Surah an-Nisaa’ سورة النساء terdiri daripada 176 ayat. Merupakan surah Madaniyyah yang terpanjang selepas surah al-Baqarah. Dinamakan an-Nisaa’ kerana dalam surah ini banyak membicarakan perkara-perkara yang berhubungan dengan wanita jika dibandingkan dengan surah-surah yang lain. Terdapat surah lain yang banyak membicarakan tentang hal wanita selain surah an-Nisaa’ iaitu surah at-Talaq. Surah an-Nisaa’ juga disebut: Surah an-Nisaa’ al-Kubraa (surah an-Nisaa’ yang besar), sedang surah at-Talaq disebut dengan sebutan: Surah an-Nisaa’ as-Shughraa (surah an-Nisaa’ yang kecil).
Asas-asas isinya, ialah:
1⃣ Keimanan:
Syirik (dosa yang paling besar); akibat kekafiran pada hari kemudian.
2⃣ Hukum-hukum:
Kewajipan para wasi dan para wali; hukum poligami; mas kahwin; memakan harta anak yatim dan orang-orang yang tidak dapat mengurus hartanya; pokok-pokok hukum warisan; perbuatan-perbuatan keji dan hukumannya, wanita-wanita yang haram dikahwini; hukum-hukum mengahwini hamba wanita; larangan memakan harta secara batil; hukum syiqaq dan nusyuz; kesucian zahir batin dalam solat; hukum suaka; hukum membunuh orang Islam; solat khauf; larangan melontarkan ucapan-ucapan yang buruk; masalah pusaka kalalah.
3⃣ Kisah-kisah:
Kisah-kisah tentang Nabi Musa ‘alaihis salam dan pengikut-pengikutnya.
4⃣ Dan lain-lain:
Asal manusia adalah satu; keharusan menjauhi adat-adat zaman jahiliah dalam perlakuan terhadap wanita; norma-norma bergaul dengan isteri; hak seseorang sesuai dengan kewajipannya; perlakuan Ahli Kitab terhadap kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka; dasar-dasar pemerintahan; cara mengadili perkara; keharusan siap-siaga terhadap musuh; sikap-sikap orang munafik dalam menghadapi peperangan; berperang di jalan Allah adalah kewajipan setiap mukallaf; norma dan adab dalam peperangan; cara menghadapi orang-orang munafik; darjat orang-orang yang berjihad.
Surah an-Nisaa’ dimulai dengan perintah bertakwa dan menyatakan bahawa asal manusia itu adalah satu, kemudian menerangkan hukum-hukum yang berhubungan dengan anak yatim, rumah tangga, warisan, wanita yang haram dinikahi serta hak dan kewajipan lelaki dan perempuan.
Selanjutnya disebut tentang hukum-hukum perang serta pelajaran-pelajaran yang harus diambil daripada perang Badar dan Uhud. Hukum perang dan hukum keluarga dalam surah ini, merupakan hujah-hujah yang dikemukakan kepada Ahli Kitab yang mana hujah-hujah ini ditegaskan pada bahagian terakhir daripada surah ini.
Akhirnya surah ini ditutup dengan perintah kepada para mukmin supaya mereka bersabar, mengeratkan hubungan sesama manusia dan bertakwa kepada Allah, agar mendapat keberuntungan dunia dan akhirat.
Wallahu a‘lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.