disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Rabu, 6 Mac 2024

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-416: LAFAZ DOA KEDUA IBUBAPA

   

 

Soalan: Apakah lafaz yang tepat untuk doa kepada kedua ibubapa? 

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدِيْنَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا

Maksudnya: 

“Ya Allah ampunilah dosaku dan dosa keDua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku sejak kecil.” 

 

 

Jawapan: 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan dan masa. Justeru itu, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita. Allah SWT juga menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:  

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

al-Ghafir: 60 

Maksudnya: 

“Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”  


Imam Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya mengatakan bahawa pada ayat ini adalah dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf di antara orang islam. [Lihat: Tafsir Ibn ‘Asyur, 183/24] 

Di samping itu juga, kita amat dituntut untuk sentiasa berdoa kepada kedua ibubapa kerana mereka telah banyak berjasa kepada kita dan doa seorang anak kepada kedua ibubapanya merupakan di antara amalan yang tidak akan putus walaupun kedua ibubapanya telah meninggal dunia. 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ


Maksudnya: 

“Apabila matinya seorang insan akan terputus amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah Jariyah, ilmu yang bermanfaat buat dirinya dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya.” [Riwayat Muslim (1631)] 


Berdasarkan kepada soalan di atas, sebahagian doa tersebut ada disebutkan di dalam beberapa ayat di dalam al-Quran berkaitan kepada kedua ibubapa, antaranya: 

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Ibrahim: 41

Maksudnya:

 “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.” 

 

رَّبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا

 Nuh: 28

 Maksudnya: 

“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dalam keadaan beriman dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (pada setiap zaman) dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan.”  

وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

al-Isra’: 24 

Maksudnya:

 “Katakanlah: Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya dengan memelihara dan mendidikku semasa kecil.”  


Berikut adalah di antara ayat-ayat al-Quran yang menceritakan berkaitan lafaz doa kepada kedua ibubapa. Akan tetapi, ia disebutkan di dalam bentuk mufrad (tunggal iaitu untuk seorang). 

Antara lafaz doa yang boleh dibaca adalah berbeza mengikut siapa yang ingin didoakan. Sekiranya seseorang itu hanya ingin mendoakan kepada dirinya dan kedua ibubapanya sahaja boleh membaca dengan lafaz ini: 

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا

Maksudnya: 

“Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.”

 

Adapun, sekiranya seseorang itu ingin mendoakan kepada ramai dan kedua ibubapa mereka boleh berdoa dengan lafaz ini: 

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدَيْنَا وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانَا صِغَارًا

 Maksudnya: 

“Ya Allah! ampunilah dosa kami dan dosa kedua orang tua kami dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kecil.”  

Selain itu, lafaz yang ketiga ini sama seperti lafaz yang kedua iaitu mendoakan untuk ramai. Tetapi bezanya adalah pada lafaz “وَلِوَالِدِيْنَا” dibaca dengan baris bawah dan bukannya dengan baris atas “وَلِوَالِدَيْنَا” sepertimana di dalam lafaz yang kedua. Tambahan pula, lafaz yang ketiga ini (dibaca dengan baris bawah) bukan hanya terhad kepada ibubapa, bahkan ia termasuk datuk, nenek dan ke atas. Lafaz tersebut adalah: 

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدِيْنَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا

Maksudnya:

 “Ya Allah! ampunilah dosa kami dan dosa kedua orang tua kami dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kecil.”  


Justeru, seseorang yang ingin berdoa perlu melihat atau memilih lafaz yang sesuai sama di dalam berdoa. Begitu juga kepada para imam, perlu berdoa untuk semua jemaah yang hadir dan bukan itu dirinya sahaja. 

Penutup 

Kesimpulannya, doa kepada kedua ibubapa sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia merupakan satu perkara yang dituntut. Ini kerana, Allah SWT mengajar kita sebagai hamba-Nya agar sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapa sepertimana yang terdapat di dalam al-Quran. Untuk itu, janganlah sesekali kita lupa untuk sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapa kita dalam apa jua keadaan sekali pun kerana wujudnya kita di dunia ini adalah disebabkan mereka. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita anak-anak soleh dan solehah yang sentiasa berbakti serta mendoakan kesejahteraan kepada keduanya. Amin.

 

Wallahua’alm


Kredit: Irsyad al-Hadith

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.