السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتهُ
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
وَاِذَا سَاَلَـكَ عِبَادِيْ
عَنِّيْ فَاِنِّيْ قَرِيْبٌ ؕ اُجِيْبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ اِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيْبُوْا
لِيْ وَلْيُؤْمِنُوْا بِيْ لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُوْنَ
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul."
(Al-Baqarah: 186)
Rasulullah SAW menyifatkan doa sebagai senjata orang Mukmin dan menjadi tali penghubung antara seorang hamba dengan Allah. Diantara berbagai macam doa yang dipanjatkan oleh seorang hamba kepada Allah, ada doa yang dikabulkan dan ada pula doa yang tidak dikabulkan oleh Allah SWT. Oleh itu, seseorang hamba yang berdoa harus memahami keutamaan dan adab-adab ketika berdoa.
Berdasarkan beberapa hadis-hadis Nabi SAW terdapat tujuh
golongan manusia doa mereka mustajab disisi Allah SWT. Golongan tersebut adalah
seperti berikut:
Pertama: Doa orang tua kepada anaknya.
Doa ibu bapa kepada anak-anaknya tidak ada hijab disisi Allah SWT kerana reda Allah SWT kepada anak-anak adalah bergantung kepada reda kedua ibu bapanya . Oleh itu anak-anak tidak boleh sama sekali derhaka kepada kedua ibu bapanya.
Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:"Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya".
(Hadith Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad dan Abu Daud)
Kedua: Doa seorang musafir sampai ia kembali dari
perjalanannya.
Seorang yang bermusafir dengan tujuan baik kerana Allah SWT samaada untuk menuntut ilmu, menziarahi saudara mara atau keluar rumah untuk mencari rezeki yang halal adalah perbuatan yang dikasihi oleh Allah SWT dan diberi ganjaran pahala dan doanya makbul disisi Allah SWT. Kemuliaan yang Allah SWT berikan kepada seorang yang bermusafir sekiranya dia keputusan belanja maka wang zakat boleh diberikan kepadanya.
Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:"Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya".
(Hadith Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad dan Abu Daud)
Ketiga: Doa orang yang dianiaya.
Allah SWT amat murka kepada sesiapa sahaja dikalangan hamba-Nya yang melakukan kezaliman kepada hamba-Nya yang lain. Orang yang suka melakukan kezaliman dan aniaya kepada orang lain akan mendapat balasan daripada-Nya di dunia lagi. Doa mereka yang dizalimi mustajab di sisi Allah SWT.
Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara".
(Hadith Riwayat Hakim)
Dari Khuzaimah bin Thabit RA, Rasulullah SAW bersabda
maksudnya:
"Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi. Allah SWT berkata: 'Demi kemulian dan keagunganKu, Aku pasti akan menolongmu walaupun setelah masa yang lama".
(Hadith Riwayat At-Tabrani)
Keempat: Doa orang yang berpuasa sampai ia berbuka puasa.
Puasa adalah satu amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT
sehinggakan pahala orang yang berpuasa hanya Allah SWT sahaja akan berikan dan
malaikat sendiri tidak tahu berapa banyak pahala yang hendak dicatatkan. Ada
sebuah hadith qudsi yang berbunyi,
“Puasa adalah milik-Ku dan Akulah yang akan membalasnya”.
Dalam hadith yang lain menyatakan bahawa doa orang yang
berpuasa mustajab di sisi Allah SWT. Nabi SAW bersabda maksudnya:
"Ada tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT iaitu doa orang yang berpuasa sampai berbuka, doa seorang pemimpin yang adil dan doa orang yang dianiaya" .
(Hadith Riwayat At-Tirmidzi)
Kelima: Doa seorang pemimpin yang adil.
Seorang pemimpin yang adil, mesra rakyat dan tidak membelakangkan kehendak dan suara rakyat adalah makbul di sisi Allah SWT. Pemimpin seperti ini akan sentiasa dirahmati Allah SWT dan mendapat doa kesejahteraan daripada rakyat kerana keadilannya.
Nabi SAW bersabda maksudnya:"Ada tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT iaitu doa orang yang berpuasa sampai berbuka, doa seorang pemimpin yang adil dan doa orang yang dianiaya".
(Hadith Riwayat At-Tirmidzi)
Keenam: Doa seorang sahabat kepada sahabatnya dikejauhan yang keduanya saling bertemu dan berkasih sayang hanya mengharap reda Allah SWT semata.
Persahabatan dalam Islam adalah persahabatan kerana Allah SWT. Bertemu dan berpisah semata-mata kerana Allah SWT untuk menjalankan kewajipan dakwah untuk amar makruf nahi mungkar. Doa di antara dua sahabat yang berkasih sayang dan menjalin ukhwah Islamiah adalah makbul disisi Allah SWT.
Dari Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda yang
bermaksud:"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah
dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT".
(Hadith Riwayat Muslim)
Ketujuh: Doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya.
Seorang anak yang soleh adalah anak yang taat dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kedua ibu bapanya semasa kedua ibu bapanya masih hidup. Apabila kedua ibu bapanya telah meninggal dunia dia sentiasa bersedekah, membuat amal kebajikan dan mendoakan untuk mereka. Doa anak yang soleh mustajab disisi Allah SWT.
Dari Abu Hurairah RA berkata Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Apabila seorang diantara kamu meninggal dunia maka
terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat
dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya".
(Hadith Riwayat Muslim)
Seorang mukimin yang banyak berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT tidaklah sama dengan mukmin yang kurang berdoa. Kerana setiap doa yang kita panjatkan kehadrat Ilahi, InShaAllah akan ditunaikan-Nya samaada cepat atau lambat dan berdoa itu sendiri adalah ibadah yang akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.
Sahabat-sahabat yang dimuliakan, marilah sama-sama kita terus berdoa dan memohon kepada Allah SWT semoga doa-doa kita ditunaikan dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Sekiranya kita termasuk salah satu daripada tujuh golongan yang dimakbulkan doa-doanya maka janganlah kita lepaskan peluang untuk perbanyakkan doa dan memohon kepada Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.