disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Khamis, 26 Januari 2023

TAHQIQ AL-MASAIL SIRI KE-2: PENJELASAN BERKAITAN SOLAT SECARA DUDUK DI ATAS KERUSI (EDISI KEMAS KINI)


Mukadimah

Solat merupakan suatu ibadah yang paling besar dalam kehidupan setiap insan yang beragama Islam. Perintah untuk bersolat dalam setiap keadaan baik ketika bermusafir atau bermukim, dalam keadaan sakit atau sihat, sama ada solat dilakukan secara berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, semua ini jelas menunjukkan akan peri pentingnya kedudukan solat di dalam agama kita.

Kebelakangan ini, kami sering diajukan soalan berkenaan permasalahan solat secara duduk di atas kerusi. Justeru, dalam ruangan Tahqiq al-Masail edisi kali ini kami akan mengupas berkenaan satu isu penting yang sering menjadi pertanyaan di minda masyarakat awam dengan tajuk yang kami namakan: Persoalan Dan Juga Hukum-Hakam Yang Berkaitan Dengan Isu Solat Duduk Di Atas Kerusi.

Kedudukan Solat Di Dalam Kehidupan

Peri pentingnya solat dapat dilihat melalui banyak nas dari al-Quran mahupun al-Sunnah. Antaranya, firman Allah Taala: 

إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

(Surah Taha: 14)

 

Firman-Nya lagi: 

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

(Surah al-Baqarah: 43)

 

Firman-Nya lagi: 

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ السَّاجِدِينَ

 

Maksudnya: Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.

(Surah al-Hijr: 98)

 

Berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: 

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: Dibina Islam itu di atas lima iaitu kalimah La Ilaaha IllaLlaah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, serta berpuasa pada bulan Ramadhan.

Riwayat Muslim (16)

 

Dalil-dalil di atas juga mengisyaratkan bahawa kewajiban solat itu memiliki rukun-rukun dan kaifiyyat yang tersendiri yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sebagai pedoman bagi umatnya. Rukun-rukun ini wajib dilaksanakan dengan betul agar menepati kehendak Allah SWT seperti mana yang telah diwahyukan kepada Nabi-Nya. Pun begitu, Syarak tidak menurunkan syariat melainkan mengikut kadar kemampuan manusia dan manusia dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan ibadat sesuai dengan kemampuan dirinya. Allah SWT berfirman: 

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.

(Surah al-Taghabun: 16)

 

Solat merupakan santapan bagi akidah dan keimanan kepada Allah SWT yang berterusan dalam hati manusia. Segala pesona dunia dan bisikan syaitan sememangnya menjadikan manusia lupa kepada akidahnya walaupun telah lama terterap di dalam hatinya, kealpaan yang berterusan kerana mengikut gelora nafsu dan rakan-rakan akhirnya akan berubah menjadi ingkar. Ia umpama pokok yang kehabisan air, lambat laun akan layu dan mati kering kemudian menjadi kayu api.

Tetapi solat yang dilakukan secara sempurna dan tekun oleh seseorang Muslim akan menjadi santapan iman dan tidak mampu dilemahkan atau dimusnahkan oleh segala pancaroba dunia. Lihat al-Fiqh al-Manhaji (1/241)

 

Rukun Solat: Qiyam

Kami mulakan perbincangan ini dengan salah satu rukun solat iaitu qiyam. Disebut dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/283-284):

Berdiri Sekiranya Mampu Ketika Solat Fardhu

Wajib berdiri bagi mereka yang mampu melakukannya.[1] Hal ini berdasarkan hadith, daripada Imran bin Husain RA katanya, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda: 

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

 Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.”

Riwayat al-Bukhari (1066)

 

Seseorang itu dianggap berdiri apabila dia berdiri tegak.[2] Sekiranya dia membongkok tanpa sebab yang dimaafkan (عُذرٌ) hingga tapak tangannya menyentuh lutut, solatnya batal disebabkan tiada rukun berdiri pada satu bahagian solat tersebut.

Orang yang mampu berdiri pada sebahagian solatnya dan tidak berdaya pada sebahagian yang lain, hendaklah berdiri setakat yang termampu dan bolehlah duduk pada semua bahagian yang lainnya.

Berdiri bagi yang mampu hanya wajib pada solat fardhu, manakala solat sunat boleh dilakukan secara duduk sama ada seseorang itu mampu berdiri atau pun tidak kerana hukum berdiri pada semua solat tersebut hanya sunat. Hal ini berdasarkan hadith, Nabi SAW bersabda: 

من صَلَّى قَائِمًا فهو أَفْضَل ومَنْ صَلَّى قَاعِدًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَائِمِ، وَمَنْ صَلَّى نَائِمًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَاعِدِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat secara berdiri itulah yang afdhal, dan sesiapa yang bersolat secara duduk dia mendapat separuh pahala solat berdiri dan sesiapa yang bersolat secara mengiring dia mendapat separuh pahala solat duduk.”

Riwayat al-Bukhari (1065)

 

Hukum Solat Secara Duduk Di Atas Kerusi

Pada asalnya, berdiri bagi yang mampu adalah rukun dalam solat. Namun begitu, syarak membenarkan seseorang itu duduk sekiranya dia tidak mampu berdiri.[3] Di antara dalil yang membolehkan seseorang itu solat dalam keadaan duduk sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri adalah sebuah riwayat daripada ‘Imran bin Husin R.A yang mana beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: 

 صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.

Riwayat Al-Bukhari (1117)

 

Para ulama membincangkan hadis ini dengan terperinci dalam bab rukun-rukun solat khususnya pada rukun qiyam (berdiri). Ini termasuk juga bentuk-bentuk rukuk dan sujud bagi orang yang tidak mampu mendatanginya sesuai dengan kadar ketidakmampuan seseorang itu.

 

Pendapat Para Fuqaha Keharusan Solat Duduk Bagi Orang Tidak Mampu Berdiri

Kata Imam Al-Nawawi lagi: “Umat Islam telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran. Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda: 

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat. Lihat Al-Majmu’ (4/226).

Manakala Imam Al-Syaukani Rahimahullah ketika mengulas hadis Imran bin Husein R.A di atas berkata: “Hadis Imran menunjukkan kepada keharusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak mampu berdiri untuk solat dalam keadaan duduk. Manakala sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak boleh duduk maka dia boleh untuk solat di atas lambungnya.” Rujuk Nail Al-Autor (3/243).

Kata Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi Rahimahullah: “Telah ijma’ (sepakat) para ulama bahawasanya sesiapa yang tidak mampu untuk solat secara berdiri maka dia boleh melakukannya secara duduk.” Lihat Al-Mughni (1/443).

 

Keadaan Yang Membolehkan Seseorang Solat Secara Duduk

Di dalam kitab-kitab fiqh para ulama terdahulu, terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai masyaqqah (kepayahan) yang membolehkan seseorang itu solat secara duduk.

Berikut kami nyatakan beberapa contohnya:

  1. Tidak mampu untuk berdiri.
  2. Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri.
  3. Seseorang yang berada di atas kapal, sampan, ataupun perahu, yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.
  4. Seseorang yang berasa pening kepala.
  5. Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.

Ini semua adalah berdasarkan kata-kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri), ataupun seseorang berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ (4/310).

Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh Imam Syamsuddin al-Ramli yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan kekhusyukan semasa solat. Lihat Al-Taqrirat Al-Sadidah (ms. 214) oleh Syeikh Hasan Bin Ahmad Al-Kaf hafizhahullah.

Selain itu, kami juga menyatakan bahawa dibolehkan juga bagi sesiapa yang melakukan solat di atas kapal terbang untuk solat secara duduk demikian juga halnya bagi sesiapa yang menaiki keretapi dan ingin melakukan solat di dalamnya, sekiranya mengalami masyaqqah yang sama. Alhamdulillah penulis mendapati ada jenis kapal terbang yang disediakan tempat solat dan goncangan yang dialami amat sedikit seperti kapal terbang Boeing 787. Ini pengalaman penulis sendiri pada Disember 2017, ketika menuju Madinah al-Munawwarah.

 

Tatacara Solat Duduk Di Atas Kerusi

Bagi sesiapa yang mempunyai kepayahan untuk solat secara berdiri disebabkan oleh penyakit ataupun perkara selainnya, berikut kami nyatakan beberapa tatacara yang boleh dilakukan untuk solat dalam keadaan tersebut:

Secara asasnya, jika seseorang itu mampu berdiri untuk solat dan tidak mampu untuk rukuk dan sujud, wajib baginya dia berdiri terlebih dahulu. Kemudian baru dirinya duduk dan melakukan rukuk dan sujud. Ini kerana rukun berdiri semasa qiyam wajib dilaksanakan. Kami tegaskan bahawa tidak boleh dan tidak sah sekiranya dia terus duduk sekiranya dia mampu berdiri. 

Berdiri di hadapan kerusi 
sedekap dada - Rajah 1

 

Pada asasnya, yang paling utama adalah solat duduk di atas lantai, dan duduk secara iftirasy lebih utama berbanding duduk secara tawarruk dan tarabbu`.

Sekiranya tidak mampu, maka dibolehkan untuk solat secara duduk di atas kerusi. Solat duduk di atas kerusi ini menyerupai solat tarabbu’ (bersila) dan solat di atas binatang tunggangan. Daripada Ibn Umar R.Anhuma:                  

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي السَّفَرِ عَلَى رَاحِلَتِهِ، حَيْثُ تَوَجَّهَتْ بِهِ يُومِئُ إِيمَاءً صَلاَةَ اللَّيْلِ، إِلَّا الفَرَائِضَ وَيُوتِرُ عَلَى رَاحِلَتِهِ 

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah bersolat ketika musafir di atas tunggangannya. Ke mana arah pun tunggannya itu menghadap, baginda melakukan isyarat untuk solat malam. Baginda tidak melakukan demikian dalam solat fardu. Baginda juga bersolat witir atas tunggangannya.”

Riwayat al-Bukhari (1000)

 

Gambaran solat atas 
tunggangan (Rajah 2)

  

Sekiranya seseorang solat duduk di atas kerusi dan tidak mampu untuk berdiri ketika takbiratul ihram, maka dia boleh untuk melakukannya secara duduk. 

Ini kerana kaedah menyebut orang yang solat mampu melakukan sesuatu perbuatan yang wajib maka wajib dilakukannya, dan sesiapa yang lemah melakukannya maka gugur daripada melakukannya. 

Takbir ketika duduk atas 
kerusi - Rajah 3

 

Sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri maka dibolehkan untuknya duduk atas kerusi. Manakala rukuk dan sujud dilakukan sebagaimana biasa.

Sekiranya dia mampu untuk berdiri, namun berasa payah untuk rukuk dan sujud, maka hendaklah dia solat secara berdiri kemudian dia rukuk dan sujud di atas kerusi.

Menurut pendapat ashab al-Syafie seperti mana yang dinukilkan oleh Imam Ibn Rif`ah (w.710) dalam Kifayah al-Nabih (4/97): 

لو كان قادرًا على الركوع الكامل، وجب عليه أن يرتفع إلى حد الراكعين، نعم لو كان يعجز عن ذلك أيضاً، ركع، وهو جالس، وأقله أن ينحني حتى يقابل وجهه ما وراء ركبتيه من الأرض أدنى مقابلة 

“Sekiranya seseorang itu mampu untuk rukuk secara sempurna, maka wajib ke atasnya untuk (rukuk) tinggi pada had orang-orang yang rukuk. Benar, sekiranya dia tidak mampu juga, maka dia rukuk dalam keadaan duduk. Had yang paling kurang ialah dia turun sehingga bertentangan mukanya pada permukaan bumi yang berada di hadapan dua lututnya dalam keadaan yang boleh dimaksudkan dengan sekurang-kurang pertentangan.”

 

Ini menunjukkan bahawa sekiranya seorang itu mampu rukuk secara berdiri, maka hendaklah dia rukuk secara berdiri. Ini sesuai dengan kaedah fiqh yang berbunyi: 

إِذَا بَطَلَ الأَصْلُ يُصَارُ إِلَى البَدَلِ

 Maksudnya: “Jika batal hukum asal maka berpindah kepada hukum ganti.”

 

Berkata Syeikh Ahmad al-Zarqa dalam Syarh al-Qawaid al-Fiqhiyyah (ms. 287): 

إِذا بَطل الأَصْل بِأَن صَار متعذراً يُصَار إِلَى الْبَدَل أما مَا دَامَ الأَصْل مُمكنا فَلَا يُصَار إِلَى الْبَدَل

“Jika batal hukum asal dengan jadinya seseorang itu uzur maka berpindah hukum kepada hukum ganti. Adapun selama mana hukum asal itu boleh dilakukan maka tidak boleh berpindah kepada hukum ganti.”

 

Dalam masalah solat duduk, jika seseorang itu mampu rukuk dan sujud seperti bentuk asalnya, maka hendaklah dia melakukan seperti mana bentuk asalnya. Contohnya, seseorang yang mampu untuk rukuk dalam keadaan asalnya yakni secara berdiri hendaklah melakukannya dalam keadaan berdiri. 

Rukuk seperti biasa sekiranya mampu 
berdiri tetapi tidak mampu sujud - Rajah 4

 

Begitu juga bagi sifat sujud. Terdapat riwayat dalam Sahih al-Bukhari (no. 4171) daripada sahabat Nabi SAW yang bernama Uhban bin Aus RA yang sujud dengan meletakkan bantal di bawah lututnya: 

إِذَا سَجَدَ جَعَلَ تَحْتَ رُكْبَتِهِ وِسَادَةً وَلَعَلَّهُ كَانَ كَبُرَ فَكَانَ يَشُقُّ عَلَيْهِ تَمْكِينُ رُكْبَتِهِ مِنَ الْأَرْضِ فَوَضَعَ تَحْتَهَا وِسَادَةً لَيِّنَةً لَا تَمْنَعُ اعْتِمَادَهُ عَلَيْهَا مِنَ التَّمْكِينِ لِاحْتِمَالِ أَنَّ يُبْسَ الْأَرْضِ كَانَ يَضُرُّ رُكْبَتَهُ 

“Dia (Uhban) apabila dia sujud, dia meletakkan bantal di bawah lututnya. Mungkin kerana dia sudah tua dan sujud menjadikannya sukar untuk menetapkan lututnya di atas bumi lalu dia meletakkan bantal lembut dibawahnya agar dia boleh beri`timad padanya. Mungkin juga kerana tanah kering (atau keras) yang memudaratkan lututnya.”

Rujuk Fath al-Bari (7/452) oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah.

 

Diwajibkan bagi orang yang mampu rukuk tetapi tidak mampu untuk sujud untuk sujud dalam bentuk rukuk dengan menundukkan kepala lebih daripada hak kesempurnaan rukuk, sekiranya mampu. Sekiranya tidak mampu, maka sujudlah dalam bentuk rukuk. Perkara ini diterangkan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj (1/469): 

وَلَوْ قَدَرَ الْمُصَلِّي عَلَى الرُّكُوعِ فَقَطْ كَرَّرَهُ لِلسُّجُودِ، وَمَنْ قَدَرَ عَلَى زِيَادَةٍ عَلَى أَكْمَلِ الرُّكُوعِ تَعَيَّنَتْ تِلْكَ الزِّيَادَةُ لِلسُّجُودِ لِأَنَّ الْفَرْقَ وَاجِبٌ بَيْنَهُمَا عَلَى الْمُتَمَكِّنِ وَلَوْ عَجَزَ عَنْ السُّجُودِ، إلَّا أَنْ يَسْجُدَ بِمُقَدَّمِ رَأْسِهِ أَوْ صُدْغِهِ وَكَانَ بِذَلِكَ أَقْرَبَ إلَى الْأَرْضِ وَجَبَ 

“Sekiranya orang bersolat itu hanya mampu untuk rukuk sahaja (tanpa sujud seperti biasa) maka dia perlu mengulangi rukuk bagi sujud. Dan barangsiapa yang mampu untuk menambah (turun) lebih (bawah) daripada kadar kesempurnaan rukuk maka hendaklah dia menambah tunduk itu bagi sujud. Ini kerana mewujudkan perbezaan (antara rukuk dan sujud) itu wajib bagi orang yang berkuasa melakukannya sekalipun dia tidak mampu sujud (seperti biasa). Sekiranya dia mampu sujud dengan bahagian hadapan kepalanya, atau dengan pelipisnya, dan itulah bentuk yang yang menjadikan (kepalanya) lebih rapat ke bumi maka wajib dia melakukannya.”

Had paling minimum untuk rukuk bagi orang yang solat berdiri adalah had turunnya badan apabila kedua-dua tapak tangannya memegang lututnya manakalah had kesempurnaannya pula adalah menurunkan badan sehingga rata tulang belakangnya.

Adapun had paling minimum rukuk bagi orang yang solat duduk ialah menundukkan kepala sehingga dahinya setentang dengan kawasan di hadapan lututnya. Manakala had paling sempurna pula ialah apabila dahinya setentang atau berhampiran dengan tempat sujudnya. Rujuk Nihayah al-Muhtaj (1/469).


Persoalan; adakah wajib tankis, yakni menjadikan punggung lebih tinggi daripada kepala bagi gambaran di atas? Jawapannya adalah tidak kerana sudah hilang haiah (bentuk) sujud, bahkan hanya wajib untuk menurunkan badan pada membezakan sahaja antara rukuk dan sujud sekiranya mampu, pada had sempurna rukuk. Sekiranya tidak mampu, maka sujudlah dalam keadaan rukuk. Perkara ini diisyaratkan oleh Imam Ibrahim al-Baijuri dalam Syarh Fath al-Qarib, dan disebut juga oleh Imam Khatib al-Syirbini dalam al-Iqna`. Kata al-Baijuri: 

فإن أمكنه السجود على نحو وسادة يضعها تحت جبهته مع التنكيس لزمه لحصول هيئة السجود بذلك وإن كان بلا تنكيس لم يلزمه السجود عليها لفوات هيئة السجود بل يكفيه ما أمكنه من الانحناء 

“Sekiranya seseorang itu mampu bersujud atas suatu seumpamanya bantal yang dia letakkan di bawah dahinya beserta tankis maka wajib dia lakukannya kerana dapat menghasilkan bentuk sujud dengan demikian itu. (Namun) sekiranya demikian itu berlaku tanpa mendapat tankis, maka tidak wajib dia sujud atas bantal lantaran hilangnya bentuk sujud. Bahkan, cukup baginya melakukan apa yang dia mampu dengan menunduk.”

Rujuk Hasyiah al-Baijuri `Ala Fath al-Qarib (1/293)

 

Rukuk dalam keadaan 
duduk atas kerusi - Rajah 5

 

 
Sujud dalam keadaan duduk atas kerusi 
yang mampu tunduk lebih - Rajah 6

 

 
Sujud dalam keadaan duduk atas kerusi 
yang tidak mampu tunduk lebih – sama 
seperti tunduk untuk rukuk - Rajah 7

 

Sekiranya tidak mampu, perbuatan rukuk dan juga sujud dilakukan secara isyarat sahaja. Iaitu seseorang itu mengisyaratkan kepalanya dengan tunduk sedikit semasa rukuk dan juga menundukkan kepalanya lebih sedikit dari kadar tunduknya semasa rukuk apabila bersujud.

Rukuk secara menuduk Rajah 8

 

Sujud secara menunduk - Rajah 9

 

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah RA bahawa Rasulullah SAW melawat seorang sahabat yang sakit. Baginda melihat sahabat itu bersolat (yakni bersujud) atas bantal lalu baginda mengambilnya dan mencampaknya. Sahabat itu mengambil kayu pula dan bersolat atas kayu itu lalu baginda tetap mengambilnya dan mencampaknya, seraya bersabda: 

صَلِّ عَلَى الأَرْضِ إِنِ استَطَعْتَ وَإِلَّا فَأَوْمِ اِيْمَاءَ وَاجَعَلْ سُجُودَكَ أَخْفَضَ مِن رُكُوعِكَ

Maksudnya: “Solatlah kamu (yakni sujudlah) di atas bumi sekiranya kamu mampu. Jika tidak mampu, maka tundukkanlah kepala (untuk rukuk dan sujud), dan jadilah sujud kamu lebih rendah daripada rukuk.”

