamnya terdapat tiga buah masjid.

Pertama adalah Masjid Qubbat As-Sakhrah (Dome of Rock) atau umat Islam di Palestin memangilnya Masjid An-Nisa' kerana kaum wanita bersolat di dalamnya, yang telah dibina oleh Khalifah Malik bin Marwan pada tahun 69 hingga 75 hijrah.

Masjid Qubbat As-Sakhrah atau Masjid Batu ini juga dikenali dengan warna kubahnya yang berwarna kuning keemasan, berada di tengah-tengah kawasan Masjidil Aqsa.

Kedua adalah masjid yang kubahnya berwarna hijau tua iaitu Masjid Qibli, yang merujuk kepada qiblat pertama umat Islam atau juga dipanggil Masjid Juma'ah.

"Di hadapannya adalah Masjid Umar di mana Saidina Umar Al-Khattab bersolat di situ.

"Jadi kesimpulannya ialah ketiga-tiga masjid ini adalah sebahagian daripada Masjid Al-Aqsa," jelas beliau.

APAKAH YANG SEDANG BERLAKU KE ATAS AL-AQSA?

"Pada waktu kini, Zionis sedang giat menjalankan aktiviti yang dinamakan Projek Pengyahudian Masjid Al-Aqsa," kata Dr Zainur.

Menurut Dr Zainur, apa yang sedang berlaku ke atas Masjidil Aqsa ialah pihak Yahudi telah membina terowong yang banyak di bawah Masjidil Aqsa dan pembinaan terowong-terowong tersebut bersandarkan kepada dakwaan bahawa di bawahnya terdapat runtuhan Kuil Solomon.

"Mereka telah menjalankan aktiviti pembinaan terowong-terowong tersebut selama kira-kira 45 tahun dan sehingga ke hari ini, mereka gagal menemui sebarang kesan runtuhan Kuil Solomon.

"Agenda sebenar mereka ialah untuk melemahkan struktur binaan Al-Aqsa dengan harapan agar masjid-masjid berkenaan akan runtuh bagi membolehkan mereka membina pula Kuil Solomon di atasnya," katanya.

Antara kejahatan lain yang dilakukan ke atas Masjidil Aqsa adalah mengubah ciri-ciri keIslaman di masjid itu kepada ciri-ciri keYahudian, menganjurkan pesta-pesta maksiat dan menghalang orang Islam daripada memperbaiki bahagian masjid yang rosak.

Mereka juga pernah menjalankan percubaan untuk membakar Masjidil Aqsa beberapa kali dan antara percubaan terbesar yang pernah dilakukan ialah pada 21 Ogos 1969, selain percubaan untuk mengebom masjid berkenaan.

MENGAPA PENTINGNYA MASJIDIL AQSA KEPADA UMAT ISLAM?

Mengenai kunjungan Sheikh Raed Solah ke Malaysia, Dr Zainur berkata permasalahan paling besar dan utama yang cuba disampaikan oleh Sheikh Raed ialah isu Masjid Al-Aqsa, yang mana menurut beliau begitu penting kepada seluruh umat Islam berdasarkan enam fakta yang utama.

Pertama, Masjid Al-Aqsa ialah kiblat pertama umat Islam selama 17 bulan.

Kedua, ia adalah masjid kedua yang dibina di atas muka bumi ini 40 tahun selepas pembinaan Masjidil Haram.

Ketiga, Masjid Al-Aqsa adalah masjid suci yang ketiga di sisi Allah SWT selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Keempat, di Masjid inilah berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj di mana Masjidil Aqsa adalah tempat persinggahan terakhir Baginda Nabi Muhammad SAW sebelum Baginda diangkat ke langit.

Kelima, Masjidil Aqsa ini dikelilingi oleh bumi para nabi (Bumi Ambia') menjadikan Baitulmaqdis sebagai bumi yang istimewa di sudut akidah umat Islam.

Yang terakhir ialah bumi Palestin ini dikenali dengan panggilan "Bumi Perjuangan.

Terdapat juga hadis yang meriwayatkan bahawa pahala menunaikan solat dalam Masjidil Aqsa adalah 500 kali ganda.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan