disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Rabu, 6 Julai 2016

Surah 11: Hud (Nabi Hud a.s.) - Saad Al Ghamdi




Surah Hud (سورة هود) adalah surah ke-11 dalam Al-Quran.

Termasuk golongan surah-surah Makkiyyah.

Surah ini terdiri daripada 123 ayat diturunkan sesudah surah Yunus.

Surah ini dinamai surah Hud kerana ada hubungannya dengan terdapatnya kisah Nabi Hud ‘alaihis salam dan kaumnya.

Dalam surah ini terdapat juga kisah-kisah Nabi yang lain, seperti kisah Nabi Nuh ‘alaihis salam, Nabi Saleh ‘alaihis salam, Nabi Ibrahim ‘alaihis salam, Nabi Luth ‘alaihis salam, Nabi Syu‘aib ‘alaihis salam dan Nabi Musa ‘alaihis salam.


🎈💦🎈💦🎈💦🎈💦🎈



أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيطَانِ الرَّجِيْمِ

Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang terkutuk.

بِسْمِ ٱللهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

 🍄 Ayat 1- 5 🍄
Menerangkan mukjizat Al-Quran, perintah mengabdikan diri hanya kepada Allah, bukti-bukti keesaan dan kekuasaan-Nya, serta perintah beristighfar dan bertaubat yang merupakan kunci kebahagiaan dan rezeki yang luas.

🎈 Ayat 1
Alif, Lam, Ra'. Inilah Al-Quran sebuah kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan rapi, kemudian dijelaskan kandungannya dengan terperinci. Susunan dan penjelasan itu adalah daripada sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Teliti.

 💦 Kitab yang diperincikan iaitu diperjelaskan semua perkara tentang aqidah, ibadah, hukum, kisah, akhlak, ilmu pengetahuan, janji, peringatan, nasihat, dan perumpamaan.

💦 Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana lagi Maha Teliti. Dia meletakkan sesuatu pada tempatnya, memerintah dan melarang sesuai dengan kebijaksanaan-Nya. Oleh itu tidak perlu ragu-ragu tentang keagungan kitab serta kandungannya yang penuh dengan hikmah dan rahmat.

🎈 Ayat 2
(Al-Quran yang demikian sifatnya diturunkan oleh Allah) supaya kamu tidak menyembah selain Allah. (Katakanlah wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran dan pembawa berita gembira.

💦 Allah menurunkan kitab itu supaya menjadi panduan kepada manusia dalam mengendalikan kehidupan di dunia ini. Juga supaya dapat mengembalikan mereka kepada fitrah, iaitu hanya menyembah Allah.

💦 Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah pemberi peringatan kepada mereka yang ingkar dan pembawa berita gembira untuk mereka yang taat. Di akhirat kelak manusia yang engkar akan diazab, manakala orang-orang yang beriman akan diberi ganjaran.

🎈 Ayat 3
Dan hendaklah kamu memohon keampunan kepada Tuhan kamu (daripada perbuatan syirik), kemudian bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia akan memberi kesenangan yang baik kepadamu sehingga masa yang ditentukan. Dia akan memberikan kurniaan-Nya kepada setiap orang yang melakukan kebaikan dan jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab pada hari yang besar iaitu hari Kiamat."

💦 Orang-orang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan diberikan ganjaran pahala, manakala orang-orang yang ingkar akan diazab pada hari Kiamat.

💦 Mohonlah ampun terhadap segala perbuatan syirik dan dosa lain serta bertaubatlah dengan kembali mentaati-Nya dan mengerjakan perbuatan yang dicintai-Nya. Sekiranya telah melakukan apa yang dicintai-Nya, nescaya Allah akan memberikan kehidupan yang lebih baik dan rezeki yang banyak.

💦 Pada hari Kiamat Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengumpulkan semua makhluk, lalu Allah memberikan balasan terhadap amalan mereka. Jika amalan baik, akan diberi balasan yang baik, dan jika buruk, akan diberi balasan yang buruk.

🎈  Ayat 4
Kepada Allah-lah kamu akan kembali. Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

💦 Allah Maha Berkuasa atas segala yang dikehendaki-Nya. Dia Maha Berkuasa mengembalikan (menghidupkan) semua makhluk-Nya pada hari Kiamat serta memberikan ganjaran pahala kepada para wali-Nya (orang-orang yang melakukan kebaikan) dan menimpakan seksaan kepada musuh-musuh-Nya.

🎈  Ayat 5
Ingatlah! Sesungguhnya mereka (orang-orang munafik itu) memalingkan dada mereka untuk menyembunyikan daripadanya (Muhammad). Ingatlah! Semasa mereka menyelimuti diri mereka, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan, sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala isi hati.

💦 Orang-orang munafik cuba menyembunyikan perasaan benci kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan membongkokkan dada agar tidak dilihat oleh baginda, padahal Allah mengetahui apa yang disembunyikan dalam hati mereka.

💦 Ada pula yang menafsirkan, bahawa orang-orang yang mendustakan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam memalingkan dada ketika melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam agar baginda tidak melihat mereka dan tidak berdakwah kepada mereka.

🍄 Ayat 6 - 7 🍄
Ilmu dan kekuasaan Allah Ta‘ala merangkumi semua perkara, dan sikap kaum musyrik terhadap hari kebangkitan.

🎈 Ayat 6
Dan tidak ada satu pun binatang melata di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat tinggalnya dan tempat penyimpanannya. Semuanya itu tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata.

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberitahu bahawa Dia-lah yang mencipta dan menjamin rezeki seluruh makhluk yang hidup di laut ataupun di daratan, iaitu manusia, segala jenis haiwan yang melata, binatang yang terbang dan yang kecil ataupun besar. Dia mengetahui segala yang berlaku di atas bumi dan bagaimana kesudahannya. Semuanya telah tertulis di Lauh Mahfuz.

💦 Menurut sebahagian ahli tafsir, 'tempat tinggalnya' bermaksud dunia dan 'tempat penyimpanannya' ialah akhirat. Sebahagian yang lain pula menafsirkan 'tempat tinggalnya' ialah tulang sulbi dan 'tempat penyimpanannya' ialah rahim.

🎈 Ayat 7
Dan Dia-lah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, dan adalah singgahsana-Nya (sebelum itu) di atas air, agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan jika kamu (wahai Muhammad) berkata (kepada penduduk Mekah): "Sesungguhnya  kamu akan dibangkitkan setelah mati" nescaya orang yang kafir itu akan berkata: "Ini tidak lain, hanyalah sihir yang nyata."

💦 ‘Arsy Allah Ta‘ala berada di atas air. Dia menciptakan langit dan bumi dalam enam masa.

📚 Abdullah bin 'Amr bin Al-Ash meriwayatkan dalam Kitab Sahih Muslim, dia berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda, "Sesungguhnya Allah telah menetapkan takdir seluruh makhluk lima puluh ribu tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi, sedangkan ‘Arsy-Nya berada di atas air."

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala menciptakan langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya agar dapat dimanfaatkan oleh hamba-hamba-Nya. Allah menciptakan manusia adalah semata-mata untuk beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu pun. Allah hendak menguji hamba-hamba-Nya, siapakah di antara mereka yang paling taat, paling baik amalnya dan paling ikhlas kepada-Nya dengan mengikut syariat-Nya yang dibawa oleh Rasul-Nya.

💦 Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam mengingatkan penduduk Mekah tentang hari kebangkitan di akhirat, iaitu adanya kehidupan setelah kematian dan terdapatnya nikmat yang kekal atau azab yang menghinakan, kaum musyrik mengatakan bahawa semua itu adalah sihir yang nyata. Sebenarnya apa yang dikatakan oleh orang-orang kafir ini adalah perkataan yang batil dan penuh dengan pendustaan. Beginilah penerimaan orang-orang kafir terhadap risalah yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, kerana kebodohan dan hawa nafsu yang telah menguasai mereka.

 🍄 Ayat 8 - 11 🍄
Perbezaan sifat antara orang-orang kafir dengan orang-orang mukmin, bagaimana orang-orang kafir meminta disegerakan azab, dan sikap mereka ketika diuji dengan bencana atau kesenangan.

🎈 Ayat 8
Dan sesungguhnya jika kami tangguhkan azab daripada menimpa mereka hingga ke suatu masa yang ditentukan, tentulah mereka akan berkata (secara mengejek): "Apakah yang menghalangnya?" Ingatlah! Pada hari datangnya azab itu kepada mereka, tidak akan dapat ditolak daripada menimpa mereka, dan tentulah mereka akan diliputi oleh azab yang dahulunya mereka selalu persendakan itu.

💦 Apabila Allah menangguhkan azab dan hukuman bagi orang-orang musyrik hingga ke suatu masa tertentu dan Dia menjanjikan batas waktu yang telah ditetapkan-Nya, orang-orang musyrik itu bertanya dalam bentuk pengingkaran dan ejekan dengan meminta agar disegerakan azab tersebut. Sesungguhnya apabila telah sampai waktunya, azab tersebut tidak dapat ditolak atau ditangguhkan lagi. Ini adalah janji Allah dan pasti akan berlaku.

🎈 Ayat 9
Dan jika Kami rasakan kepada manusia suatu pemberian rahmat (nikmat) daripada Kami, kemudian Kami cabut rahmat itu daripadanya, pastilah dia menjadi putus asa, lagi tidak berterima kasih.

🎈 Ayat 10
Dan jika Kami memberinya pula kesenangan setelah bencana yang menimpanya, tentulah dia akan berkata: "Telah hilang bencana-bencana itu daripadaku." Sesungguhnya dia sangat gembira, lagi berbangga.

💦 Allah menggambarkan sifat manusia yang mempunyai hati yang tidak disinari dengan cahaya iman. Apabila mereka ditimpa bencana setelah mendapat kenikmatan, mereka akan berputus asa untuk mendapatkan kebaikan pada masa akan datang, malah mengingkari kenikmatan yang pernah mereka perolehi sebelumnya adalah kurniaan daripada Allah.

💦 Begitulah juga apabila berlaku keadaan sebaliknya, sekiranya mereka memperoleh kenikmatan setelah merasakan kesengsaraan, mereka sungguh gembira dengan kenikmatan tersebut tetapi tidak mensyukurinya dengan memuji Allah, malah berbangga-bangga di hadapan orang lain.

🎈  Ayat 11
Kecuali orang-orang yang sabar (terhadap bencana), dan mengerjakan amal-amal soleh, mereka itu akan memperoleh keampunan dan pahala yang besar.

 💦 Berlainan pula sikap orang-orang yang beriman dalam menghadapi keadaan ini. Apabila ditimpa musibah, mereka tidak berputus asa, bahkan bersabar dan redha dengan ujian tersebut. Apabila memperoleh nikmat, mereka tidak sombong, bahkan terus mensyukuri kurniaan-Nya. Mereka tetap melakukan amal soleh pada waktu susah atau senang dan sentiasa memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka sehingga segala yang dibimbangkan itu hilang, dan dibalas dengan syurga. Ini kerana di dalam hati mereka ada cahaya iman dan ikhlas dalam melakukan setiap amalan.

📚 Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, "Demi Rabb yang jiwaku berada di tangan-Nya! Tidaklah Allah menetapkan suatu ketetapan bagi seorang mukmin, kecuali hal itu baik baginya. Jika mendapat sesuatu yang menyenangkan, dia bersyukur dan baik baginya. Dan apabila ditimpa musibah, dia bersabar dan itu baik baginya. Dan yang demikian itu tidak diberikan kepada seorang pun selain orang-orang yang beriman." [Hadis riwayat Imam Ahmad dan Al-Bukhari]

🍄 Ayat 12 🍄
Hiburan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam disebabkan apa yang dilakukan oleh kaumnya terhadap baginda, dan perintah supaya baginda bersabar dalam berdakwah.

🎈 Ayat 12
Boleh jadi engkau (wahai Muhammad) hendak meninggalkan sebahagian daripada apa yang diwahyukan kepadamu dan dadamu menjadi sempit kerana khuatir disebabkan mereka (orang-orang yang ingkar) itu berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) perbendaharaan (harta benda yang banyak), ataupun datang bersama-sama dengannya malaikat (untuk menolongnya menyebarkan Islam)?" Sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan (kepada orang-orang yang ingkar), dan Allah adalah Pemelihara segala sesuatu.

💦 Sebahagian ahli tafsir mentafsirkan ayat ini dengan mengatakan bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai satu hiburan atau galakan kepada baginda kerana telah diejek oleh orang-orang musyrik.

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberikan dorongan supaya baginda tidak meninggalkan dakwah hanya dengan sebab ejekan dan cacian orang-orang musyrik tersebut. Kata-kata ejekan mereka seharusnya tidak menjadikan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam lemah dalam meneruskan dakwah. Allah memerintahkan Rasul-Nya supaya terus tabah menghadapi rintangan dalam menyampaikan wahyu yang diturunkan kepadanya di samping tidak menyembunyikannya. 

💦 Dalam ayat ini terdapat petunjuk, bahawa tidak patut bagi seseorang da‘i yang mengajak manusia kepada Allah berhenti berdakwah hanya disebabkan ada yang menghalang atau mencela, khususnya apabila celaan tersebut tidak mempunyai sandaran. Seseorang da‘i seharusnya tidak cepat berputus asa atau mengalah, tetapi hendaklah tenang dan terus berdakwah.

💦 Allah memberitahu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa tugasnya hanyalah menyampaikan peringatan, sama seperti rasul-rasul terdahulu. Mereka juga pernah didustakan dan disakiti tetapi mereka tetap bersabar sehingga Allah mendatangkan pertolongan.

🍄 Ayat 13 -14 🍄
Mukjizat Al-Quran, dan cabaran kepada manusia yang mengingkarinya untuk mendatangkan sepuluh surah yang sama seperti Al-Quran, dan bahawa mereka tidak akan sanggup mendatangkannya kerana Al-Quran adalah firman Allah Rabbul ‘alamin.

🎈 Ayat 13
Bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: "Dia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran," katakanlah (wahai Muhammad): "(Jika demikian tuduhan kamu), datangkanlah sepuluh surah rekaan yang seumpama dengannya (Al-Quran) itu, dan panggillah sesiapa sahaja yang kamu panggilkan selain Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar."

💦 Dalam ayat ini orang-orang musyrik mengatakan bahawa Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam yang mereka-reka Al-Quran. Oleh itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala meminta baginda mengumpulkan ahli-ahli sastera yang mahir berbahasa dan petah berbicara. Seterusnya Allah meminta Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam mencabar mereka supaya mencipta sepuluh surah yang seumpama dengan Al-Quran.

🎈 Ayat 14
Jika mereka tidak menyahut cabaran kamu, (tidak dapat melaksanakan permintaan kamu untuk membuat sepuluh surah yang seumpama dengan Al-Quran) katakanlah: "Ketahuilah, sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan hanyalah dengan ilmu Allah, dan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) mahukah kamu berserah diri (kepada Allah)?"

💦 Dalam ayat ini terdapat dalil, bahawa Al-Quran itu adalah mukjizat. Oleh sebab itu tidak ada seorang pun mampu mendatangkan yang sama sepertinya. Allah telah mencabar ahli-ahli sastera dan bahasa di kalangan orang Arab untuk mendatangkan sekurang-kurangnya satu surah, ternyata mereka tidak mampu. [Rujuk surah Al-Baqarah, 2:23-24 dan surah Yunus, 10:38]

🍄 Ayat 15 -16 🍄
Sesiapa yang hanya menghendaki dunia, tidak ada bahagian baginya di akhirat.

🎈Ayat 15
Sesiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan.

💦 Ada yang berpendapat, bahawa ayat ini turun berkenaan dengan orang-orang yang riya’. Ayat ini juga boleh ditujukan kepada orang-orang yang beribadah dengan niat untuk mendapatkan ganjaran dunia, contohnya imam, muazzin, da‘i dan sebagainya yang hanya mahu bertugas dengan syarat mendapat bayaran.

 💦 Perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah seperti wanita, anak-anak, harta yang banyak, emas, perak, kenderaan, haiwan ternak dan sawah ladang. Sesiapa yang beramal dengan tujuan untuk mendapatkan dunia dan perhiasannya sahaja, tetapi tidak mengharapkan sama sekali kepada kehidupan akhirat, dia tidak akan mendapat sedikit pun ganjaran pahala di akhirat.

💦 Menurut sebahagian ahli tafsir, bahawa ayat ini ditujukan kepada orang-orang kafir sahaja. Walau bagaimanapun ancaman ini sebenarnya ditujukan kepada orang-orang kafir dan orang-orang mukmin.

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan memberikan kesenangan di dunia kepada orang-orang yang beramal dengan mengharapkan dunia. Namun kesenangan itu hanyalah di dunia, tidak di akhirat.

🎈 Ayat 16
Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka, dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.

💦 Orang-orang yang beramal kerana mengejar balasan di dunia, amalan mereka itu menjadi sia-sia. Dalam Tafsir Ibnu Kathir, Qatadah mengatakan:

"Sesiapa yang menjadikan dunia ini sebagai tujuan, niat dan sesuatu yang dia kejar, Allah akan memberi balasan di dunia atas kebaikan yang dia lakukan, sehingga apabila dia menuju akhirat, tidak ada lagi kebaikan buatnya. Sedangkan bagi orang mukmin, dia akan diberikan balasan di dunia dan diberikan pula pahala di akhirat."

🍄 Ayat 17 🍄
Orang-orang yang mempunyai bukti yang nyata daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala pasti beriman kepada Al-Quran.

🎈 Ayat 17
Apakah (orang-orang kafir itu sama dengan) orang-orang yang mempunyai bukti yang nyata (Al-Quran) daripada Tuhannya, dan diikuti pula oleh saksi daripada Allah dan sebelum Al-Quran itu telah ada Kitab Musa yang menjadi pedoman dan rahmat? Mereka itu beriman kepada Al-Quran. Dan sesiapa di antara mereka (orang-orang Quraisy) dan sekutu-sekutunya yang kafir kepada Al-Quran, maka nerakalah tempat yang diancam baginya, kerana itu janganlah kamu ragu-ragu terhadap Al-Quran itu. Sesungguhnya (Al-Quran) itu benar-benar daripada Tuhanmu, tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyebutkan keadaan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam dan orang-orang mukmin yang mengikuti baginda menegakkan agama-Nya.

💦 Ada yang menafsirkan “saksi” dalam ayat di atas sebagai malaikat Jibril ‘alaihis salam. Ada pula yang menafsirkan sebagai Al-Quran kerana Al-Quran adalah suatu mukjizat yang tidak dapat dibantah atau dibatalkan. Ada pula yang menafsirkannya sebagai fitrah yang lurus dan akal yang sihat yang mendorong bertambahnya iman seseorang.

💦 Kitab bagi Nabi Musa ‘alaihis salam iaitu Taurat, menjadi saksi pula terhadap kebenaran Al-Quran kerana kebenaran Al-Quran sama dengan kebenaran yang terdapat dalam Taurat.

💦 Tidak sama keadaan orang yang berada dalam fitrah dengan orang yang berada dalam kegelapan dan kebodohan. Ada di kalangan manusia tidak beriman disebabkan kebodohan dan kesesatan, dan ada pula yang tidak beriman disebabkan kezaliman dan sikap keras menentang kebenaran. Sekiranya seseorang memahami kebenaran dan mempunyai niat yang baik tentu dia akan beriman.

🍄 Ayat 18 - 24 🍄
Menerangkan keadaan orang-orang kafir dan orang-orang mukmin, serta amalan dan balasan untuk mereka.

🎈 Ayat 18
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah? Mereka itu akan dihadapkan kepada Tuhan mereka, dan berkatalah saksi-saksi: "Inilah orang-orang yang berdusta terhadap Tuhan mereka." Ingatlah (sesungguhnya) laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang zalim.

💦 Mereka melakukan pendustaan terhadap Allah Ta‘ala dengan menyatakan bahawa Dia mempunyai sekutu dan anak, menyifatkan-Nya dengan sifat yang tidak sesuai dengan keagungan-Nya dan pelbagai bentuk pendustaan yang lain.

💦 Pada hari Kiamat, mereka akan dihadapkan kepada Allah Ta‘ala di hadapan semua makhluk. Ada yang akan menjadi saksi terhadap amalan mereka. Saksi-saksi ini terdiri daripada malaikat, nabi-nabi dan makhluk-makhluk yang terlibat dengan mereka semasa berada di dunia dahulu termasuk anggota badan sendiri.

💦 Laknat Allah tidak akan terputus malah terus menimpa mereka (orang-orang musyrik), kerana kezaliman yang sudah sebati dalam diri mereka.

🎈  Ayat 19
Iaitu orang-orang yang menghalang manusia dari jalan agama Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok (terpesong). Dan mereka itulah yang mengingkari hari akhirat.

💦 Menghalang dari jalan Allah bermaksud mencegah manusia daripada mengikuti jalan kebenaran. Mereka memberi gambaran buruk dan memfitnahnya sehingga manusia terpesong dari jalan yang lurus. Mereka menjadikan perkara-perkara yang batil nampak benar dan indah manakala yang benar nampak sebaliknya.

🎈 Ayat 20
Mereka itu tidak akan mampu menghalang seksaan Allah daripada menimpa mereka di bumi ini dan tidak ada bagi mereka sesiapapun yang dapat menolong (melepaskan mereka daripada seksaan-Nya) selain Allah. Azab untuk mereka akan digandakan (kerana mereka sangat bencikan jalan agama Allah), sehingga mereka tidak tahan mendengar kebenarannya, dan tidak pula suka melihatnya (tanda-tanda kebenarannya).

💦 Ayat ini memberikan gambaran bahawa Allah Ta‘ala akan membela orang-orang yang mendapat tekanan daripada orang-orang yang menghalang mereka mengikuti jalan Allah. Allah berkuasa membalas tindakan mereka yang zalim tersebut dengan mengenakan seksaan semasa mereka berada di dunia lagi. Kelak di akhirat Allah akan melipatgandakan lagi seksaan-Nya kepada mereka.

💦 Mereka menyesatkan orang lain kerana begitu bencinya mereka kepada kebenaran seakan-akan mereka orang-orang yang buta dan tuli. Mereka sebenarnya dapat melihat dan mendengar, tetapi tidak mahu menggunakannya untuk mencari kebenaran dan mengakuinya seperti firman Allah dalam Surah Al-Mulk, 67:10.

🎈 Ayat 21
Merekalah orang-orang yang merugikan diri sendiri, dan hilang lenyaplah daripada mereka apa yang mereka selalu ada-adakan.

💦 Amat merugikan kerana mereka menolak pahala yang demikian besar dan mencari tempat kembali yang paling buruk, iaitu neraka dan mereka kekal di dalamnya, wal‘iyazu billah.

💦 Lenyaplah segala seruan mereka, dan sembahan yang mereka sembah selain Allah tidaklah berguna apa-apa bagi mereka.

🎈 Ayat 22
Sesungguhnya pasti merekalah yang paling rugi pada hari akhirat kelak.

💦 Begitu dalamnya penyesalan mereka, terhalangnya mereka daripada mendapat kenikmatan, dan merasakan azab yang begitu berat. Kita berlindung kepada Allah daripada keadaan seperti itu.

🎈 Ayat 23
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk taat merendah diri kepada Tuhan, mereka itulah ahli syurga, dan mereka kekal di dalamnya.

💦 Allah menyebutkan keadaan orang yang berbahagia dan ganjaran yang akan diperolehi di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

💦 Mereka beriman sepenuh hati terhadap Rukun Iman dan beramal soleh dengan hati, lisan dan anggota badan. Mereka mencintai, takut dan mengharap kepada-Nya.

💦 Mereka berlumba-lumba mengerjakan amal soleh untuk mendapatkan ganjaran atas kebaikan yang dilakukan.

🎈 Ayat 24
Perumpamaan dua golongan (yang kafir dan yang beriman) itu seperti orang yang buta dan pekak, dengan orang yang dapat melihat dan mendengar. Adakah kedua-dua golongan itu sama keadaannya? Tidakkah kamu mahu mengambil pengajaran?

💦 Orang yang buta dan pekak adalah perumpamaan kepada golongan yang kafir atau golongan yang celaka. Manakala dapat melihat dan mendengar adalah perumpamaan kepada golongan yang mukmin atau golongan yang berbahagia.

💦 Oleh itu setiap orang perlu sentiasa muhasabah diri supaya dapat melakukan amalan yang bermanfaat dan menjauhi amalan yang merugikan.

🍄 Ayat 25 - 30 🍄
Kisah Nabi Nuh ‘alaihis salam dan kaumnya, salah tanggapan mereka terhadap baginda serta peringatan yang diberikan oleh Nabi Nuh ‘alaihis salam kepada mereka.

🎈 Ayat 25
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, (dia berkata): "Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang nyata bagi kamu.

🎈 Ayat 26
Agar kamu tidak beribadah kepada selain Allah. Sesungguhnya aku takut (jika kamu menyembah selain-Nya), kamu akan ditimpa azab (pada) hari yang sangat menyedihkan."

💦 Nabi Nuh ‘alaihis salam adalah Rasul pertama yang diutuskan kepada penduduk bumi yang menyekutukan Allah dengan menyembah berhala. Baginda diutuskan sebagai pemberi peringatan tentang azab yang pedih di akhirat nanti sekiranya mereka melakukan syirik terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

 🎈 Ayat 27
Maka berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir daripada kaumnya: "Kami tidak melihat kamu (wahai Nuh), melainkan sebagai seorang manusia (biasa) seperti kami, dan kami tidak melihat orang-orang yang mengikuti kamu, melainkan orang-orang yang miskin lagi hina di antara kami yang cepat percaya, dan kami tidak melihat kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu adalah orang-orang yang dusta."

💦 Orang-orang kafir tidak dapat menerima perlantikan seorang Rasul daripada kalangan manusia biasa, dan itu merupakan penghalang untuk mereka mengikuti ajaran Nabi Nuh ‘alaihis salam. Ini kerana mereka berpendapat, sepatutnya tugas Rasul itu mestilah diserahkan kepada malaikat yang pada sangkaan mereka hanya malaikat yang layak untuk menyampaikan wahyu Allah.

💦 Kaum musyrik menganggap bahawa sesiapa yang mengikuti Nabi Nuh ‘alaihis salam adalah golongan yang berfikiran cetek kerana tidak meneliti dan memikirkan tentang apa yang dibawa oleh baginda. Mereka juga berpendapat bahawa merekalah orang-orang yang mulia dan menggunakan akal kerana terdiri daripada golongan pemimpin dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Sebenarnya mereka adalah golongan yang hina dan kurang akal kerana mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan yang derhaka. Ini kerana mereka menjadikan tuhan-tuhan mereka daripada batu dan pokok yang keadaannya lebih lemah daripada diri mereka sendiri untuk disembah.

💦 Baginda dituduh berdusta kerana mengaku sebagai seorang Rasul. Sebenarnya merekalah yang berdusta. Ini kerana telah jelas bukti-bukti yang menunjukkan kebenaran baginda tetapi mereka masih tetap menolaknya.

🎈 Ayat 28
Nabi Nuh berkata: "Wahai kaumku! Apa pandangan kamu, jika aku mempunyai bukti yang nyata daripada Tuhan-ku, dan diberi-Nya aku rahmat daripada sisi-Nya, kemudian bukti yang nyata dan rahmat itu menjadi kabur pada pandangan kamu (disebabkan keingkaran kamu yang telah sebati). Adakah kami akan memaksa kamu untuk menerimanya, padahal kamu tidak menyukainya?

 💦 Kebencian dan keingkaran terhadap ajaran yang dibawa oleh Nabi Nuh ‘alaihis salam menjadi penghalang kepada mereka untuk tunduk kepada kebenaran. Oleh itu mereka tidak akan dipaksa untuk beriman sekiranya mereka masih tidak mahu menerimanya.

🎈 Ayat 29
Dan (dia berkata): "Wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda (sebagai upah) bagi seruanku. Upahku hanyalah daripada Allah dan aku sekali-kali tidak akan menghalau orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya mereka akan bertemu dengan Tuhan mereka akan tetapi aku memandang kamu semua, kaum yang tidak mengerti."

💦 Nabi Nuh ‘alaihis salam tidak mengharapkan sebarang upah daripada manusia sebaliknya hanya mengharapkan balasan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

💦 Nabi Nuh ‘alaihis salam tidak akan menurut kehendak kaum musyrik agar mengusir orang-orang yang beriman kepada baginda. Mereka ini akan dihisab tentang amalan bukan susur galur keturunan dan mereka akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

💦 Allah akan menilai keimanan dalam diri seseorang, bukan banyak hartanya atau tinggi kedudukannya dalam masyarakat.

🎈 Ayat 30
Dan (dia berkata): "Wahai kaumku! Siapakah yang akan menolongku daripada (azab) Allah jika aku mengusir mereka. Maka tidakkah kamu mengambil pelajaran?

💦 Kata-kata ini diucapkan oleh Nabi Nuh ‘alaihis salam sewaktu baginda didesak oleh golongan pembesar agar mengusir golongan beriman yang miskin dan lemah daripada terus berada  bersama-sama baginda.

🍄 Ayat 31- 34 🍄
Jawapan Nabi Nuh ‘alaihis salam terhadap permintaan kaumnya agar didatangkan azab.

🎈 Ayat 31
Dan aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) aku mempunyai gudang-gudang rezeki dan kekayaan daripada Allah, dan aku tidak mengetahui yang ghaib dan tidak (pula) aku mengatakan bahawa sesungguhnya aku adalah malaikat dan tidak (juga) aku mengatakan kepada orang-orang yang dipandang hina oleh penglihatanmu, bahawa Allah tidak akan mendatangkan kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui apa yang ada pada diri mereka. Sesungguhnya, jika aku melakukan demikian, nescaya aku tergolong dikalangan orang yang zalim."

💦 Nabi Nuh ‘alaihis salam memberitahu kaumnya bahawa baginda adalah seorang utusan Allah untuk mengajak mereka beriman dan beribadah hanya kepada-Nya. Risalah yang dibawa oleh baginda adalah untuk semua golongan sama ada yang kaya ataupun miskin.

💦  Baginda juga mengatakan bahawa baginda tidak memiliki kuasa untuk mengatur kekayaan Allah dan juga tidak mengetahui perkara yang ghaib, kecuali apa yang diperlihatkan kepadanya. Baginda juga bukanlah daripada kalangan malaikat tetapi hanya manusia biasa yang diangkat sebagai rasul dengan dianugerahkan beberapa mukjizat.

🎈 Ayat 32
Mereka berkata: "Wahai Nuh! Sesungguhnya engkau telah bertikam lidah dengan kami, dan kamu telah memanjangkan bantahanmu terhadap kami, maka datangkanlah kepada kami azab yang kamu ancamkan kepada kami, jika kamu termasuk orang yang benar."

💦 Apabila mereka mendapati bahawa Nabi Nuh ‘alaihis salam tidak juga berhenti dan berputus asa daripada berdakwah, malahan tidak mahu mengikut kehendak mereka, mereka menuturkan kata-kata seperti yang disebutkan dalam ayat di atas.

💦 Alangkah jahil dan sesatnya mereka, kerana berkata-kata seperti ini kepada seorang nabi yang begitu jujur dan ikhlas dalam menyampaikan risalah! Sepatutnya mereka mensyukuri segala nasihat dan seruan, bukan mendustakan risalah yang dibawa dan bersikap biadab terhadap baginda. Oleh sebab mereka tidak dapat membantah kebenaran yang dibawa, mereka mencabar baginda agar disegerakan azab.

🎈 Ayat 33
Nabi Nuh menjawab: "Sesungguhnya Allah jualah yang akan mendatangkan azab itu kepada kamu jika Dia menghendaki, dan kamu sekali-kali tidak dapat melepaskan diri.

💦 Sesungguhnya yang paling layak menyeksa mereka dan menyegerakan seksaan hanyalah Allah. Apabila Dia menghendaki perkara itu berlaku, mereka pasti tidak akan mampu untuk mengelaknya.

🎈 Ayat 34
Dan tidaklah bermanfaat nasihatku kepadamu, jika aku hendak menasihatimu, sekiranya Allah hendak menyesatkan kamu (kerana kamu tetap berdegil), Dia-lah Tuhan kamu dan kepada-Nya kamu akan dikembalikan."

💦 Dia-lah penguasa yang mengendalikan segala urusan. Dia-lah hakim yang adil dan tidak pernah berlaku zalim kepada makhluk-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan Dia Yang Maha Pencipta dan semuanya akan kembali kepada-Nya.

🍄 Ayat 35 🍄
Perintah Allah kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam supaya menyanggah tuduhan orang-orang musyrik Mekah.

🎈 Ayat 35
Bahkan mereka (orang kafir) berkata: "Dia cuma mereka-rekanya sahaja." Katakanlah (Muhammad): "Jika aku yang mereka-rekanya, akulah yang akan menanggung dosa dan aku berlepas diri daripada dosa yang kamu kerjakan."

💦 Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa Allah menyelitkan kata-kata yang diungkapkan oleh orang-orang musyrik Mekah di tengah-tengah kisah Nabi Nuh ‘alaihis salam dan kaumnya. Orang-orang musyrik ini menuduh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam mereka-reka kisah Nabi Nuh ‘alaihis salam. Tujuan Allah Subhanahu wa Ta‘ala berbuat demikian ialah untuk menguatkan dan menegaskan lagi kisah Nabi Nuh ‘alaihis salam.

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam supaya menegaskan bahawa bukanlah baginda mereka-reka kisah tersebut. Ini kerana baginda lebih mengetahui tentang seksaan Allah jika mendustakan-Nya.

🍄 Ayat 36 - 37 🍄
Perintah Allah kepada Nabi Nuh ‘alaihis salam untuk membina kapal.

🎈 Ayat 36
Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh, bahawa sesungguhnya tidak akan beriman orang-orang daripada kaummu melainkan mereka yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka lakukan.

🎈 Ayat 37
Dan binalah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami (tentang cara membuatnya), dan janganlah engkau bicarakan kepada-Ku tentang (untuk menolong) kaum yang zalim itu, sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan.

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan Nabi Nuh ‘alaihis salam membina kapal dan jangan menghiraukan atau menaruh belas kasihan kepada orang-orang kafir. Dia akan membinasakan mereka disebabkan kekufuran dan kezaliman yang dilakukan.

💦 Allah mewahyukan kepada Nabi Nuh ‘alaihis salam bahawa kaumnya tetap tidak akan beriman. Oleh itu baginda mendoakan kebinasaan kepada mereka,

“Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu, dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi sangat kafir.” [Surah Nuh, 71:26-27]

🍄 Ayat 38 - 40 🍄
Ejekan oleh kaum Nabi Nuh ‘alaihis salam apabila baginda membina bahtera, jawapan terhadap ejekan tersebut dan kebinasaan kaum yang ingkar.

🎈 Ayat 38
Dan mulailah dia (Nuh) membina bahtera, dan setiap kali pemimpin kaumnya melalui tempatnya, mereka mengejek-ejeknya. Dia (Nuh) berkata: "Jika kamu mengejek-ejek kami, kami pun akan mengejek-ejek kamu sebagaimana yang kamu lakukan terhadap kami.

💦 Setiap kali mereka menghampiri Nabi Nuh ‘alaihis salam, mereka mengejek-ejek dan mendustakan baginda. Mereka tidak percaya kepada ancaman bahawa mereka akan ditenggelamkan.

🎈 Ayat 39
Maka kelak kamu akan mengetahui siapakah yang akan ditimpakan azab lagi menghinakan dan siapakah pula yang akan ditimpakan azab yang kekal."

💦 Ini merupakan ancaman yang keras dan janji yang benar daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka akan mendapat azab yang menghinakan di dunia dan diazab terus menerus dan selama-lamanya di akhirat.

🎈 Ayat 40
Hingga apabila perintah Kami datang dan dapur (tannur) telah memancarkan air, Kami berfirman: "Muatkanlah ke dalam bahtera itu daripada tiap-tiap jenis haiwan sepasang (jantan dan betina), dan ahli keluargamu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab ke atasnya, dan (muatkanlah) orang-orang beriman." Dan tidak beriman bersamanya (Nuh), melainkan sedikit sahaja.

💦 Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya menyatakan, ini adalah janji Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada Nabi Nuh ‘alaihis salam iaitu ketika datang perintah-Nya, hujan turun tidak berhenti-henti dan sumber air tidak surut  sebagaimana yang disebutkan dalam surah Al-Qamar, 54:11-12.

"Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan (menurunkan) hujan yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk satu urusan yang telah ditetapkan."

 💦 Ibnu Kathir juga menulis tentang firman Allah "dan dapur telah memancarkan air"; daripada Ibnu Abbas bahawa maksud "dapur" itu ialah permukaan bumi. Di permukaan bumi ini terjadi mata air-mata air yang memancar.

💦 Ketika ada tanda-tanda hampirnya waktu mereka akan ditenggelamkan iaitu hujan turun tidak berhenti-henti, Allah memerintahkan Nabi Nuh ‘alaihis salam membawa ke atas bahtera sepasang daripada setiap jenis haiwan, ahli keluarganya dan kaumnya yang beriman. Jumlah yang menaiki bahtera ternyata amat sedikit.

💦 Maksud "ahli keluargamu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman" dalam ayat di atas ialah ahli-ahli keluarga Nabi Nuh ‘alaihis salam yang tidak mahu beriman dan telah pun ada ketetapan untuk dibinasakan.

🍄 Ayat 41- 44 🍄
Kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak dapat dilemahkan oleh sesuatu pun, semuanya tunduk kepada perintah-Nya.

🎈 Ayat 41
Dan Nuh berkata: "Naiklah kamu semua ke dalamnya (bahtera) itu dengan menyebut nama Allah pada waktu belayar dan berlabuhnya. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang."

💦 Nabi Nuh ‘alaihis salam menyuruh orang-orang yang menaiki bahtera supaya menyebut nama Allah semasa memulakan perjalanan di atas permukaan air dan semasa berlabuh. Ini menunjukkan sunnah membaca basmalah apabila memulakan sesuatu pekerjaan. Dalam surah yang lain Allah berfirman:

"Kemudian apabila kamu dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu hendaklah kamu mengucapkan: 'Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim.' "Dan berdoalah dengan berkata: 'Wahai Tuhanku, tempatkanlah aku pada tempat yang diberkati, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat.'" [Al-Mu'minun, 23:28-29]

🎈  Ayat 42
Dan bahtera itu belayar membawa mereka ke dalam gelombang laksana gunung-gunung. Dan Nuh memanggil anaknya, ketika dia (anak itu) berada di tempat yang jauh terpencil, "Wahai anakku! Naiklah (ke atas bahtera) bersama kami, dan janganlah engkau bersama-sama orang-orang yang kafir."

💦 Bahtera itu membawa mereka atas permukaan air yang menggunung tingginya disertai pula dengan gelombang yang besar, namun Allah Subhanahu wa Ta‘ala memelihara bahtera Nabi Nuh ‘alaihis salam dan penumpangnya.

💦 Nabi Nuh ‘alaihis salam memanggil salah seorang anaknya yang tidak mahu beriman supaya menaiki bahtera yang dibuat olehnya. Baginda juga mengajaknya beriman supaya tidak turut tenggelam bersama-sama dengan orang-orang kafir.

🎈  Ayat 43
Anaknya menjawab: "Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat menghindarkan aku daripada air bah." (Nuh) berkata: "Tidak ada yang dapat melindungi daripada seksaan Allah pada hari ini selain Allah Yang Maha Penyayang." Dan gelombang menjadi penghalang antara kedua-duanya, maka dia (anak itu) termasuk orang yang ditenggelamkan.

💦 Anak Nabi Nuh ‘alaihis salam yakin akan terselamat daripada tenggelam dalam banjir itu sekiranya dia berenang ke puncak gunung. Ini merupakan kejahilan dan keangkuhannya kerana tidak percaya dengan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Akhirnya dia tenggelam dalam banjir tersebut.

🎈 Ayat 44
Dan Allah berfirman: "Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit (hujan) berhentilah." Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berlabuh di atas gunung "Judi" dan dikatakan: "Binasalah orang-orang yang zalim."

💦 Setelah orang-orang kafir tenggelam dan Nabi Nuh ‘alaihis salam serta pengikut-pengikutnya terselamat, terlaksanalah janji Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuk membinasakan orang-orang yang kafir kepada Nabi Nuh ‘alaihis salam dan menyelamatkan orang-orang yang beriman.

🍄 Ayat 45 - 48 🍄
Tidak ada yang dapat memberi manfaat kepada manusia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala kecuali iman dan amal yang soleh, dan penjelasan tentang terputusnya nasab tanpa iman.

🎈  Ayat 45
Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu daripada keluargaku sendiri, dan bahawa janji-Mu itu adalah benar, dan Engkau-lah Hakim yang Maha Adil."

💦 Ini adalah permohonan Nabi Nuh ‘alaihis salam supaya anaknya yang tidak beriman itu dihindarkan daripada tenggelam dalam banjir.

💦 Baginda mengucapkan kata-kata "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu daripada keluargaku sendiri," dengan keyakinan bahawa janji Allah itu benar iaitu seluruh anggota keluarganya baik yang mukmin ataupun yang kafir akan terselamat, lalu bagaimana yang kafir akan tenggelam sedangkan Allah Maha Bijaksana.

🎈 Ayat 46
Allah berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya dia (anakmu) itu bukanlah daripada keluargamu (yang dijanjikan akan diselamatkan). Sesungguhnya amalannya bukanlah amalan soleh. Oleh sebab itu janganlah engkau memohon kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya Aku menasihatimu supaya tidak termasuk orang-orang yang jahil."

💦 Ayat ini merupakan jawapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap permohonan Nabi Nuh ‘alaihis salam agar anaknya yang kafir itu diselamatkan. Allah menasihati Nabi Nuh ‘alaihis salam agar tidak meminta sesuatu yang baginda tidak mengetahui. Ini kerana anak baginda telahpun ditakdirkan tenggelam disebabkan kekufurannya dan sifat mengingkari ajaran ayahnya serta dia telah terputus hubungan disebabkan kekufurannya.

🎈 Ayat 47
Nabi Nuh berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku daripada orang-orang yang rugi."

💦 Setelah ditegur oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala tentang permohonan untuk menyelamatkan anaknya, Nabi Nuh ‘alaihis salam memohon keampunan dan belas kasihan Allah. Baginda menyedari sekiranya tiada keampunan dan rahmat-Nya tentu baginda termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. Baginda tidak menyangka bahawa permohonannya agar diselamatkan anaknya yang kafir adalah dilarang dan perkara ini juga disebutkan dalam firman-Nya, “Dan janganlah engkau bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim. Sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.” [Hud, 11:37]

🎈  Ayat 48
Allah berfirman: Wahai Nuh! Turunlah (dari bahtera itu) dengan selamat dan berkat daripada Kami kepadamu dan kepada umat-umat yang bersama-samamu. Dan (dalam pada itu) ada umat-umat daripada keturunan mereka yang Kami akan beri kesenangan kepadanya (dalam kehidupan dunia), kemudian Kami akan timpakan mereka azab yang pedih."

💦 Allah memberkati mereka semua yang terselamat daripada banjir, sehingga mereka dapat menetap di pelbagai pelosok bumi. Namun begitu ada juga di antara keturunan mereka ini menjadi orang-orang kafir dan akan diseksa di akhirat kelak.

🍄 Ayat 49 🍄
Kisah Nabi Nuh ‘alaihis salam yang disebutkan termasuk berita ghaib yang menunjukkan kebenaran risalah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam, dan bahawa untuk mendapatkan pertolongan Allah perlukan kesabaran.

🎈 Ayat 49
(Kisah Nabi Nuh) itu adalah daripada perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Maka, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa kisah Nabi Nuh ‘alaihis salam adalah kisah ghaib yang diwahyukan kepada baginda.

💦 Allah memerintahkan baginda bersabar dalam berdakwah dan dalam menghadapi gangguan daripada kaumnya sebagaimana yang dihadapi oleh Nabi Nuh ‘alaihis salam serta para rasul terdahulu.

🍄 Ayat 50-56 🍄
Seruan Nabi Hud ‘alaihis salam agar kaumnya mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan beristighfar, serta tuduhan yang dilemparkan ke atas baginda.

🎈 Ayat 50
Dan kepada kaum ‘Ad, (Kami utuskan) saudara mereka, Hud. Dia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah Allah! Sekali-kali tidak ada Tuhan bagi kamu selain-Nya. Kamu hanyalah mengada-adakan perkara-perkara yang dusta (terhadap Allah).

💦 Nabi Hud ‘alaihis salam diutuskan untuk mengajak kaumnya beribadah hanya kepada Allah dan bukan kepada sembahan-sembahan yang mereka ada-adakan.

🎈 Ayat 51
Wahai kaumku! Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu. Upahku hanyalah daripada Allah yang telah menciptakan aku. Maka tidakkah kamu memikirkan(nya)?"

💦 Allah memerintahkan Nabi Hud ‘alaihis salam untuk memberitahu kaumnya bahawa baginda tidak menginginkan upah daripada mereka atas nasihat dan ajaran yang disampaikan. Baginda hanya mengharapkan pahala daripada Allah yang menciptakannya.

💦 Ayat ini juga merupakan satu sindiran kepada kaum Nabi Hud ‘alaihis salam agar memikirkan tentang kebenaran yang dibawa oleh seorang rasul. Baginda mengajak mereka melakukan perkara-perkara yang dapat memberikan kebaikan di dunia dan di akhirat tanpa mengharapkan sebarang balasan.

 🎈  Ayat 52
Dan (Hud berkata): "Wahai kaumku! Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, kemudian  bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan lebat ke atas kamu serta menambahkan kekuatan kepada kekuatan kamu dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!"

💦 Nabi Hud ‘alaihis salam menyeru mereka agar memohon keampunan kerana dengan demikian, dapat menghapuskan dosa-dosa yang telah lalu. Baginda juga menyeru mereka agar bertaubat daripada apa yang telah mereka lakukan. Sesiapa yang memiliki sifat suka memohon ampun dan bertaubat, nescaya Allah akan melimpahkan rezeki kepadanya dalam pelbagai bentuk, mempermudahkan segala urusannya dan memelihara seluruh kehidupannya.

🎈 Ayat 53
Mereka berkata: "Wahai Hud! Engkau tidak mendatangkan kepada kami sebarang bukti yang nyata, dan kami sekali-kali tidak akan meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana perkataanmu, dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kamu.

🎈 Ayat 54
Kami hanya mengatakan bahawa sebahagian sembahan kami telah mengenakan penyakit gila atas dirimu." Nabi Hud menjawab: "Sesungguhnya aku jadikan Allah sebagai saksiku dan saksikanlah olehmu sekalian bahawa sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu sekutukan,

💦 Kaum ‘Ad berkata kepada Nabi Hud ‘alaihis salam bahawa apa yang disampaikan oleh baginda tidak memberi sebarang bukti atau hujah yang nyata. Mereka sekali-kali tidak akan meninggalkan sembahan-sembahan mereka dengan hanya mendengar ucapannya yang dikatakan tidak menentu dan sukar untuk diterima. Mereka percaya bahawa sembahan-sembahan merekalah yang menyebabkan Nabi Hud ‘alaihis salam menjadi gila kerana baginda telah menghina dan menghalang mereka daripada menyembah sembahan-sembahan tersebut.

💦 Maha Suci Allah yang telah mengunci hati orang-orang yang zalim daripada menerima kebenaran. Mereka telah menuduh manusia yang paling jujur dan ikhlas dalam menyeru kepada kebenaran sebagai orang yang tidak waras.

🎈 Ayat 55
daripada selain-Nya, sebab itu laksanakanlah tipu daya kamu semua terhadapku, dan janganlah kamu memberi tempoh kepadaku.

💦 Nabi Hud ‘alaihis salam berlepas diri daripada segala sembahan dan kekufuran kaumnya. Baginda mencabar mereka dan sembahan-sembahan tersebut agar segera menjalankan tipu daya ke atas dirinya sekiranya mereka adalah orang-orang yang benar.

🎈 Ayat 56
Sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhan-ku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun daripada makhluk-makhluk yang berada di muka bumi melainkan Allah jualah yang memegang ubun-ubunnya (menguasainya). Sesungguhnya Tuhan-ku di atas jalan yang lurus.

💦 Perkataan ubun-ubun dalam ayat di atas merupakan satu perumpamaan iaitu yang memegang adalah yang berkuasa penuh terhadap yang dipegang, manakala yang dipegang pula sangat lemah dan hina. Oleh itu, bolehlah difahami bahawa tidak ada satu pun makhluk dapat menimpakan bahaya kepada Nabi Hud ‘alaihis salam walaupun semuanya berkumpul, kecuali dengan izin Allah.

💦 Segala peraturan yang datang daripada Allah semuanya adil, benar dan penuh dengan hikmah (kebijaksanaan). Qadha’ dan qadar-Nya, syariat-Nya dan balasan-Nya adalah terpuji. Sesungguhnya hanya Allah yang berhak dipuji dan disanjung. Maha Suci Allah daripada segala sifat kekurangan.

 🍄 Ayat 57 - 58 🍄
Azab yang menimpa kaum Nabi Hud ‘alaihis salam akibat keingkaran mereka terhadap ajaran baginda.

🎈 Ayat 57
Maka jika kamu berpaling, sesungguhnya aku telah menyampaikan (amanah) yang aku diutus (untuk menyampaikan)nya kepadamu. Dan Tuhan-ku akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan), dan kamu pula tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepada-Nya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhan-ku Maha Pemelihara segala sesuatu."

💦 Nabi Hud ‘alaihis salam mengingatkan kaumnya bahawa Allah akan membinasakan mereka dan menggantikan dengan kaum yang lain sekiranya mereka tetap ingkar terhadap apa yang disampaikan olehnya.

💦 Amalan baik seseorang hamba tidak akan dapat memberikan sebarang manfaat kepada Allah. Begitu juga amalan maksiat tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepada-Nya. Namun amalan tersebut pasti memberi kesan kepada pelakunya sama ada balasan yang baik atau sebaliknya. Amalan tersebut pasti akan mendapat balasan. Amalan yang menepati ajaran Allah dan Rasul-Nya akan mendapat pahala, manakala yang menyelisihinya akan mendapat seksaan.

🎈 Ayat 58
Dan apabila datang azab Kami, Kami selamatkan Nabi Hud beserta dengan umatnya yang beriman dengan rahmat Kami, dan Kami selamatkanlah pula mereka (pada hari akhirat) daripada azab yang berat.

💦 Ayat ini menyatakan bahawa Allah telah menyelamatkan Nabi Hud ‘alaihis salam dan pengikut-pengikutnya daripada azab, dan di akhirat pula mereka akan terselamat daripada seksaan neraka. Ini merupakan sifat Rahmat dan Kelembutan-Nya terhadap orang-orang yang beriman.

💦 Orang-orang yang mengingkari ajaran Nabi Hud ‘alaihis salam dibinasakan oleh Allah dengan angin ribut yang sangat kencang. Hal ini juga dinyatakan oleh Allah dalam ayat-ayat berikut:

📖 Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang, pada hari nahas yang berlanjutan. Yang menumbangkan manusia gugur bergelimpangan, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang terbongkar.
[Al-Qamar, 54:19 - 20]

📖 Adapun ‘Ad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya. Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus, (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.
[Al-Haaqqah, 69:6 -7]

🍄 Ayat 59 - 60 🍄
Kesan terhadap orang-orang yang mengingkari perintah Allah dan Rasul-Nya.