Riwayat Imam al-Baihaqi Rahimahullah dalam Ma`rifah al-Sunan wa al-Athar (no. 1083).

 

Imam Al-Baihaqi berkata: “Ini kerana berkemungkinan bantal tersebut ditinggikan dan diletakkan terlalu tinggi daripada permukaan bumi. Wallahua`lam.” Seperti yang dibincangkan sebelum ini, meletakkan bantal hanya wajib sekiranya memperolehi bentuk tankis.

 

Berkata Syeikh al-Ramli: 

فَإِنْ عَجَزَ أَوْمَأَ بِرَأْسِهِ وَالسُّجُودُ أَخْفَضُ مِنْ الرُّكُوع

“Sekiranya dia tidak mampu, maka dia menundukkan kepalanya dan sujud itu lebih rendah (tunduknya) berbanding rukuk.” Rujuk Nihayah al-Muhtaj (1/469-470)

 

Orang yang tidak mampu tankis dalam sujud kerana ada illah (sakit dan seumpamanya) maka sujudnya tetap sah. Berkata Syeikh Zainuddin al-Malibari Rahimahullah dalam Fath al-Mu`in (ms.45): 

نَعَم إِن كَانَ بِهِ عِلَّةٌ لَا يُمكِنُهُ مَعَهَا السُجُودُ إِلَّا كَذَلِكَ أَجْزَأَهُ

“Benar, sekiranya seseorang itu memiliki illah yang tidak membolehkannya sujud melainkan tanpa tankis, maka memadai sujudnya.”

 

Hukum Bersandar Ketika Menunaikan Solat

Persoalan; adakah batal solat sekiranya seseorang bersandar ketika solat?

Jawapannya; dalam mazhab Imam al-Syafie, seseorang yang bersolat secara berdiri tetapi bersandar atau bergantung pada sesuatu seperti dinding, manusia atau tongkat, maka hukum solatnya adalah sah dengan hukum makruh. Ini jika tiada keuzuran yang membolehkan bersandar. Jika terdapat keuzuran maka tidak ada hukum makruh di situ. Lihat al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie (1/243) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili hafizhahullah. 

Kata Imam al-Khatib al-Syarbini: “Sekiranya seseorang itu bersandar kepada sesuatu seperti dinding solatnya sah berserta karahah (makruh). Beliau berkata lagi: Sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk berdiri disebabkan masyaqqah yang berat maka dia boleh duduk sebagaimana yang dia mahu.” Rujuk al-Iqna’ (ms. 184) oleh Imam al-Khatib al-Syarbini. 

Berdasarkan kenyataan ini, kami berpendapat bahawa sekiranya seseorang yang solat bersandar juga dikira sebagai sah solatnya, maka begitulah juga solat seorang yang duduk dalam keadaan bersandar dengan kaedah qiyas. Lebih-lebih lagi bersandarnya dia itu disebabkan keuzuran yang diambil kira oleh syarak. Ini kerana, duduk apabila tidak mampu mengambil maqam berdiri dalam solat bagi yang mampu. Jika bersandar semasa berdiri tidak membatalkan solat, demikian jugalah bersandar semasa duduk ketika menunaikan solat.

 

Beberapa Cadangan Atau Dhawabit

Kami sebutkan di sini beberapa dhawabit dan juga cadangan bagi sesiapa yang ingin melaksanakan solat secara duduk di atas kerusi seperti berikut:

  1. Hendaklah kedudukan kerusi yang digunakan oleh para jemaah yang uzur atau tidak mampu berdiri itu berada di hujung saf.
  2. Jika sekiranya kumpulan ini ramai, alangkah baik dikhususkan bagi mereka satu tempat. Hal ini dilakukan oleh sebahagian masjid di negara Arab.
  3. Bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.
  4. Kedudukan kaki mereka yang solat duduk di atas kerusi hendaklah tidak melebihi kedudukan imam.
  5. Orang yang duduk di atas kerusi tetapi boleh berdiri hendaklah mendekatkan seboleh mungkin dengan garisan saf untuk mewujudkan keselarian antara saf.

