disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Isnin, 30 Januari 2023

AL-KAFI #1916: ADAKAH SUAMI WAJIB MENYATAKAN SECARA KHUSUS NAFKAH YANG DIBERIKAN KEPADA ISTERI

 

Soalan: 

Assalamualaikum, selalu disebut dalam media sosial tentang seorang suami wajib menyatakan belanja nafkah secara khusus. Persoalannya, adakah wajib nafkah kepada isteri perlu dinyatakan bahawa ia adalah nafkah. Sebagai contoh “Saya beri RM200 untuk nafkah dan RM500 untuk barang dapur”. Mohon penjelasan daripada pihak mufti. Terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan: 

Kewajipan seorang suami memberi nafkah kepada isteri dengan menyediakan nafkah asas secara umum seperti makanan, alat kebersihan diri dan seumpamanya mengikut kemampuannya tanpa perlu menyatakan secara khusus. Suami juga tidak wajib untuk memberi wang, ini kerana nafkah yang wajib hanyalah nafkah keperluan asas yang disenaraikan oleh ulama iaitu makanan, lauk -pauk, pakaian, alat mandian, perkakas rumah, tempat tinggal dan pembantu rumah bagi isteri yang biasa memiliki pembantu.

 

Huraian Jawapan: 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW dan seluruhnya. 


Nafkah menurut syarak adalah mengeluarkan harta untuk perbelanjaan keperluan manusia seperti makanan dan minuman, pakaian dan tempat tinggal serta selainnya.

[1] Antara sebab kewajipan memberi nafkah ke atas seseorang adalah kerana hubungan perkahwinan, kekeluargaan dan pemilikan.

[2] Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri merupakan perkara yang telah disepakati para ulama setelah isteri memenuhi syarat-syarat tertentu.

[3] Hal ini berlandaskan firman Allah SWT: 


الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ


Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

(Surah al-Nisa’: 34)

 

Perihal penetapan kadar nafkah suami kepada isteri, para ulama menyatakan tanggungjawab nafkah yang wajib diberi adalah keperluan asas iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal, perkakas dapur dan rumah, alat kebersihan diri dan juga pembantu rumah (bagi suami yang mampu).

[4] Imam Khatib al-Syirbini menyebut dalam karyanya: 


وَالْحُقُوقُ الْوَاجِبَةُ بِالزَّوْجِيَّةِ سَبْعَةٌ: الطَّعَامُ، وَالْإِدَامُ، وَالْكِسْوَةُ، وَآلَةُ التَّنْظِيفِ، وَمَتَاعُ الْبَيْتِ، وَالسُّكْنَى، وَخَادِمٌ إنْ كَانَتْ مِمَّنْ تُخْدَمُ

 

Hal ini menunjukkan bahawa ulama tidak pernah menetapkan kewajipan suami untuk memberi wang poket kepada isteri apabila suami telah memberi nafkah keperluan asas yang cukup kepada isteri. Selain itu juga, pemberian nafkah merujuk kepada kemampuan suami sama ada kaya dan berkemampuan, sederhana atau fakir dengan mengikut kadar ketentuan uruf masyarakat setempat.

[6] Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: 


وَعلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ


Maksudnya: Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

(Surah al-Baqarah, 231)

 

Menurut Imam Ibn Kathir, (بِالْمَعْرُوفِ) dalam ayat di atas menunjukkan adat kebiasaan yang dilakukan oleh mereka (isteri) mengikut negerinya dengan tidak berlebih-lebihan dan      tidak membebankan suami. Hal ini berdasarkan kemampuan suami sama ada kaya, sederhana atau miskin.[7]

Menurut al-Fiqh al-Manhaji, kadar nafkah makanan asasi adalah dua cupak bagi mereka yang kaya, satu setengah cupak bagi mereka yang sederhana dan satu cupak bagi mereka yang fakir.[8] Begitu juga, lauk-pauk, pakaian dan selainnya ditentukan berlandaskan adat setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum syarak.[9] Seorang isteri yang tinggal serumah dan makan bersama suaminya sepertimana kebiasaan yang dilakukan pada setiap hari tanpa menetapkan kadar makanan dan lauk-pauk tertentu, maka ia sudah dikira sebagai nafkah dan disebut sebagai nafkah tamkin.[10]

Oleh yang demikian itu, kewajipan seorang suami memberi nafkah kepada isteri dengan menyediakan nafkah asas secara umum seperti makanan, alat kebersihan diri dan seumpamanya mengikut kemampuannya tanpa perlu menyatakan secara khusus. Suami juga tidak wajib untuk memberi wang, ini kerana nafkah yang wajib hanyalah nafkah keperluan asas yang disenaraikan oleh ulama iaitu makanan, lauk -pauk, pakaian, alat mandian, perkakas rumah, tempat tinggal dan pembantu rumah bagi isteri yang biasa memiliki pembantu. 