🎈 Ayat 59
Dan itulah (kisah) kaum ‘Ad yang mengingkari tanda-tanda kekuasaan Tuhan mereka dan menderhakai rasul-rasul Allah dan mereka menuruti perintah semua penguasa yang bermaharajalela lagi menentang (kebenaran).

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberitahu Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa inilah kesan terhadap kaum Nabi Hud ‘alaihis salam yang mengingkari ajaran yang dibawa oleh baginda.

 💦 Perkataan “rasul” dalam ayat di atas adalah berbentuk jamak. Ini bermaksud mendustakan seorang rasul sama seperti mendustakan semua rasul kerana ajaran yang mereka bawa adalah sama iaitu mentauhidkan Allah.

💦 Mereka meninggalkan ketaatan kepada rasul yang membawa petunjuk dan mengikuti perintah para pemimpin yang menentang kebenaran.

🎈  Ayat 60
Dan mereka selalu diikuti dengan kutukan di dunia ini dan (begitu pula) pada hari Kiamat. Ingatlah, sesungguhnya kaum ‘Ad itu kafir kepada Tuhan mereka. Ingatlah, sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum ‘Ad (iaitu) kaum Hud.

💦 Mereka kufur kepada Tuhan yang menciptakan, memberi rezeki dan mengurus seluruh kehidupan mereka. Mereka membalas kebaikan-Nya dengan berbuat maksiat. Oleh itu dengan keadilan-Nya mereka layak untuk dibinasakan.

 💦 Kita digalakkan untuk mengembara dan memerhatikan kesan-kesan peninggalan kaum yang diazab di muka bumi ini supaya dapat mengambil pengajarannya.

🍄Ayat 61 - 63 🍄
Kisah Nabi Saleh ‘alaihis salam bersama kaumnya yang kufur, dan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam membinasakan orang-orang yang zalim.

🎈 Ayat 61
Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka Saleh. Dia (Saleh) berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu kepada Allah! Sesungguhnya tiada Tuhan bagi kamu selain-Nya. Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi (tanah), serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah keampunan kepada Allah daripada perbuatan syirik, kemudian kembalilah (bertaubatlah) kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku amat dekat, serta sentiasa memperkenankan permohonan (doa) hamba-hamba-Nya."

💦 Nabi Saleh ‘alaihis salam memberitahu kepada kaumnya bahawa tujuan manusia dijadikan oleh Allah ialah untuk beribadah semata-mata kepada Allah. Manusia ditugaskan supaya memakmurkan bumi dengan mengurus sumber alam yang ada di muka bumi ini untuk pelbagai manfaat.

💦 Baginda juga menasihatkan kaumnya agar memohon keampunan dan bertaubat atas dosa-dosa yang lalu. Ini kerana Allah sangat dekat dengan hamba-hamba-Nya dan Allah sentiasa memperkenankan doa.

📚 Allah berfirman: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
[Al-Baqarah, 2:186]

🎈 Ayat 62
Mereka menjawab dengan berkata: "Wahai Saleh, sesungguhnya engkau sebelum ini adalah orang yang diharapkan daripada kalangan kami (untuk memimpin kami), patutkah engkau melarang kami menyembah apa yang disembah oleh datuk nenek kami? Dan (ketahuilah) sesungguhnya kami berada dalam keadaan keraguan yang merunsingkan tentang apa yang engkau serukan kami kepadanya."

💦 Allah menyebutkan pembicaraan antara Nabi Saleh ‘alaihis salam dan kaumnya dan kebodohan mereka. Sebelum ini mereka mempercayai Nabi Saleh ‘alaihis salam sebagai seorang yang diharapkan menjadi tokoh dan orang yang diminta memberi pendapat. Namun begitu, ketika baginda datang membawa sesuatu yang tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka, dakwah baginda ditolak.

 🎈  Ayat 63
Nabi Saleh berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berada dalam kebenaran yang berdasarkan bukti yang nyata (mukjzat) daripada Tuhan-ku, dan Dia pula mengurniakan rahmat (pangkat Nabi) kepadaku sebagai pemberian daripada-Nya, siapakah yang akan menolongku daripada azab Allah kalau aku menderhaka kepada-Nya? Oleh itu, kamu tidak menambah sesuatu kebaikan pun bagiku selain perkara yang merugikan.

💦 Nabi Saleh ‘alaihis salam menerangkan kepada kaumnya bahawa baginda mempunyai keyakinan dan bukti yang nyata daripada Allah tentang kebenaran ajaran yang dibawanya. Tambahan pula baginda dikurniakan kebijaksanaan dan kenabian. Sekiranya baginda menyembunyikan kebenaran dan tidak mengajak kaumnya menyembah hanya kepada Allah tentulah baginda dalam kerugian.

🍄 Ayat 64 - 68 🍄
Mukjizat Nabi Saleh ‘alaihis salam dan kaum Thamud dibinasakan oleh Allah disebabkan kekufuran mereka.

🎈  Ayat 64
Dan wahai kaumku! Ini adalah unta betina daripada Allah untuk kamu sebagai tanda (mukjizat) yang membuktikan kebenaranku. Oleh itu, biarkanlah dia mencari makan di bumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya, (kalau kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab yang dekat (segera mendapat seksaan)."

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengurniakan seekor unta betina sebagai mukjizat kepada Nabi Saleh ‘alaihis salam. Baginda memberitahu kaumnya bahawa unta betina itu adalah kepunyaan Allah. Ini adalah bukti bahawa baginda adalah seorang rasul. Baginda juga mengingatkan kaumnya supaya tidak mengganggu dan menyakiti unta tersebut. Sekiranya mereka berbuat demikian, nescaya Allah akan menyegerakan azab kepada mereka.

📖 Hal ini dinyatakan juga dalam ayat-ayat berikut:

Al-A‘raf (7:73)
Asy-Syu‘ara' (26:155-156)
Al-Qamar (54:27)

🎈 Ayat 65
Mereka menyembelih unta itu, lalu berkatalah Saleh kepada mereka: "Bersukacitalah kamu semua di rumah kamu selama tiga hari, itu adalah janji yang tidak dapat didustakan."

💦 Mereka melanggar larangan Nabi Saleh ‘alaihis salam lalu membunuh unta tersebut. Baginda mengingatkan kaumnya bahawa janji Allah adalah benar. Mereka hanya diberi tempoh selama tiga hari untuk berbuat sesuka hati dan bergembira sebelum tiba azab Allah. Ini juga merupakan satu sindirian kepada kaumnya yang tidak mahu menerima kebenaran. Akhirnya mereka dibinasakan setelah tempoh yang dijanjikan itu berakhir.

📖 Kisah ini juga difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat-ayat seperti di bawah:

Asy-Syu‘ara' (26:157)
Al-Qamar (54:28-29)

🎈 Ayat 66
Maka ketika datang keputusan Kami, Kami selamatkan Saleh beserta orang-orang yang beriman, dengan rahmat Kami, dan Kami selamatkan mereka daripada azab serta kehinaan pada hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

💦 Dalam ayat ini Allah menyatakan ketika datang keputusan iaitu seksaan ditimpakan kepada kaum Thamud, Allah menyelamatkan Nabi Saleh ‘alaihis salam serta orang-orang yang beriman dengan rahmat-Nya. Ini juga membuktikan kekuatan dan keperkasaan Allah membinasakan umat-umat yang zalim dan menyelamatkan rasul serta para pengikutnya.

🎈 Ayat 67
Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu cetusan suara yang menggempakan bumi, lalu mereka menjadi mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal masing-masing.

🎈  Ayat 68
(Mereka musnah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Thamud itu mengingkari Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya binasalah akhirnya kaum Thamud.

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga berfirman tentang perkara sama iaitu,

📖 "Sesungguhnya Kami hantarkan kepada mereka satu pekikan (yang dahsyat), lalu menjadilah mereka (hancur) seperti ranting-ranting dan daun-daun yang pecah hancur, yang dikumpulkan oleh pemilik kandang binatang ternak.
[Al-Qamar, 54:31]

💦 Begitulah cepatnya mereka dibinasakan oleh suara yang kuat yang berkemungkinan suara guruh dari atas dan gempa bumi dari bawah, seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di tempat yang  mereka diami. Segala kenikmatan yang dikecapi sebelum ini lenyap kerana mereka ditimpa azab yang kekal dan tidak putus-putus. Wal ‘iyazu billah.

🍄Ayat 69 - 76 🍄
Menerangkan kisah Nabi Ibrahim ‘alaihis salam, disyariatkan mengucapkan salam dan ini merupakan sebaik-baik penghormatan, kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam penciptaan makhluk, dan menerangkan kebaikan akhlak para nabi.

🎈  Ayat 69
Dan sesungguhnya telah datang utusan-utusan kami (malaikat) kepada Ibrahim, dengan membawa berita yang menggembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata: "Selamat (sejahtera) kepadamu (wahai Ibrahim)." Ibrahim menjawab: "Selamat (sejahtera) kepada kamu." Maka tidak berapa lama selepas itu, Ibrahim membawa hidangan untuk mereka seekor anak lembu yang dipanggang.

💦  Berita yang menggembirakan itu, ialah tentang kelahiran Nabi Ishak ‘alaihis salam, dan daripada baginda akan lahir pula Nabi Ya‘qub ‘alaihis salam.

💦  Dalam ayat ini terdapat dalil disyariatkan mengucapkan salam apabila bertemu seseorang dan didahulukannya sebelum berbicara. Ayat ini juga memberikan pengajaran kepada kita bagaimana menyambut dan melayan tetamu.

🎈 Ayat 70
Maka apabila dia melihat tangan mereka tidak menjamah hidangan itu, Ibrahim memandang aneh perbuatan mereka dan berasa takut. Malaikat berkata: "Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami ini diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka)."

💦 Nabi Ibrahim ‘alaihis salam menyangka bahawa kedatangan mereka itu membawa keburukan atau suatu perkara yang tidak diinginkan. Namun malaikat menerangkan bahawa mereka telah diutuskan untuk membinasakan kaum Nabi Lut ‘alaihis salam.

🎈 Ayat 71
Dan isterinya pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu dia tersenyum. Maka Kami pun sampaikan berita gembira kepadanya (melalui malaikat itu), tentang (kelahiran) Ishak dan sesudah Ishak (lahir pula) Ya‘qub.

💦  Para mufassirin kebanyakannya menyatakan bahawa isteri Nabi Ibrahim ‘alaihis salam yang disebutkan dalam ayat ini bernama Sarah. Ketika berdiri melayani mereka, Sarah tersenyum apabila mendengar tentang berita gembira yang disampaikan.

🎈 Ayat 72
Isterinya berkata: "Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan."

💦 Sarah menyatakan kehairanannya kerana dia dan Nabi Ibrahim ‘alaihis salam sudah sangat tua untuk mendapat anak.

🎈  Ayat 73
Malaikat-malaikat itu berkata: "Patutkah engkau berasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? (Itu adalah) rahmat Allah dan keberkatan-Nya melimpah-limpah kepada kamu, wahai penghuni rumah! Sesungguhnya Allah Maha Terpuji, lagi Maha Melimpah Kebaikan dan Kemurahan-Nya."

💦  Memberi keberkatan ertinya tambahan kebaikan daripada Allah kepada hamba-Nya.

💦 Ayat ini menyatakan bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu yang Dia kehendaki. Jadi Sarah tidak perlu hairan apabila Allah hendak memberikannya anak. Ini kerana Allah mencurahkan rahmat dan keberkatan kepada ahli keluarga Nabi Ibrahim ‘alaihis salam.

🎈 Ayat 74
Maka apabila hilang perasaan takut daripada hati Ibrahim, dan sampai kepadanya berita gembira itu, (mulailah) dia bersoal jawab (dengan utusan-utusan) Kami tentang (azab yang akan menimpa) kaum Lut.

💦 Ketika hilang rasa takut dan mendengar khabar gembira, Nabi Ibrahim ‘alaihis salam mulai bertanya tentang berita kebinasaan kaum Nabi Lut ‘alaihis salam.

🎈  Ayat 75
Sesungguhnya Ibrahim itu benar-benar seorang penyantun lagi lembut hati dan suka kembali (bertaubat) kepada Allah.

💦  Ayat ini merupakan sanjungan kepada Nabi Ibrahim ‘alaihis salam yang mempunyai sifat-sifat yang terpuji.

🎈 Ayat 76
(Malaikat-malaikat itu berkata): "Wahai Ibrahim! Tinggalkanlah soal jawab ini. Sesungguhnya telah datang ketetapan Tuhanmu (menghukum mereka), dan sesungguhnya mereka akan didatangi azab yang tidak akan dapat ditolak (oleh bantahan atau doa permohonan)."

💦  Allah menyatakan bahawa keputusan untuk membinasakan kaum Nabi Lut ‘alaihis salam telah pun dibuat. Itulah keputusan yang telah ditetapkan kepada orang-orang yang melakukan dosa, dan kebinasaan itu tidak dapat ditolak.