Kami juga mencadangkan bahawa kerusi yang digunakan hendaklah bersaiz kecil dan tidak terlalu besar, ini supaya keseragaman saf dapat dijaga serta memberikan keselesaan bagi jemaah yang lain. Alhamdulillah respon daripada sebahagian pereka cipta cukup baik dan kami ucapkan ribuan terima kasih agar satu masa nanti wujud satu kerusi yang mesra solat Jemaah dengan mengambilkira pelbagai aspek hukum berjemaah dan solat itu sendiri.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

 

Setelah kami melihat dan menekuni permasalahan ini, kami yakin dan percaya bahawa Islam merupakan suatu agama yang memberi rahmat kepada sekalian alam. Demikian juga Islam itu bersifat dengan qillah al-takalif (sedikit taklif) serta ‘adamul haraj (tidak menyusahkan). Ini berbetulan dengan firman Allah S.W.T: 

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْر

Maksudnya: Allah mahukan kemudahan untuk kamu dan Dia tidak mahukan kepayahan buat kamu.

(Surah Al-Baqarah: 185)

 

Syeikh al-Sobuni berkata: “Allah mengkehendaki dengan rukhsah ini sebagai keringanan bagi kamu dan bukan memberatkan.” Lihat Sofwah al-Tafasir (1/108)

 

Begitu juga firman-Nya: 

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: Dan tidaklah Allah menjadikan ke atas kalian kepayahan di dalam agama.

(Surah Al-Hajj: 78)

 

Al-Sobuni berkata: “Allah tidak jadikan kamu pada agama ini sebarang bentuk kesempitan dan masyaqqah. Dia juga tidak sekali-kali mentaklifkan kamu apa yang kamu tidak mampu, bahkan ia adalah agama yang penuh toleransi. “ Lihat Sofwah al-Tafasir (2/275) 

Suka kami tegaskan di sini, hendaklah kita semua memahami fiqh solat dengan sebenarnya mengikut neraca syariah Islamiyyah yang tepat dan sahih. Oleh itu, berkenaan isu solat secara duduk di atas kerusi maka kami nyatakan di sini bahawa hukumnya adalah sah sebagaimana yang telah kami bahaskan di atas dengan huraiannya yang terperinci. 

Akan tetapi ianya perlulah menepati syarat-syarat serta dhawabit yang telah disebutkan. Yang penting adalah perlaksanaan solat mengikut apa yang telah dinyatakan oleh syarak serta apa yang telah diajarkan oleh para fuqaha dan ulama dalam memberikan solusi yang berkaitan dengan isu ini. Solat yang menjadi tiang agama perlulah dilaksanakan dengan sebaiknya dengan meraikan segala rukun dan juga syarat-syaratnya. 

Semoga pencerahan ini dapat memberikan kefahaman serta merungkaikan kekeliruan kepada kita semua. Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T supaya menerima segala amalan soleh yang kita lakukan serta menggolongkan kita di dalam hamba-hamba-Nya yang beriman. Ameen.

 

Akhukum Fillah 

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri 

Mufti Wilayah Persekutuan 

20 Februari 2017 bersamaan 23 Jamadil Awal 1438 H

 

Nota hujung: 

[1] Sepakat Ulama dan Fuqaha bahawa qiyam adalah rukun dalam solat fardu bagi mereka yang mampu. Ia berdasarkan nas al-Quran dan al-Hadith. Lihat al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah (34/106-107) 

[2] Sepakat Fuqaha dikehendaki dengan qiyam yang dituntut oleh Syarak dalam solat ialah berdiri secara tegak dan tidak mengapa jika sedikit condong yang tidak sampai kepada tahap sama seperti rukuk sekira-kira jika dia menjulur tapak tangannya tidak sampai ke lutut. Lihat al-Durr al-Mukhtar (1/414); Hasyiah al-Dusuki (1/231); Nihayah al-Muhtaj (1/347); Mughni al-Muhtaj (1/153); dan al-Mughni (1/463). 

[3] Sepakat Ulama bahawa berdiri pada masa solat akan gugur pada solat fardu dan sunat dengan sebab lemah untuk berdiri, sakit atau lainnya. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW dalam Sahih al-Bukhari. Lihat al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah (34/107)


Sumber: Tahqiq al-Masail 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.