Di samping itu, suami juga boleh menukar keperluan nafkah tersebut dengan memberi wang kepada isteri untuk membeli sendiri nafkah keperluannya. Dalam hal yang lain, sekiranya terdapat perjanjian di antara suami dan isteri atau ditentukan oleh hakim tentang ketetapan kadar nafkah secara khusus, maka suami wajib memberi mengikut kadar yang telah ditetapkan tersebut, dan ini disebut sebagai nafkah tamlik.[11] 

Wallahu’alam

 

 

 

Rujukan: 

[1] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-fiqh al-Syafi’e. (Damsyik: Dar al-Qalam,1434h) Jld. 4 hlm. 274

 

تطلق على المال المصروف فيما يحتاجه الانسان، طعام وشراب وكسوة و مسكن، وغيرها.

 

[2] Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh. (Damsyik: Dar al-Fikr.) Jld. 10 hlm. 7349

 

ونفقة تجب على الإنسان لغيره. وأسباب وجوبه ثلاثة: الزوجية، والقرابة الخاصة، والمِلْك

 

[3] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syfie. (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1413h) jld. 4 hlm. 178

 

تجب نفقة الزوجة على الزوج بالإجماع، بشرط معينة سنذكرها، فيما بعد.

 

[4] Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. (Damsyik: Dar al-Fikr.) Jld. 10 hlm. 7349

 

الحقوق الواجبة بالزوجية: وهي سبعة: الطعام، والإدام، والكسوة، وآلة التنظيف، ومتاع البيت، والسكنى، وخادم إن كانت الزوجة ممن تخدم

 

[5] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, (Dar al-kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H) Jld. 5 Hlm. 151

 

[6] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syfie. (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1413h) jld. 4 hlm. 182

 

فاعلم أن حالة الزوج تصنّف شرعاً ضمن ثلاث درجات1: ـ درجة اليُسْر: (الغنى). 2ـ درجة التوسط. 3ـ درجة الفقر. والعُرف العام هو المحكم في تحديد ما يكون الإنسان به موسراً، أو متوسط الحال، أو فقيراً.

 

[7] Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir al-Qurasyi, Tafsir al-Quran al-‘Azim. (Dar Taibah li Nasr wa al-Tauzi’, 1420H). Jld.  1 Hlm. 634

 

أَيْ: بِمَا جَرَتْ بِهِ عَادَةُ أَمْثَالِهِنَّ فِي بَلَدِهِنَّ مِنْ غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلَا إِقْتَارٍ، بِحَسَبِ قُدْرَتِهِ فِي يَسَارِهِ وَتَوَسُّطِهِ وَإِقْتَارِهِ،

 

[8] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syfie. (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1413h) Jld. 4 Hlm. 185

 

وإنما هو محدّد ـ كما علمت ـ في سائر الظروف والأحوال: بمدّين، للموسر. ومدّ ونصف المدّ، للمتوسط. ومدّ واحد، للفقير.

 

[9] Ibid.

 

أما ما زاد عليه من الأدم والكساء ونحوهما، فإنما يحدده العرف، أي العُرف السائد في تلك البلدة، في ذلك العصر، بشرط أن لا يكون العُرف مخالفاً لشيء من الأحكام الشرعية.

 

[10] Ibid. Jld. 4 Hlm. 184-185

 

إذا كانت الزوجة تأكل مع زوجها ـ كما هي الغالبة في أيامنا ـ وتسكن معه دون أن يتفقا على قدر معين من القوت والأدم، يلتزم به الزوج، فهذه النفقة، تُعد من قبيل التمكين، لا التمليك، وتسقط بمضي الزمن ـ

 

[11] Ibid. Jld. 4 Hlm. 185

 

أما إذا كانت الزوجة قد اتفقت مع زوجها على قدر معين من النفقة يُجريه عليها، أو كان القاضي قد ألزمه بقدر معين من النفقة لها، فهي عندئذ مقدّرة، تطالب بها، حتى بعد مرور وقتها، لأنها تُعدّ ـ والحالة هذه ـ من قبيل التمليك، لا التمكين، ولها أن تعتاض عنها بما تحب.

 

Al Kafi li al-Fatawi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.