disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Jumaat, 3 Februari 2023

Maksud 13 Simbol Lampu Penunjuk Pada Dashboard Kereta.


Bagi pemilik atau pemandu kereta, anda pasti perasan di dashboard atau panel kereta anda, terdapat banyak lampu-lampu penunjuk dengan pelbagai simbol unik. 

Bagi yang tidak tahu, setiap simbol ini mempunyai maksud tertentu dan adalah sama untuk kesemua  kenderaan di pasaran. 

Mungkin ramai di antara kita yang masih tidak tahu apakah maksud setiap simbol penunjuk lampu ini dan hari ini mari kita belajar sama-sama apakah maksud setiap satu daripadanya. 

Untuk mengetahui maksud setiap lampu penunjuk pada dashboard kereta, sila rujuk nombor pada gambar di atas dan penerangan baginya di bawah ini:

1. Lampu brek tangan

Lampu ini merupakan indikator brek tangan anda masih digunakan. Apabila meletakkan  kenderaan anda untuk tempoh yang lama atau parking, pastikan lampu ini menyala – menunjukkan brek tangan sudah digunakan. Apabila hendak bergerak, pastikan lampu pada simbol ini tidak menyala yan menandakan brek tangan sudah dimatikan.


2. Lampu check engine

Lampu penunjuk kereta ini merupakan indikator keadaan enjin anda. Sekiranya kereta anda tidak boleh dihidupkan atau menghadapi kesukaran untuk dihidupkan dan lampu ini menyala, besar kemungkinan terdapat masalah pada enjin anda. Sila hubungi bengkel kereta yang berdekatan untuk untuk melakukan pemeriksaan lanjut pada enjin kereta anda.


3. Lampu bateri

Sekiranya lampu ini sudah menyala, menandakan bahawa bateri kereta anda mungkin sudah rosak atau lemah dan sudah tiba masanya untuk menukar dengan bateri yang baru.


4. Lampu sistem ABS

Antilock  Braking System atau singkatannya ABS adalah satu sistem kompleks untuk mengelakkan roda kereta anda terkunci apabila membrek. Sekiranya simbol ini menyala ketika anda menekan brek, bermakna sistem ABS anda berfungsi dengan baik. Namun, sekiranya simbol lampu penunjuk kereta ini menyala walaupun anda tidak membrek, besar kemungkinan terdapat masalah pada sistem ABS anda dan segera ke bengkel kereta untuk pemeriksaan.


5. Lampu Traction Control System(TCS)

Simbol yang menyerupai gambar sebuah kereta seperti tergelincir ini merupakan indikator untuk Traction Control System(TCS), sebuah sistem yang mengawal tayar anda daripada hilang cengkaman. Lampu ini akan menyala sekiranya sistem TCS dimatikan (secara manual) dan akan menyala dan berkelip apabila sedang berfungsi.


6. Lampu tahap minyak

Lampu ini biasanya akan menyala apabila tahap bahan bakar kereta anda berada di tahap yang rendah. Segera ke petrol minyak yang berdekatan untuk mengisi minyak.


7. Lampu tali pinggang keledar

Lampu indikator yang menandakan tali pinggang keledar tidak dipakai oleh pemandu. Sesetengah kereta turut mengeluarkan amaran sekiranya penumpang di hadapan tidak memasang tali pinggang keledar apabila kereta sedang bergerak.


8. Lampu suhu enjin

Sekiranya simbol ini berwarna biru, bermakna enjin anda masih belum cukup panas (biasanya pada awal pagi) untuk pemanduan optimum – pandu perlahan terlebih dahulu untuk menjaga kesihatan enjin anda. Namun sekiranya berwarna panas, terdapat masalah pada enjin anda – kemungkinan tangki radiator dan enjin kereta anda terlalu panas. Dalam keadaan ini, berhentikan  kenderaan anda di tempat yang selamat untuk biarkan ia sejuk dan segera lakukan pemeriksaan.


9. Lampu minyak enjin

Ini merupakan lampu amaran kuantiti minyak enjin. Sekiranya menyala ketika anda sedang memandu, enjin anda berkemungkinan besar kekurangan minyak hitam / minyak enjin.


10. Lampu untuk Electric power steering (EPS)

Lampu amaran ini akan menyala apabila kunci anda diputar ke posisi ON dan akan terpadam sebaik sahaja enjin dihidupkan. Namun, jika masih menyala apabila enjin kereta sudah dihidupkan, besar kemungkinan sistem Electric power steering (EPS) mempunyai masalah – anda akan rasa stereng anda sangat berat untuk dipusingkan.


11. Lampu beg SRS

Apabila lampu amaran bagi beg SRS menyala, sila bawa kereta anda ke pusat servis pengeluar kereta anda kerana ini merupakan indikator amaran bahawa beg keselamatan udara kereta anda sedang mempunyai masalah.

 

12. Lampu pintu kereta

Lampu penunjuk kereta ini akan menyala apabila salah satu pintu kereta atau bonet anda tidak ditutup rapat.


13. Lampu mod ECO

Lampu ini hanya terdapat pada sesetengah kereta baru yang mempunyai mod Economy. Perkataan ECO disini merupakan singkatan kepada Economy yang bermakna anda sedang memandu dengan penggunaan bahan api yang lebih efisien.


 

Kredit: ecentral

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.