🍄 Ayat 77 - 83 🍄
Kisah Nabi Lut ‘alaihis salam dan kaumnya, penjelasan tentang kejahatan kaumnya sehingga mereka berhak mendapat hukuman di dunia dan azab di akhirat.

 🎈 Ayat 77
Dan ketika utusan-utusan Kami itu datang kepada Lut, baginda berasa curiga dan dadanya terasa sempit dengan kedatangan mereka, sambil berkata: "Ini adalah hari yang amat sulit/berat."

💦 Nabi Lut ‘alaihis salam berasa susah hati dengan kedatangan utusan-utusan Allah itu kerana mereka terdiri daripada pemuda yang rupawan yang datang sebagai tetamu. Kaum Lut pula memang sangat menyukai pemuda-pemuda yang mempunyai rupa yang kacak. Nabi Lut ‘alaihis salam berasa tidak mampu melindungi tetamu-tetamunya itu daripada gangguan perbuatan keji kaumnya yang di luar kebiasaan fitrah manusia.

🎈  Ayat 78
Dan kaumnya pun datang kepadanya dengan bergegas (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya). Dan sejak dahulu mereka sudah biasa melakukan perbuatan keji. Lut berkata: "Wahai kaumku! Inilah anak-anak perempuan (negeri) ku, mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku terhadap tetamu-tetamuku. Tidak adakah di antara kamu seorang yang berakal?"

💦 Maksud perbuatan keji dalam ayat di atas ialah melakukan hubungan sejenis (homoseksual).

💦 Firman Allah "datang dengan bergegas" bermaksud kaumnya yang suka melakukan hubungan sejenis itu datang dengan cepat kerana terlalu gembira dengan kedatangan lelaki-lelaki yang kacak tersebut.

💦 Dalam Tafsir Ibnu Kathir dinyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan 'anak-anak perempuanku' ialah perempuan-perempuan di kalangan kaum Nabi Lut ‘alaihis salam. Ini kerana seorang nabi terhadap umatnya adalah bagaikan ayah kepada anak-anak.

💦 Nabi Lut ‘alaihis salam menawarkan anak-anak perempuan kaumnya untuk menolak perkara keji yang lebih besar.

🎈  Ayat 79
Mereka menjawab: "Sesungguhnya engkau pasti tahu bahawa kami tidak ada sebarang keinginan (syahwat) terhadap anak-anak perempuanmu, dan engkau tentu tahu apa yang sebenarnya kami kehendaki."

💦 Namun kaum Nabi Lut ‘alaihis salam menyatakan bahawa mereka tidak ada keinginan terhadap wanita.

🎈  Ayat 80
Lut berkata: "Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau aku mendapat sokongan keluarga yang kuat (tentulah aku akan membinasakan kamu.)"

💦 Kegelisahan Nabi Lut ‘alaihis salam semakin bertambah. Baginda telah berlindung kepada benteng yang kukuh iaitu Allah Yang Maha Kuat. Ketika para malaikat melihat Nabi Lut ‘alaihis salam dalam kesusahan, para malaikat pun memperkenalkan diri sebagaimana yang disebutkan dalam ayat berikut.

🎈 Ayat 81
Mereka (para malaikat) berkata "Wahai Lut! Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada akhir malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang kecuali isterimu. Sesungguhnya dia juga akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana dia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh. Bukankah waktu subuh itu sudah dekat?"

💦 Para malaikat memberitahu demikian agar hati Nabi Lut ‘alaihis salam berasa tenteram kerana pada ketika itu baginda berasa sangat gelisah.

💦 Disebutkan dalam Tafsir Ibnu Kathir, ketika mereka pergi untuk mengganggu para tetamu Nabi Lut ‘alaihis salam tersebut, malaikat Jibril ‘alaihis salam keluar menemui mereka dan memukul dengan sayapnya sehingga menyebabkan mereka buta.
[Rujuk surah Al-Qamar, 54:37]

💦 Para malaikat memerintahkan Nabi Lut ‘alaihis salam bersiap sedia untuk membawa keluarganya keluar dari negeri itu pada akhir malam iaitu sebelum waktu subuh, agar baginda beserta keluarga dan pengikutnya jauh dari negerinya.

💦 Baginda diminta untuk jangan menoleh ke belakang agar tidak melihat peristiwa besar yang menimpa kaumnya itu. Ada di antara mufassir yang menafsirkan bahawa baginda diminta bersegera keluar dari tempat tinggalnya dan tidak perlu khuatir tentang keselamatan serta jangan memerhatikan apa yang berada di belakang.

💦 Baginda juga diperintahkan supaya tidak membawa isterinya bersama-sama dengannya. Ini kerana isterinya ikut serta dengan kaumnya melakukan dosa. Malah isteri bagindalah yang memberitahu kaumnya tentang kedatangan para tetamu.

 🎈 Ayat 82
Maka apabila datang keputusan (masa perlaksanaan) Kami, Kami terbalikkan negeri kaum Lut itu (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami hujani mereka dengan batu-batu daripada tanah yang dibakar, menimpa mereka bertubi-tubi.

💦 Malaikat Jibril ‘alaihis salam mengangkat negeri itu ke atas, lalu dibalikkan ke bawah. Hal ini dinyatakan juga dalam surah An-Najm, 53:54 dan surah Al-Zariyat, 51:33.

🎈 Ayat 83
Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan seksaan itu tidaklah jauh daripada orang-orang yang zalim itu.

💦 Nama-nama orang yang akan dilempari batu tertera pada batu tersebut. Ada yang mengatakan, pada batu itu ada tanda azab dan kemurkaan Allah ‘Azza wa Jalla, wallahu a‘lam.

💦 Sebahagian mufassir menafsirkan bahawa negeri kaum Nabi Lut ‘alaihis salam yang dibinasakan itu tidak jauh dari tempat yang didiami oleh penduduk Mekah yang zalim (orang-orang musyrik). Oleh itu, manusia hendaklah mempunyai rasa takut untuk melakukan perbuatan seperti yang dilakukan oleh kaum Nabi Lut ‘alaihis salam kerana azab yang sama juga boleh menimpa mereka.

🍄 Ayat 84 - 88 🍄
Perintah Nabi Syu‘aib 'alaihis salam kepada kaumnya agar beribadah hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, berlaku jujur dalam jual beli, serta tidak melakukan kerosakan di bumi.

🎈 Ayat 84
Dan kepada (penduduk) Madyan (Kami utuskan) saudara mereka, Syu‘aib. Dia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! (Sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain-Nya. Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam keadaan baik (mampu). Dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab pada hari yang membinasakan.

💦 Ini adalah kisah Nabi Syu‘aib ‘alaihis salam bersama kaumnya iaitu penduduk Madyan. Baginda ‘alaihis salam termasuk orang yang memiliki nasab (keturunan) yang mulia di kalangan mereka.

💦 Baginda ‘alaihis salam menyeru mereka agar beribadah hanya kepada Allah yang tiada sekutu bagi-Nya kerana Dia adalah Tuhan yang menciptakan, memberikan rezeki dan mengatur segala urusan.

💦 Baginda ‘alaihis salam juga melarang mereka daripada mengurangi sukatan dan timbangan dalam urusan berjual beli. Baginda ‘alaihis salam bimbang azab akan datang menimpa mereka sekiranya mereka terus berada dalam kesyirikan dan maksiat.

🎈 Ayat 85
Dan wahai kaumku! Cukupkanlah sukatan dan timbangan dengan adil dan janganlah kamu merugikan manusia terhadap benda-benda yang menjadi hak mereka, dan janganlah kamu berbuat kejahatan di muka bumi dengan kerosakan.

💦 Nabi Syu‘aib ‘alaihis salam mengingatkan mereka agar jujur dalam hal sukatan dan timbangan ketika melakukan urusan berjual beli. Mereka diingatkan supaya tidak mengurangi sukatan atau timbangan ketika mereka menjual dan tidak mengambil lebih ketika membeli. Sekiranya mereka tidak berlaku jujur, mereka sebenarnya telah melakukan satu kezaliman dengan mengambil hak orang lain.

💦 Baginda ‘alaihis salam juga melarang mereka melakukan maksiat kerana dengan berbuat maksiat dapat merosakkan agama dan memudaratkan kehidupan.

🎈 Ayat 86
Sisa (keuntungan) daripada Allah kepada kamu lebih baik bagi kamu (daripada yang kamu ambil secara haram itu), jika betul kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah orang yang menjaga dan mengawas perbuatan kamu."

💦 Dalam Tafsir Ibnu Kathir ada menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan "Sisa (keuntungan) daripada Allah lebih baik bagi kamu" ialah apa yang dianugerahkan oleh Allah berupa keuntungan kepada sesiapa yang menepati sukatan dan timbangan itu lebih baik daripada mengambil harta orang lain.

📖 Kata-kata ini sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Ma’idah, 5:100

Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu...."

💦 Allah akan membalas segala tindakan yang mereka lakukan. Baginda ‘alaihis salam hanyalah sebagai pemberi nasihat dan peringatan.

🎈 Ayat 87
Mereka berkata: "Wahai Syu‘aib! Adakah agamamu menyuruh agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau melarang kami berbuat apa yang kami kehendaki dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syu‘aib) adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal."

💦 Kaum Nabi Syu‘aib ‘alaihis salam mengingkari larangan agar meninggalkan penyembahan berhala-berhala yang telah diamalkan oleh nenek moyang mereka. Malahan mereka juga ingkar terhadap larangan baginda ‘alaihis salam agar tidak mengurangi sukatan dan timbangan, mengambil hak-hak manusia, dan tidak berlaku adil serta istiqamah dalam kebenaran.

💦 Ucapan "Sesungguhnya kamu adalah seorang yang sangat penyantun lagi berakal," adalah merupakan ejekan terhadap baginda ‘alaihis salam.

 🎈 Ayat 88
Syu'aib berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku mempunyai bukti yang nyata daripada Tuhanku, dan Dia pula mengurniakan rezeki yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak berkehendak menyalahkan kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) kebaikan selagi aku masih mampu. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan pertolongan Allah. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya aku kembali."

💦 Kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi Syu‘aib ‘alaihis salam adalah menunjukkan bukti yang nyata bahawa dia adalah daripada Allah. Risalah yang disampaikan oleh baginda ‘alaihis salam adalah untuk kebaikan kaumnya di dunia dan di akhirat.

💦 Nabi Syu‘aib ‘alaihis salam hanya menyampaikan seruan mengikut kemampuannya. Baginda ‘alaihis salam bertawakkal dan menyerahkan segala urusannya hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

🍄 Ayat 89 - 93 🍄
Mengambil iktibar daripada umat-umat terdahulu, pentingnya istighfar dan taubat, serta pertolongan Allah kepada Rasul-Nya.

🎈 Ayat 89
"Dan wahai kaumku! Janganlah permusuhan kamu terhadapku menyebabkan kamu ditimpa bala bencana sebagaimana yang telah menimpa kaum Nuh, kaum Hud, kaum Saleh dan kaum Lut. Kedudukan kaum Lut pun tidak jauh dari (tempat) kamu.

💦 Nabi Syu‘aib ‘alaihis salam mengingatkan kaumnya bahawa penentangan mereka terhadap ajaran baginda akan menyebabkan mereka juga ditimpa perkara yang sama seperti yang menimpa kaum Nabi Nuh, kaum Nabi Hud, kaum Nabi Saleh dan kaum Nabi Lut ‘alaihimus salam. Tempat tinggal merekapun tidak jauh dari tempat tinggal kaum Nabi Lut ‘alaihis salam. Oleh itu, Nabi Syu‘aib ‘alaihis salam mengingatkan mereka supaya dapat mengambil iktibar.

🎈  Ayat 90
Dan mohonlah keampunan daripada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang, lagi Maha Pengasih."

💦 Nabi Syu‘aib ‘alaihis salam menasihatkan kaumnya agar memohon ampun dan bertaubat. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala sangat menyayangi dan mengasihani orang-orang yang bertaubat.

🎈 Ayat 91
Mereka berkata: "Wahai Syu‘aib, kami tidak mengerti kebanyakan daripada apa yang engkau katakan itu, dan sesungguhnya kami melihat engkau orang yang lemah dalam kalangan kami dan kalau tidaklah kerana kaum keluargamu, tentulah kami telah melemparmu (dengan batu hingga mati). Dan engkau pula bukanlah orang yang dipandang mulia dalam kalangan kami!"

💦 Ayat ini menerangkan sikap kaum Nabi Syu‘aib ‘alaihis salam yang memandang rendah terhadap baginda. Mereka menganggap bahawa Nabi Syu‘aib bukanlah seorang yang berwibawa. Mereka juga benci terhadap nasihatnya dan tidak menerima seruannya.

💦 Dalam ayat ini juga dinyatakan bahawa kaum Nabi Syu‘aib ‘alaihis salam berkata jika tidak kerana mereka menghormati ahli keluarga baginda pasti mereka akan mengaibkan baginda. Lalu Nabi Syu‘aib ‘alaihis salam menegur kaumnya seperti dalam ayat seterusnya.

