doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Ahad, 11 Januari 2015

Musibah...Hanya Untuk Hamba Yg Dikasihi Allah

Apabila kita berhadapan dengan musibah seperti ini, maka hendaklah kita mencari hikmah dan pengajaran yang tersembunyi di sebaliknya kerana mustahil Allah menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Mungkin, Allah menjadikan musibah itu sebagai satu peringatan dan teguran supaya kita tidak lalai daripada mengingati Allah SWT, dan kepada-Nya sahajalah tempat kita bergantung segala harapan.

Sebenarnya orang yang menjadi mangsa banjir ini adalah orang-orang yang dipilih, orang yang mempunyai tahap keimanan dan kedudukan di sisi Allah. Allah SWT telah menyebutkan di dalam Al-Quran bahawa Allah tidak akan memberikan kepada seseorang itu sesuatu ujian yang tidak mampu dipikul olehnya. Oleh sebab itulah, dijadikan banjir itu hanya melanda sesetengah kawasan sahaja, kerana Allah SWT mengetahui bahawa orang-orang yang diuji dengan bencana banjir itu adalah orang-orang yang mampu memikul bebanan ujian tersebut. Tugas kita memohon kecekalan hati, kekuatan iman dan kesabaran daripada Allah SWT  dalam menghadapi ujian bencana ini. Semoga dengan ujian ini akan menjadikan mangsa banjir sebagai orang yang bertambah teguh hati dan cekal dalam menghadapi liku-liku kehidupan.




Allah SWT telah memberikan panduan terbaik dalam menangani situasi sebegini melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 155-156:

Yang bermaksud:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan merasai kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Apabila kita ditimpa musibah, kita hendaklah bersabar dan ucapkan:


إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ‎
(daripada Allah kita datang, dan kepada Allah kita kembali)

iaitu melafazkan rasa redha dengan segala apa ketentuan Allah SWT, Seseorang yang bersabar menghadapi kesusahan akan diberi ganjaran yang setimpal dengan kesusahan yang dihadapi itu, ganjaran yang lebih baik di dunia maupun ganjaran pahala di akhirat. 

Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredhaan Allah dan siapa yang tidak redha maka dia akan menerima kemurkaan Allah”. Sesungguhnya di sebalik setiap musibah yang melanda itu tersisip satu rahsia iaitu kasih sayang Allah SWT kepada mereka yang redha dan menerima ujianNya dengan hati yang terbuka.



Sumber: www.youtube.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan