disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Selasa, 27 September 2022

Cendekiawan Islam Terkemuka Sheikh Yusuf al-Qardhawi Meninggal Dunia.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

Pengerusi Kesatuan Ulama Islam yang juga Cendekiawan Islam terkemuka dunia, Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi telah kembali ke pencipta-Nya hari ini pada usia 96 tahun. 

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Qatar, tempat beliau tinggal dalam buangan berikutan penggulingan tentera kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 2013. Allahyarham Sheikh Dr Yusuf al-Qardhawi telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati tanpa hadir di Mesir. 

Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) yang berpangkalan di Doha mengesahkan mengenai berita sedih pemergian ulama itu dalam satu kenyataan di laman sesawangnya. Sheikh Yusuf al-Qaradawi. cendiakawan islam terkenal kelahiran Mesir ialah pengasas IUMS.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah menghasilkan banyak penulisan termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa. Curahan ilmu dari beliau amat memberi kesan pada ummah dalam  memahami kehidupan didunia yang sebenar. 

Atas segala jasa dan baktinya dalam dunia Islam. Negara kita Malaysia telah menganugerahkan Allahyarham Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada tahun 2009.

   AL MARHUM AL 'ALLAMAH FADILATUS 
   SHEIKH PROF. DR. YUSUF AL-QARADAWI 

Professor Dr. Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi adalah seorang cendekiawan Islam dari Mesir yang terkenal. Beliau juga seorang tokoh sarjana Islam yang terkenal pada abad ini. Beliau adalah pemikir, sarjana dan intelek kontemporari yang tidak asing lagi di dunia Islam. Beliau merupakan ketua Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research) dan Presiden Persatuan Ilmuwan Islam Antarabangsa (International Association of Muslims Scholars). Beliau juga adalah Bekas Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia. Beliau lebih dikenali sebagai Yusuf al-Qaradawi. 

Nama penuh Yusuf al-Qaradawi ialah Yusuf bin Abdullah bin Ali bin Yusuf. Beliau dilahirkan di desa Shafat al-Turab, Mahallah al-Kubra negeri Gharbiah, Mesir. Yusuf al-Qaradawi lahir pada 9 September 1926 bersamaan dengan 1344 Hijrah. Al-Qaradawi adalah nama keluarganya dan nama ini diambil daripada sebuah daerah yang bernama al-Qardhah dan dinisbahkan kepada keturunannya. Berhampiran dengan kampung beliau itu terletaknya makam sahabat nabi yang telah meninggal dunia di Mesir iaitu Abdullah bin Harith bin Juz al-Zubaidi pada tahun 86 Hijrah. 

Keluarga Yusuf al-Qaradawi berasal daripada keluarga yang kuat pegangan agamanya. Bapa beliau bekerja sebagai petani dan keluarga sebelah ibu beliau bekerja sebagai peniaga. Bapa Yusuf al-Qaradawi telah meninggal dunia ketika beliau berusia 2 tahun. Kemudian beliau dipelihara oleh bapa saudaranya yang bernama Ahmad. Yusuf al-Qaradawi dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan mendapat keistimewaan dalam keluarga. Ketika berusia 5 tahun, beliau dihantar ke kuttab di kampungnya untuk menghafal al-Quran. Beliau seterusnya belajar di sekolah rendah iaitu Madrasah Ilzamiyyah yang diuruskan oleh Kementerian Pendidikan Mesir ketika menjangkau usia 7 tahun. Beliau mempelajari Matematik, Sejarah, Kesihatan dan lain-lain di sekolah tersebut. 

Sejak kecil lagi, beliau telah mendapat pendidikan secara formal melalui sekolah kerajaan di sebelah pagi dan pendidikan agama (al-Kuttab) di sebelah petang. Yusuf al-Qaradawi berjaya menamatkan hafalan al-Quran sepenuhnya bersama pelajaran hukum-hukum tajwid sebelum mencapai usia 10 tahun. Sejak kecil lagi beliau bercita-cita hendak belajar di al-Azhar dan menjadi salah seorang daripada sarjana Islam. Beliau juga telah menunjukkan ciri-ciri sarjana Islam sejak kecil lagi. Bakat beliau terserlah apabila sering dipanggil menjadi imam dan syarahan agama di masjid kampungnya. Setelah tamat belajar di Madrasah Ilzamiyyah, Yusuf al-Qaradawi melanjutkan pelajaran ke Maahad Rendah Tanta (Madrasah Ibtida’ittah) selama 4 tahun dan di Maahad Menengah (Madrasah Thanawiyyah) selama 5 tahun. Maahad ini terletak di bawah penguasaan al-Azhar. 

Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar. Pada tahun 1952/1953 beliau telah menyelesaikan kuliah di Fakulti Usuluddin dan menjadi pelajar terbaik daripada 180 orang mahasiswa. Yusuf al-Qaradawi kemudiannya telah mengambil pengkhususan di fakulti Bahasa Arab selama 2 tahun dan beliau memperolehi ijazah sarjana dan diploma pendidikan dengan pangkat pertama. 

Pada tahun 1957, beliau seterusnya menyambung pelajaran ke Akademi Kajian Bahasa Arab Tinggi yang dikelolakan oleh Liga Arab sehingga memperolehi Diploma Bahasa Arab dan Sastera. Dalam waktu yang sama, Yusuf mendaftar sebagai calon ijazah tinggi di Fakulti Usuluddin dalam bidang tafsir dan hadis dan berjaya menamatkan pengajiannya pada tahun 1960. Beliau seterusnya memperolehi Ph.D dalam fiqh al-Zakat pada tahun 1973. Kelewatan memperolehi Ph.D ini disebabkan keadaan politik Mesir yang cukup gawat ketika itu sehingga beliau terpaksa menangguhkan pengajiannya selama 13 tahun. Tesis beliau mendapat pujian dan menjadi kebanggaan majoriti sarjana Islam termasuklah al-Mawdudi dan Muhammad Mubarak. GURU-GURU DAN MURID-MURID YUSUF AL-QARADAWI Seperti Imam Syafie dan Imam al-Ghazali, 

Professor Dr Yusuf al-Qaradawi juga mempunyai ramai guru. Antara guru-guru beliau ialah: 
  1. al-Bahi al-Khuli 
  2. Syeikh Mahmud al-Diftar 
  3. Syeikh Mutawalli Sya’rawi 
  4. Syeikh Muhammad Abu Zahrah 
  5. Syeikh Sayyid Sabiq 
  6. Syeikh Abdul Qadir Audah 
  7. Syeikh Mahmud Syautub 
  8. Muhammad Mukhtar Badir 
  9. Muhammad Amin Abu al-Raus 
  10. Syeikh Abdul Halim Mahmud 
  11. Muhammad Ahmadain 
  12. Abu Hamid al-Sazali 
  13. Salih Ashraf al-Isawi 
  14. Muhammad Yusuf 
  15. al-Syafi’I al-Zawahiri 
  16. Dr. Muhammad Ghalab 
  17. Tayyib al-Najjar 

Yusuf al-Qaradawi juga mempunyai anak murid. Antara anak murid beliau ialah Sheikh Dr ‘Ali Mahyuddin Qargakhi, Dr Rejab Abu Milih, Muhammad al-Ghazali. 

BUKU-BUKU DAN SUMBANGAN YUSUF AL-QARADAWI 
Yusuf al-Qaradawi adalah seorang professor yang diiktiraf sebagai pemikir Islam dan ulama kontemporari. Ini adalah kerana beliau banyak memberi sumbangan dalam bidang fiqh, usul fiqh, dakwah Islamiah, gerakan Islam, ekonomi, sastera dan pemikiran. Selain daripada itu beliau juga terkenal sebagai ulama yang membawa manhaj atau metodologi pemikiran yang unik dan agak berbeza daripada sarjana Islam moden yang lain. Pendekatan wasatiyahnya membuatkan pendapat beliau mudah diterima dan berdasarkan pendekatan ini beliau mampu menulis ratusan buku dalam pelbagai bidang ilmu Islam yang tersebar di seluruh dunia. Pemikiran al-Qaradawi dalam fiqh dapat dilihat melalui karyanya tentang permasalahan fiqh, persoalan isu semasa umat Islam, keperluan kepada ijtihad kontemporari dan persoalan mengenai fatwa. 

Penulisan serta kajian Yusuf al-Qaradawi banyak diterbitkan di dalam jurnal dan majalah. Antara buku-buku beliau ialah: 
  1. Madkhal li dirasat al-Syariah al-Islamiyyah 
  2. ‘Awamil al-Si’ah wa al-Murunah fi al-Shari’ah al-Islamiyyah 
  3. Shari’ah al-Islam Salihah li al-Tatbiq Kul Zaman wa Makan 
  4. Fi Fiqh al-Alawiyyat 
  5. Alawiyyat al-Harakat al-Islamiyyah fi Marhalah al-Qadimah 
  6. al-Ijtihad fi al-Shari’ah al-Islamiyyah ma’a Nazarat Tahliliyyah fi al-Ijtihad al-Mu’asir 
  7. al-Halal wa al-Haram fi al-Islam 
  8. Malamih al-Mujtama’ al-Muslim alladzi nansyuduh 
  9. Musykilah al-faqr wa kayf ‘alajaha al-Islam 
  10. al-Sahwah al-Islamiyyah bayna al-juhud wa al-tatarruf 
  11. Al-Iman wa al-Hayat 
  12. Wujud Allah 
  13. Hakikat al-Tauhid 
  14. Al-Iman bi al-Qadar 
  15. Fusul fi al-Akidah bayn al-salaf wa al-khalaf 

Semoga Allah Ta’ala merahmati al-Marhum al-‘Allamah Fadilatus Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi dengan rahmat-Nya yang Maha Luas dan mengurniakan pengampuan yang menyeluruh atas asbab segala bakti yang beliau curahkan kepada umat Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.