Tanya diri Anda, apa yang Anda boleh lakukan untuk menyenangkan orang lain?. Tanya diri Anda, apa yang Anda boleh bantu untuk meringankan beban orang lain? Apabila Anda dapat memfokuskan fikiran pada usaha membantu orang lain tanpa mengharap balasan, hati akan gembira tenang. Anda akan lebih bersemangat apabila ada orang mengucapkan terima kasih pada Anda, atas pertolongan Anda. Satu cara yang baik sebagai terapi dalaman untuk mengubah diri kita adalah dengan menjadi orang yang suka menolong orang lain. Tolong beri pendapat, buah fikiran, tenaga atau apa jua cara yang sesuai dengan kemampuan anda dan tak semestinya pertolongan dalam bentuk wang ringgit. Jika Anda sedang dilanda masalah dan Anda cukup tertekan dek memikirkan masalah itu, cari orang lain yang juga bermasalah lalu bantulah dia. Kelak Anda akan menemui kekuatan ketika dalam proses membantu meringankan beban emosi orang yang Anda bantu itu. Prinsipnya mudah. Anda berikan sesuatu, Anda akan merasai kesannya di dalam jiwa. Apabila kita berikan sesuatu sebagai pertolongan, kita akan merasa yang kita ini ada tujuan hidup. Kita nampak apa fungsi kita dalam kehidupan bermasyarakat. Kita boleh memperbaiki diri kita melalui perbuatan, dengan syarat perbuatan kita kena selari dengan hati kita iaitu keikhlasan. Renungilah bait-bait dibawah: Pada yang empunya harta melimpah hulurkanlah zakat dan sedekah Pada yang sihat dan kuat berilah tenaga dan keringat Pada yang berbakat dan cendekiawan pemurahlah dengan hikmah dan pengajaran Pada yang miskin dan kesempitan bersedekahlah dengan senyuman Semua kita harus pemurah memberi bukan untuk bermegah Tetapi itulah perintah Allah Semuga kita mendapat barakah Firman Allah: "Kamu tidak sekali-kali akan mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna), sebelum kamu dermakan sebahagian daripada yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha mengetahui" (Ali Imran: 92) |
Jadikanlah masjid sebagai tempat tumpuan utama dalam semua aktiviti kemasyarakatan kita. Kembalikan peranan masjid dalam usaha mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemungkaran dan membina masyarakat atas asas taqwa dan keredhaan Allah. Manusia memerlukan bimbingan agama agar kehidupan dunia dapat dilalui atas landasan yang benar sepertimana dikehendaki oleh Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.