اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ
اَللهِ وَبَرَكاتُهُ
عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ بَنَى مَسْجِدًا يُذْكَرُ فِيهِ اسْمُ
اللَّهِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ
Daripada Umar Ibnul Khatthab RA ia berkata; Aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa membangunkan masjid yang di dalamnya
digunakan untuk berzikir kepada Allah, maka Allah akan membangunkan baginya
sebuah rumah di syurga."
(Sunan Ibnu Majah No: 727) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Allah memberikan ganjaran yang besar kepada
sesiapa yang membina masjid dengan ikhlas semata-mata untuk digunakan di
dalamnya bagi mengingati Allah.
2. Orang yang membangunkan masjid ini tergolong dalam
kalangan pemakmur masjid Allah. Firman Allah:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ
الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلا اللَّهَ فَعَسَى
أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ
Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah
orang-orang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap
mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain
Allah, maka merekalah yang termasuk golongan orang-orang yang selalu mendapat
petunjuk (dari Allah Ta’ala)”
(Surah At-Taubah: 18).
3. Ibnu al-Jauzi dalam Zaadul Masiir (3/408) berkata:
yang dimaksudkan dengan “memakmurkan” dalam ayat di atas ialah mereka yang:
- Selalu mendatangi masjid dan beribadat di dalamnya
- Membangun masjid dan memperbaikinya.
4. Masjid perlu dibangunkan fizikal serta rohnya
(program dan aktiviti yang mendekatkan seseorang kepada Allah). Orang yang
membangunkan masjid akan diberi ganjaran mahligai di syurga.
5. Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW
dalam peristiwa hijrah adalah membina Masjid. Dimulakan dengan masjid Quba dan
diikuti dengan Masjid Madinah. Masjid dijadikan tempat menghimpunkan rakyat,
merapatkan ukhuwah, menyampaikan dakwah, mengajarkan al-Quran serta mengurus
pemerintahan.
6. Jangan jadikan masjid seperti gajah puteh. Kata
Saidina Ali: Akan datang suatu zaman ke atas manusia, tidak kekal di dalam
Islam kecuali namanya sahaja dan tidak kekal dalam ajaran al-Quran melainkan
tinggal tulisannya sahaja, masjid yang besar dan indah dibangunkan di sana sini
tetapi manusia tidak mengambil petunjuk daripadanya.
Marilah sempena Sambutan Hijrah 1446 ini kita mencontohi
kejayaan dan kegemilangan Rasulullah SAW membangunkan Negara Islam Madinah
dengan dimulakan di masjid. Jom ikat diri kita dengan masjid. Mengimarahkan
Masjid Tanggungjawab Kita.
09hb Julai 2024
03hb Muharram 1446H
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.