disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Rabu, 28 Ogos 2019

SUNAT HAI'AH

 

 

*Sunat Haiah ialah sunat-sunat yang sekiranya ditinggalkan tidak sunat digantikan dengan sujud sahwi.

 

1. MENGANGKAT KEDUA-DUA BELAH TANGAN KETIKA TAKBIRATUL IHRAM, RUKU' DAN KETIKA BANGUN DARI RUKU'

Cara melakukannya adalah dengan mengangkat kedua-dua belah tangan sementara jari-jari dan tapak tangan terbuka dan kedua-dua ibu jari bertepatan dengan kedua-dua cuping telinga.

 

2. MELETAKKAN TANGAN KANAN DI ATAS BELAKANG TANGAN KIRI KETIKA BERDIRI

Caranya adalah dengan meletakkan tangan kanan sambil jari-jari menggenggam belakang pergelangan tangan kiri yang diletakkan di antara bawah dada dan atas pusat.

 

3. MEMANDANG KE TEMPAT SUJUD

Makruh mengalih-alihkan pandangan ke persekitarannya atau memandang ke atas atau memandang sesuatu yang berada di hadapannya walaupun Ka'bah. Malah sunat terus menumpukan pandangannya kepada tempat sujud kecuali ketika tasyahhud. Ketika ini hendaklah memandang jari telunjuk yang menjadi isyarat ketika tasyahhud.

 

4. MEMULAKAN SOLAT SELEPAS TAKBIR DENGAN BACAAN DOA IFTITAH

Sunat membaca doa Iftitah ketika bersolat fardhu dan sunat sama ada solat bersendirian, menjadi imam atau ma'mum dengan syarat sebelum memulai bacaan Fatihah. Jika telah memulai Fatihah, maka luputlah sunatnya dan tidak perlu mengulanginya lagi walaupun kerana terlupa.

 

Tidak sunat membaca doa Iftitah ketika bersolat jenazah dan solat fardhu yang kesuntukan masa sekiranya dibimbangi dengan bacaan doa tersebut waktu solat akan berakhir.

 

5. MEMBACA ISTI'AZAH (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم) SELEPAS DOA IFTITAH

Sunat membacanya sebelum memulai bacaan Fatihah. Jika telah memulai bacaan Fatihah, maka luputlah sunatnya dan makruh mengulanginya.

 

6. MENYARINGKAN BACAAN DAN MEMPERLAHANKANNYA PADA TEMPAT-TEMPATNYA

Sunat bagi imam dan orang yang bersolat sendirian menyaringkan bacaan ketika solat Subuh, dua raka'at yang pertama pada solat Maghrib dan Isya', solat Jumaat, solat dua Hari Raya, solat Gerhana Bulan, solat Tarawih dan solat Witir pada bulan Ramadhan. Sementara solat yang lainnya sunat memperlahankan bacaan.

 

7. MENGUCAPKAN AMIN KETIKA SELESAI BACAAN FATIHAH

Setiap orang yang bersolat sunat mengucapkan Amin dengan nyaring pada semua solat yang dinyaringkan bacaan dan dengan perlahan pada solat yang diperlahankan bacaan, manakala ma'mum pula menyaringkannya mengikut sebagaimana imam.

 

8. MEMBACA AL-QURAN SELEPAS BACAAN FATIHAH

Sunat membaca satu surah al-Quran walaupun pendek atau membaca tiga ayat al-Quran yang berturutan.

 

Bacaan ini sunat bagi imam dan orang yang bersolat sendirian pada dua raka'at yang pertama sahaja bagi setiap solat. Sementara ma'mum juga sunat membacanya pada solat yang diperlahankan bacaan atau sekiranya dia berada jauh daripada imam dan tidak terdengar bacaannya.

 

9. BERTAKBIR KETIKA PERPINDAHAN RUKUN

Sunat mengucapkan takbir ketika perpindahan antara rukun melainkan apabila bangkit daripada ruku', tidak sunat bertakbir kecuali mengucapkan (سمع الله لمن حمده ربنا ولك الحمد) sebagai gantinya.

 

10. BERTASBIH KETIKA RUKU' DAN SUJUD

Caranya adalah dengan berkata (سبحان ربي العظيم وبحمده) sebanyak tiga kali setekah ruku' dengan sempruna dan berkata (سبحان ربي الأعلى وبحمده) sebanyak tiga kali setelah sujud dengan sempurna.

 

11. MELETAKKAN KEDUA-DUA BELAH TANGAN DI ATAS PEHA PADA KEDUA-DUA DUDUK TASYAHHUD

Caranya ialah dengan meletakkan tangan kiri yang terbuka serta merapatkan jari-jari menyamai pangkal lutut manakala tangan kanan pula digenggam kecuali jari telunjuk dilepaskan tunduk pada permulaan tasyahhud. Angkat jari telunjuk ketika mengucapkan (إلا الله) sebagai isyarat tauhid dan sunat diteruskan begitu tanpa digerak-gerakkan hingga akhir solat.

 

12. DUDUK TAWARRUK KETIKA DUDUK YANG AKHIR DAN DUDUK IFTIRASY PADA DUDUK YANG LAINNYA

Cara duduk tawarruk adalah dengan duduk di atas punggul kiri sambil menegakkan tapak kaki kanan serta menghulurkan tapak kaki kiri melalui bawahnya.

 

Sementara duduk Iftirasy pula ialah duduk di atas buku lali kaki kiri sambil menegakkan tapak kaki kanan di atas hujung jari-jarinya.

 

13. MEMBACA SELAWAT IBRAHIMIYAH DAN BERDOA SELEPAS TASYAHHUD AKHIR

 

14. MENGUCAP SALAM YANG KEDUA

 

15. SENTIASA KHUSYU' PADA SEPANJANG SOLAT

Pengertian khusyu' ialah kesedaran hati terhadap semua bacaan, zikir dan doa yang dituturkan oleh lidah sambil memerhati serta memikirkannya, menghayati maknanya dan berasa sedang bermunajat kepada Allah.

 

Sebenarnya khusyu' dengan pengertian ini merupakan perkara yang mesti pada sepanjang masa bersolat dan solat akan terbatal sekiranya kelalaian menyelubungi keseluruhan solat tersebut dari awal hingga ke akhirnya.

 

Oleh itu mengekalkan khusyu' di semua bahagian solat adalah sunat yang akan menjadikannya lebih sempurna.



Kredit: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.