🎈  Ayat 92
Syu‘aib berkata: "Wahai kaumku! (Mengapa kamu bersikap demikian)? Patutkah kaum keluargaku kamu pandang lebih mulia daripada Allah serta kamu pula jadikan perintah-Nya sebagai sesuatu yang dilupakan di belakang kamu? Sesungguhnya Tuhanku amat meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan."

💦 Nabi Syu‘aib ‘alaihis salam bertanya kepada kaumnya tentang rasa hormat mereka kepada kaum keluarga baginda yang melebihi rasa hormat kepada perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan akan memberi balasan terhadap apa yang mereka lakukan.

🎈 Ayat 93
Dan (dia berkata): "Wahai kaumku, buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang agama Allah yang aku sampaikan itu), sesungguhnya aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh (untuk mengembangkannya). Kamu akan mengetahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya, dan siapa pula yang berdusta. Dan tunggulah, sesungguhnya aku juga turut menunggu bersama-sama kamu".

💦 Ketika kaumnya melemahkan semangat Nabi Syu‘aib ‘alaihis salam, baginda mengingatkan bahawa akan sampai juga waktunya mereka akan dibinasakan.

🍄 Ayat 94 - 95 🍄
Mengambil iktibar daripada kisah umat-umat terdahulu yang ingkar, pentingnya bertaubat dan pertolongan Allah kepada Rasul-Nya.

🎈  Ayat 94
Dan tatkala datang perintah Kami, Kami selamatkan Syu‘aib dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya, dengan rahmat Kami dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh satu suara yang menggempakan, lalu mereka menjadi mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat masing-masing.

💦 Orang-orang yang mengingkari ajaran Nabi Syu‘aib ‘alaihis salam dibinasakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan suatu suara keras seperti dinyatakan dalam ayat di atas.

📍 Manakala dalam surah Al-A‘raf ayat 91 dinyatakan bahawa mereka dibinasakan oleh gempa bumi seperti di bawah:

📖 Maka mereka dibinasakan oleh gempa, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat masing-masing.
[Al-A‘raf, 7:91]

📍Dalam ayat berikut pula dinyatakan:

📖 Maka mereka tetap juga mendustakannya, lalu mereka ditimpa azab pada hari mereka dinaungi awan mendung, sesungguhnya kejadian itu adalah merupakan azab seksa hari yang amat dahsyat.
[Asy-Syu‘ara', 26:189]

💦 Walau bagaimanapun ini adalah rahsia Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang halus dan segala pujian hanya bagi Allah.

🎈 Ayat 95
Seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! kebinasaanlah akhirnya bagi penduduk Madyan, sebagaimana telah binasanya kaum Thamud.

💦 Kaum Nabi Syu‘aib ‘alaihis salam yang ingkar telah dibinasakan sebagaimana kaum Thamud. Kedua-dua kaum ini tinggal berhampiran dalam satu negeri dan sikap mereka juga sama iaitu menentang ajaran yang dibawa oleh rasul.

🍄 Ayat 96 - 99 🍄
Kisah Nabi Musa ‘alaihis salam yang diutuskan kepada Firaun dan kaumnya.

🎈  Ayat 96
Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Musa dengan tanda-tanda (kekuasaan) Kami dan mukjizat yang nyata,

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberitahu tentang diutus-Nya Nabi Musa ‘alaihis salam dengan mukjizat yang membawa bukti kekuasaan-Nya dan juga kebenaran yang dibawa oleh rasul-Nya.

💦 Antara mukjizat Nabi Musa ‘alaihis salam ialah tongkatnya berubah menjadi ular, tangannya bercahaya, dan sebagainya.

🎈 Ayat 97
kepada Firaun dan kaumnya tetapi kaum Firaun menurut perintah Firaun, padahal perintahnya itu bukanlah perintah yang benar.

💦 Nabi Musa ‘alaihis salam diutus kepada Firaun dan kaumnya dengan membawa bukti, namun kaum Firaun tetap menurut perintah Firaun. Perbuatan mereka itu amat merugikan kerana ternyata ajaran Firaun amat bertentangan dengan ajaran rasul.

 🎈 Ayat 98
Firaun akan mengetuai kaumnya pada hari kiamat kemudian tetaplah dia akan membawa mereka masuk ke neraka. Dan seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah neraka.

💦 Semasa di dunia, orang-orang yang menurut segala perintah Firaun dan menjadikannya sebagai pemimpin mereka, akan mengikutinya juga di akhirat. Firaun akan menjadi pemimpin mereka menuju ke Neraka Jahannam dan akan mendapat azab yang seberat-beratnya kerana menyesatkan pengikut-pengikutnya seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Muzammil, 73:16.

🎈 Ayat 99
Dan mereka diiringi oleh laknat yang tidak putus-putus di dunia ini, dan pada hari kiamat. (Sebenarnya) laknat itu adalah seburuk-buruk pemberian yang diberikan.

💦 Allah, para malaikat dan manusia melaknatnya  di dunia dan di akhirat.

🍄 Ayat 100 - 102 🍄
 Iktibar yang dapat diambil daripada kisah kaum-kaum yang dibinasakan kerana kezaliman yang mereka telah lakukan.

🎈 Ayat 100
Itu adalah sebahagian daripada berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan), Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), ada di antara negeri-negeri itu masih terdapat bekas-bekasnya (yang dapat disaksikan), dan ada pula yang telah musnah.

💦 Ketika Allah Subhanahu wa Ta‘ala menceritakan kisah para rasul yang menghadapi tentangan daripada kaum masing-masing, Allah juga memberitahu bagaimana Dia membinasakan mereka dan menyelamatkan orang-orang beriman. Kisah ini adalah untuk dijadikan iktibar kepada semua manusia supaya beriman kepada Allah.

🎈  Ayat 101
Dan Kami tidaklah menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri, kerana tiadalah bermanfaat sedikitpun kepada mereka tuhan-tuhan yang mereka seru selain Allah, pada waktu datang azab daripada Tuhanmu. Dan tuhan-tuhan itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali kebinasaan.

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyeksa mereka disebabkan kezaliman mereka sendiri. Ini kerana mereka mendustakan dan mengingkari ajaran para rasul. Ketika mereka dibinasakan tiada satupun berhala-berhala yang mereka sembah itu dapat memberikan pertolongan.

🎈 Ayat 102
Dan begitulah azab Tuhanmu apabila Dia menyeksa (penduduk) negeri-negeri yang berbuat zalim. Sungguh, azab-Nya sangat pedih lagi keras.

💦 Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asya‘ari radhiallahu ‘anhu, dia berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
َ
📚 “Sesungguhnya Allah menangguhkan azab kepada orang yang zalim. Namun apabila Dia sudah mengazabnya, maka Dia tidak akan melepaskannya.” Kemudian baginda membacakan ayat, “Dan begitulah azab Tuhanmu apabila Dia menyeksa (penduduk) negeri-negeri yang berbuat zalim. Sungguh, azab-Nya sangat pedih lagi keras.”
[Hud, 11:102]

🍄 Ayat 103 - 108 🍄
Hari Kiamat adalah hari penghisaban, dan bahawa kesengsaraan yang hakiki adalah ketika masuk neraka, manakala kebahagiaan yang hakiki adalah ketika masuk syurga.

🎈 Ayat 103
Sesungguhnya yang demikian itu, benar-benar ada pengajaran bagi orang yang takut kepada azab akhirat. Itulah hari ketika dihimpunkan semua manusia untuk dihisab dan itulah hari yang disaksikan (oleh semua makhluk).

💦 Kisah-kisah yang disebutkan itu (kebinasaan kaum yang kufur dan diselamatkan orang-orang yang beriman) terdapat pengajaran dan dalil yang menunjukkan bahawa orang-orang zalim akan mendapatkan hukuman di dunia dan di akhirat.

💦 Akhirat adalah hari dikumpulkan semua manusia mulai manusia pertama dicipta hinggalah yang terakhir seperti firman-Nya dalam surah Al-Kahf, 18:47. Pada hari itu semua manusia dihisab dan diberikan balasan.

💦 Maksud "dan itulah hari yang disaksikan (oleh segala makhluk)" dalam ayat di atas ialah hari berkumpulnya seluruh makhluk iaitu manusia, jin, binatang, para malaikat serta para rasul. Semua makhluk akan menyaksikan setiap amalan yang telah dilakukan ketika berada di dunia dahulu yang ditayangkan di hadapan mereka pada hari tersebut.

🎈 Ayat 104
Dan Kami tidak akan menangguhkannya (hari kiamat) melainkan sampai tempoh yang sudah ditentukan.

💦 Hari Kiamat tidak akan dilambatkan ataupun dicepatkan, apabila sampai waktunya Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan melaksanakan segala ketetapan-Nya.

🎈  Ayat 105
Pada hari itu, tiadalah seorang pun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin-Nya. Maka di antara mereka ada yang celaka, dan ada pula yang bahagia.

💦 Manusia hanya boleh berkata-kata yang benar dengan izin Allah seperti firman-Nya dalam surah An-Naba', 78: 35 - 36.

💦 Orang-orang yang sengsara adalah orang-orang yang kafir kepada Allah dan Rasul-Nya. Manakala orang-orang yang berbahagia adalah orang-orang yang beriman dan bertakwa. Ini boleh juga dilihat melalui firman-Nya dalam surah Asy-Syu‘ara', 42:7.

🎈 Ayat 106
Maka adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), di dalam nerakalah tempatnya. Di sana mereka mengeluarkan suara yang keras dan merintih.

💦 Mereka diazab dengan berat sehingga mengeluarkan suara yang kuat merintih dan meraung.

🎈  Ayat 107
Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali jika Tuhanmu menghendaki yang lain. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya.

💦 Apa sahaja yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala tiada siapa yang dapat menghalang. Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya sesuai dengan hikmah-Nya.

🎈  Ayat 108
Dan adapun orang-orang yang berbahagia (disebabkan keimanan dan ketaatan), maka tempatnya di dalam syurga. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali jika Tuhanmu menghendaki yang lain sebagai kurniaan yang tidak putus-putus.

💦 Ayat ini memberitahu bahawa Allah menggembirakan hati orang-orang mukmin dengan balasan syurga.

📚 Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim:

Maka dikatakan "Wahai ahli syurga! Sesungguhnya kalian akan hidup dan tidak pernah akan mati selama-lamanya. Kalian akan tetap muda dan tidak akan pernah tua selama-lamanya. Kalian akan tetap sihat dan tidak akan pernah sakit selama-lamanya. Dan kalian akan terus merasakan kenikmatan dan tidak akan pernah merasakan kesulitan selama-lamanya."

📌 Ya Allah, masukkanlah kami ke syurga dan lindungilah kami dari neraka. Ya Allah, masukkanlah kami ke syurga dan lindungilah kami dari neraka. Ya Allah, masukkanlah kami ke syurga dan lindungilah kami dari neraka. Allahumma amin.

🍄 Ayat 109 - 112 🍄
Kisah-kisah para rasul yang disebutkan dalam Al-Quran merupakan hiburan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam agar tidak bersedih kerana mendapat tentangan daripada kaumnya, dan perintah kepada baginda agar istiqamah berdakwah.

🎈 Ayat 109
Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) ragu-ragu tentang apa yang disembah oleh mereka. Mereka tidak lain menyembah seperti nenek moyang mereka dahulu menyembah. Dan sesungguhnya Kami pasti akan menyempurnakan dengan secukup-cukupnya pembalasan (terhadap mereka) dengan tidak dikurangi sedikitpun.

💦 Perbuatan kaum kafir Mekah menentang ajaran yang dibawa oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam merupakan suatu kebodohan, kebatilan dan kesesatan. Sebenarnya mereka hanya meniru cara beribadah datuk nenek moyang mereka terdahulu dengan menyembah berhala tanpa ada sebarang dalil atau hujjah yang jelas. Mereka ini akan diazab sebagaimana generasi terdahulu.

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala tetap memberikan kenikmatan dan kesenangan kepada orang-orang yang kufur walaupun mereka ini menyembah berhala. Ini bukanlah bermaksud orang-orang kafir itu baik keadaan mereka tetapi ini adalah disebabkan sifat Pemurah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Dia boleh memberikan kesenangan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya termasuklah mereka yang kufur dan angkuh. Ini juga sebenarnya merupakan ujian buat mereka.

💦 Kesimpulan daripada ayat ini adalah, janganlah kita tertipu oleh kesenangan dan kenikmatan yang dirasai oleh orang-orang zalim semasa mereka hidup di dunia yang sementara ini. Sedangkan Allah telah menjanjikan syurga yang kekal untuk orang-orang yang sabar dan ikhlas beribadah kepada-Nya.

🎈 Ayat 110
Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kitab (Taurat) kepada Musa lalu diperselisihkan tentang kitab itu. Dan seandainya tidak ada ketetapan yang terdahulu daripada Rabb-mu, pasti dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya mereka (orang-orang kafir Mekah) ragu-ragu dan bimbang terhadap (kebenaran) Al-Quran.

