السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
MENGHARGAI JASA IBU BAPA
Ucaplah terima kasih yang tidak terhingga khusus kepada
ayah dan ibu:
TERIMA KASIH IBU kerana mengizinkan kami menumpang rahim
ibu selama 9 bulan 10 hari.
TERIMA KASIH IBU kerana telah bersusah payah melahirkan
kami sehingga terkoyak isi ibu, terluka kulit ibu, tertumpah darah ibu, dan
bercucuran air mata ibu kerana menahan kesakitan dan penderitaan.
TERIMA KASIH IBU yang sanggup berkorban, tidak pernah
kenyang makan dan minum kerana ingin mengenyangkan kami.
TERIMA KASIH IBU yang tidak pernah nyenyak tidur kerana
memikirkan keselesaan tidur kami.
TERIMA KASIH AYAH yang mengizinkan kami dibinkan kami
dengan nama ayah.
TERIMA KASIH AYAH yang sudi melaungkan azan dan kalimah
syahadah ketika kami baru dilahirkan dari perut ibu.
TERIMA KASIH AYAH yang sudi mengajar kami tentang ketegasan
di dunia ini, hingga kami kenal peraturan dan jalan kehidupan.
TERIMA KASIH AYAH yang menjadi asbab kami mengenal Allah
tuhan kami, kami kenal Nabi Muhammad SAW utusan Allah. Kami kenal akidah
sebenarnya yang mesti dipegang sehingga akhir hayat kami.
TERIMA KASIH AYAH, insan tabah yang jarang menitiskan air
mata di hadapan kami. Titisan itu hanya untukMu Ya Allah, resah gelisah ayah
disembunyikan daripada kami tetapi hanya diceritakan kepada Allah SWT.
Rahsianya hanya engkau yang tahu Ya Allah.
TERIMA KASIH AYAH yang selalu bertanya khabar kami melalui
lisan dan perantaraan ibu.
TERIMA KASIH AYAH yang sudi menghulurkan wang saku melalui
lembutnya tangan ibu.
TERIMA KASIH AYAH yang selalu memandang kami, ketawa kecil,
senyum lebar dari jauh.
TERIMA KASIH AYAH yang telah mendidik kami dengan tegas.
Hari ini kami menjadi ayah kepada anak-anak kami. Kami baru mengenali watak
ayah sebenarnya.
TERIMA KASIH AYAH DAN IBU kerana sanggup berkorban wang
ringgit beribu-ribu untuk membesarkan kami. Pada masa kami masih bayi, susu,
lampin dan pakaian mencecah ribuan ringgit.
TERIMA KASIH AYAH DAN IBU menghantarkan kami ke sekolah. Di
waktu kami di alam sekolah rendah selama 6 tahun.
IBU DAN AYAH bersusah payah berhabis ribuan ringgit untuk
belanja sekolah kami sebelum kami melangkah ke sekolah menengah.
Ketika kami di sekolah menengah, di alam remaja kami, IBU
DAN AYAH memerah keringat, membanting tulang empat kerat menyediakan duit
belanja kami, membeli buku-buku sekolah dan yuran peperiksaan. Terima kasih ibu
dan ayah membelanjakan semua itu dengan nilai beribu-ribu.
Apabila kami memasuki universiti, ayah dan ibu sanggup
bergadai menjual tanah pusaka demi anak supaya berjaya.
Ayah dan ibu telah membelanjakan untuk kita daripada usia
bayi sehingga dewasa mencecah jutaan ringgit. Apakah ayah dan ibu kita
merupakan jutawan?.
Justeru, sedarlah kita bahawa nilai kasih sayang dan jasa
ibu dan bapa tidak mampu untuk kita membayarnya.
Ya Allah, sekiranya ayah dan ibu masih ada, engkau
sihatkanlah tubuh badan mereka, engkau panjangkanlah umur mereka dalam
kebajikan dan kerahmatan. Tambahkanlah padanya ketabahan, keimanan dan
ketaqwaan, Ya Arhamarrahimin.
Andai kata, engkau ingin mengambil nyawa mereka berdua dari
kami, janganlah engkau sakiti mereka Ya Allah. Engkau permudahkanlah dan
ringankan beban mereka ketika menghadapi sakaratulmaut.
Andai mereka telah pergi bertemuMu Ya Allah, dengan
rahmatMu yang maha luas, Engkau lapangkanlah kubur mereka. Pindahkan mereka
dari kegelapan liang lahad ke dalam syurgaMu yang luas tidak terperi.
Kurniakanlah mereka nikmat yang abadi.
Sesungguhnya berbakti kepada kedua ibu bapa tidak terhenti
ketika mereka masih ada. Pintu berbuat ihsan dan bakti kepada mereka tidak
pernah tertutup walau mereka telah meninggalkan kita. Dalam sebuah hadis,
seorang lelaki daripada Bani Salamah bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya
Rasulullah, apakah masih ada bentuk baktiku kepada ibu bapaku setelah mereka
meninggal dunia?
Rasulullah SAW menjawab: Ya ada, iaitu dengan mendoakan
keduanya, beristighfar atau meminta keampunan untuk keduanya, menunaikan
janjinya, menyambung silaturrahim dengan orang yang kedua ibu bapamu lakukan
serta memuliakan teman-temannya.
Alangkah beruntungnya ibu bapa yang memiliki anak soleh
yang terus berbakti hingga akhir hayat, baik ketika ibu bapa masih hidup
mahupun telah meninggal dunia. Di dunia mereka hidup bahagia, di alam kubur
pahala terus mengalir kepada mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.