💦 Ayat ini menceritakan kisah Nabi Musa ‘alaihis salam dan kaumnya serta menerangkan keadaan orang-orang yang ingkar kepada baginda pada hari kiamat. Kisah ini disampaikan kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam untuk menghibur hati baginda pada waktu menghadapi pelbagai kesulitan dalam menyebarkan agama Islam.

💦 Sekiranya penangguhan azab belum diputuskan sehingga hari Kiamat nescaya Allah akan membinasakan mereka pada waktu itu juga. Perkara ini juga disebut dalam ayat lain:

📖 Dan sekiranya tidak ada satu ketetapan daripada Tuhanmu (wahai Muhammad), dan satu tempoh yang ditentukan pasti (azab) sudah menimpa mereka. Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, ....
[Taha, 20:129-130]

🎈 Ayat 111
Dan sesungguhnya kepada masing-masing (mereka yang berselisih itu) pasti Rabb-mu akan menyempurnakan dengan cukup (balasan) pekerjaan mereka. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

💦  Masing-masing yang berselisih tentang isi Kitab Allah Subhanahu wa Ta‘ala iaitu sama ada yang percaya ataupun yang mendustakannya tetap akan mendapat balasan pada hari kiamat dengan adil. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka lakukan. Mereka sedikitpun tidak akan dizalimi.

🎈  Ayat 112
Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang telah bertaubat kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

💦 Allah memerintahkan Rasul dan hamba-hamba-Nya yang mukmin agar teguh berada di atas jalan yang hak dan sentiasa istiqamah untuk mengajak manusia kepada kebenaran walaupun ramai yang mendustakannya. Sikap ini merupakan antara sebab datangnya pertolongan Allah ketika menghadapi musuh.

💦 Orang-orang mukmin hendaklah menghindari perselisihan sesama mereka dan tidak melampaui batasan-batasan Allah kerana ini boleh membawa kepada kehancuran agama dan juga kehidupan. Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui segala perbuatan hamba-hamba-Nya.

💦 Dalam ayat ini terdapat perintah agar kita sentiasa beramal dengan perkara-perkara yang tidak menyalahi sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan tidak menambah-nambah atau melakukan bid‘ah dalam agama Allah.

🍄 Ayat 113 🍄
Orang yang cenderung kepada orang yang zalim berhak ditimpa azab yang serupa.

🎈 Ayat 113
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.

💦 Maksud cenderung kepada orang-orang yang zalim ialah mengutamakan mereka lebih daripada Allah, meredhai kesyirikan yang mereka lakukan atau turut melakukan kezaliman bersama mereka. Sesiapa yang cenderung kepada orang-orang zalim akan dimasukkan ke dalam neraka seperti kaum yang zalim itu dan mereka tidak akan mendapat pertolongan Allah.

💦 Seseorang itu boleh bergaul dengan orang-orang zalim sekiranya bertujuan memperkenalkan agama Allah agar mereka beriman tetapi dalam masa yang sama tidak meredhai perbuatan syirik mereka.

🍄 Ayat 114 - 117 🍄
Pentingnya menjaga solat lima waktu, dorongan berbuat kebaikan dan larangan melakukan kerosakan di bumi.

🎈 Ayat 114
Dan dirikanlah solat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang), dan pada bahagian permulaaan daripada malam. Sesungguhnya amal-amal yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

💦 Dalam Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan beberapa pendapat tentang maksud "Dan dirikanlah solat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang)" iaitu:

🔺 Ibnu ‘Abbas merujuk kepada solat Subuh dan solat Maghrib.

🔺 Al-Hasan merujuk kepada solat Subuh dan solat Asar.

🔺 Mujahid merujuk kepada solat Subuh pada awal siang dan seterusnya solat Zohor dan solat Asar.

💦 Ayat "Dan pada bahagian permulaan malam" bermaksud solat Maghrib dan Isyak. Dalam sebuah hadis, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa salam bersabda:
"Dua solat pada permulaan malam adalah solat Maghrib dan solat Isyak.
[Hadis Riwayat Imam At-Thabari]

💦 Sesungguhnya perbuatan yang baik dapat menghapuskan dosa-dosa kecil. Ini berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam:

📚 "Sesiapa yang berwudhuk seperti wudhukku ini, kemudian dia mengerjakan solat dua rakaat dan tidak berkata-kata pada dirinya (akan perkara dunia) dalam dua rakaat itu, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu."
[Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim]

📚 “Solat lima waktu, solat Jumaat ke Jumaat (berikutnya), dan dari Ramadhan ke Ramadhan (berikutnya) adalah penghapus dosa-dosa yang ada di antara keduanya selagi seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar.”
[Hadis riwayat Muslim]

🎈 Ayat 115
Dan sabarlah, kerana sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

💦 Allah tidak akan mensia-siakan hamba-hamba-Nya yang bersabar dalam melakukan ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan semata-mata kerana-Nya.

🎈 Ayat 116
Mengapa tidak ada daripada umat-umat yang sebelum kamu orang-orang yang mempunyai keutamaan yang melarang (mengerjakan) kerosakan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil di antara orang-orang yang telah Kami selamatkan di antara mereka dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka, dan mereka adalah orang-orang yang berdosa.

💦 Pada ayat sebelumnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyebutkan tentang kebinasaan umat-umat terdahulu yang mendustakan para rasul. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyebutkan, sekiranya di kalangan umat-umat itu ada orang-orang yang mengajak kepada petunjuk dan melarang melakukan perbuatan buruk, tentu mereka akan selamat, namun sedikit sekali orang yang melakukannya.

💦 Mereka akan tetap berjaya selagi mereka mengikuti petunjuk Allah yang dibawa oleh para rasul, dan jika mereka meninggalkannya, maka mereka akan binasa. Allah memerintahkan umat yang mulia ini agar ada di kalangan mereka melakukan amar makruf dan nahi mungkar  sebagaimana firman Allah dalam surah Ali ‘Imran, 3:104.

📚 Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

"Sesungguhnya apabila umat manusia melihat suatu kemungkaran lalu mereka tidak mengubahnya, maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab kepada mereka seluruhnya.
[Hadis riwayat Ibnu Majah dalam Kitab Sahihul Jami‘]

💦 Dalam ayat ini terdapat galakan supaya manusia sentiasa berbuat baik dan juga mengajak kepada kebaikan. Juga supaya manusia tidak melakukan perkara-perkara keji di samping mencegah kemungkaran. Selain itu digalakkan supaya mereka membimbing dan membawa orang-orang yang tersesat kembali kepada kebenaran.

🎈 Ayat 117
Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan.

 💦 Allah sekali-kali tidak akan membinasakan sesebuah negeri kecuali apabila penduduk-penduduknya melakukan kezaliman.

💦 Ayat ini boleh juga dimaksudkan bahawa Allah tidak akan membinasakan negeri-negeri  disebabkan oleh kezaliman yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu yang telah bertaubat dan memperbaiki amal mereka. Ini kerana Allah akan memaafkan dan menghapuskan dosa-dosa akibat daripada kezaliman mereka yang telah lalu apabila mereka bertaubat.

🍄 Ayat 118 - 119 🍄
Sunnatullah pada perpecahan manusia dan keputusan-Nya kepada mereka pada hari Kiamat.

🎈 Ayat 118
Dan kalaulah Rabbmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan manusia umat yang satu tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat,

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyatakan bahawa Dia mampu menjadikan semua manusia ini satu umat, sama ada mereka semua beriman atau semuanya kafir, namun Allah tidak menghendaki yang demikian. Hal ini juga disebutkan dalam ayat di bawah:

📚 "..... jika Rabbmu menghendaki tentu berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi...." [Yunus, 10:99]

💦 Allah juga menyatakan bahawa perselisihan pendapat tetap akan berlaku di kalangan umat manusia walaupun jika Allah menjadikan mereka mempunyai agama dan syariat yang satu. Ini kerana terdapat pemahaman dan keyakinan yang berbeza di kalangan manusia dalam perkara agama yang menjadi ikutan atau pegangan masing-masing. Semua ini ada dalam pengetahuan Allah.

🎈 Ayat 119
kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Rabbmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah), dan untuk itulah (perselisihan dan rahmat) Allah menjadikan mereka. Dan kalimah Rabbmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan, "Sesungguhnya Aku akan memenuhi Neraka Jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)."

💦 Maksud "kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Rabbmu" ialah orang-orang yang mengikuti para rasul dan berpegang teguh kepada perintah agama. Mereka ini adalah golongan yang selamat dan akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Ini sebagaimana yang dihuraikan dalam hadis:

"Sesungguhnya orang-orang Yahudi akan berpecah kepada 71 golongan, Nasrani berpecah kepada 72 golongan, dan umat ini berpecah kepada 73 golongan yang semuanya di neraka kecuali satu golongan. Golongan yang selamat ini ialah golongan yang mengikuti Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat."

Perkara ini telah dinyatakan dalam huraian ayat sebelum ini iaitu dalam surah Yunus, 10:93.

💦 Dalam Tafsir Ibnu Kathir, Al-Hasan Al-Basri menyatakan maksud "dan untuk itulah Allah menjadikan mereka" ialah Allah menciptakan mereka supaya berbeza-beza pendapat, manakala Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhu pula menyatakan bahawa Allah menciptakan mereka terdiri daripada dua golongan sebagaimana firman-Nya:

"....Maka di antara mereka ada yang celaka, dan ada pula yang berbahagia. [Hud, 11:105]

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab-kitab supaya manusia mempunyai ilmu pengetahuan dan dapat beramal dengan amalan yang benar dan sentiasa berada dalam kebenaran. Sesiapa yang tidak mahu menerima kebenaran, pasti mereka dibiarkan tersesat.

💦 Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana serta Maha Adil. Dia menciptakan manusia yang berselisih pendapat berdasarkan kepada ilmu dan hikmah-Nya. Manusia diberikan balasan berdasarkan keadilan-Nya kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menunjukkan dua jalan dan manusia diberikan pilihan. Sesiapa yang memilih keimanan akan beruntung manakala yang memilih kesesatan akan mendapat kerugian.

💦 Maksud "Dan kalimah Rabbmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan, 'Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa).'" ialah Allah telahpun menetapkan seseorang itu masuk ke neraka berdasarkan pengetahuan-Nya bahawa orang itu berhak dimasukkan ke dalamnya disebabkan amalannya.

🍄 Ayat 120 - 123 🍄
Menerangkan bahawa kisah-kisah para rasul yang Allah ceritakan adalah untuk meneguhkan hati Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam dan sebagai pelajaran kepada kaum mukmin, serta menjelaskan penyerahan mutlak kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

🎈  Ayat 120
Dan tiap-tiap berita daripada berita rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberitahu Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa diceritakan kepada baginda kisah-kisah para rasul terdahulu agar hatinya tenang, tabah dan sabar dalam menghadapi penentangan dan pendustaan kaumnya.

💦 Oleh itu Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam diperintahkan supaya terus memberi nasihat serta menceritakan kisah para rasul terdahulu yang mendapat tentangan daripada kaum masing-masing supaya mereka boleh mengambil iktibar.

🎈 Ayat 121
Dan katakanlah kepada orang-orang yang tidak beriman: "Buatlah apa yang kamu sanggup melakukannya (daripada perbuatan ingkar itu). Sesungguhnya kami juga tetap mengerjakan (nasihat pengajaran yang Tuhan berikan kepada kami).

💦 Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam memberi amaran kepada orang-orang yang tidak beriman itu dengan mengatakan mereka boleh berbuat menurut apa yang mereka mahu, tetapi mereka diingatkan bahawa Allah akan memberikan balasan seadil-adilnya. Perkara yang sama disebutkan dalam surah Al-An‘am, 6:135.

🎈  Ayat 122
Dan tunggulah (akibat yang buruk yang akan menimpa kamu)! Sesungguhnya kami juga menunggu (akan kemenangan dan kejayaan yang dijanjikan oleh Allah kepada kami)."

💦 Allah telah menepati janji terhadap Rasul-Nya. Allah menolong para rasul-Nya dalam meninggikan agama-Nya dan merendahkan orang-orang kafir. Sesungguhnya Allah Maha Mulia dan Maha Bijaksana.

🎈 Ayat 123
Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepada-Nya-lah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepada-Nya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

💦 Allah mengetahui segala yang ghaib di bumi dan di langit dan kepada-Nya semua makhluk akan dikembalikan. Setiap orang datang membawa amalan masing-masing pada hari perhitungan dan mendapat balasan daripada apa yang mereka telah lakukan.

💦 Allah memerintahkan supaya mengerjakan ibadah dan bertawakal kepada-Nya kerana Dia Maha Mengetahui dan tidak lalai terhadap apa yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya. Dia pasti akan memberikan balasan di dunia dan juga di akhirat.

Allahu a‘lam.

🎈💦🎈💦🎈💦🎈💦🎈


🎈 Selesai tafsir surah Hud; sallallahu ‘ala Muhammad wa ‘ala alihi wa sahbihi wa sallam, wal hamdulillahi rabbil ‘alamin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.