disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Sabtu, 4 Februari 2023

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 576: BENARKAH TIDAK TERDAPAT HADIS SAHIH BERKAITAN KELEBIHAN BULAN REJAB?

 

Ringkasan Jawapan: 

Setelah melakukan penelitian terhadap hadis-hadis kelebihan bulan Rejab maka didapati terdapat beberapa hadis sahih yang menceritakan perihal ibadat Nabi SAW apabila berada dalam bulan Rejab. Oleh itu, ulama menjadikan hadis-hadis ini sebagai asas bahawa puasa di bulan Rejab adalah sunat. 

Sekalipun tidak terdapat hadis sahih berkenaan kelebihan amal ibadah dalam bulan Rejab namun terdapat beberapa hadis daif yang menceritakan berkenaan kelebihan berpuasa pada bulan Rejab. Umum mengetahui bahawa ulama membolehkan untuk beramal dengan hadis-hadis daʻif dalam aspek kelebihan beramal (fada’il aʻmal) selagi mana ia tidak mencapai taraf palsu (mauduʻ). 

Selain itu, fuqaha dalam kalangan mazhab al-Syafiʻi juga berpandangan bahawa sunat berpuasa pada bulan Rejab dan pada bulan tersebut segala amalan baik diganjari dengan pahala yang lebih banyak serta dosa yang dilakukan pada bulan tersebut dibalas dengan balasan yang lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain kerana bulan Rejab salah satu daripada bulan-bulan haram.

 

Huraian Jawapan: 

Mukadimah 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. 

Umumnya, sekarang umat Islam berada dalam bulan yang mana Allah SWT nyatakan sebagai salah satu daripada bulan haram iaitu bulan Rejab. Firman Allah SWT: 

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ 

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah SWT ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya).”

Surah al-Taubah (36)

 

Bulan Rejab merupakan bulan mulia yang digandakan pahala bagi setiap amal soleh dan juga dosa yang dilakukan pada bulan tersebut lebih besar balasannya berbanding bulan-bulan yang lain. Ini berdasarkan kenyataan Ibn Abbas RA yang menyebut, “Allah SWT mengkhususkan empat bulan tersebut sebagai bulan haram, dianggap sebagai bulan suci, melakukan maksiat pada bulan tersebut dosanya akan lebih besar dan amal soleh yang dilakukan mendapat pahala yang lebih banyak.”[1] 

Kebiasaannya, menjelang tarikh-tarikh penting dalam kalendar Islam seperti bulan Rejab maka akan timbul persoalan berkaitan kesahihan amalan masyarakat masa kini khususnya yang dilakukan dalam bulan Rejab ini sama ada bersumberkan sunnah  atau tidak? 

Baru-baru ini tular kembali isu berkaitan amalan bulan Rejab yang mengundang pelbagai persepsi terhadap amalan kebiasaan yang telah dilakukan oleh masyarakat apabila berada dalam bulan Rejab. Oleh itu, adalah lebih baik untuk menekuni kembali hadis-hadis serta perkataan-perkataan ulama terkait amalan pada bulan Rejab ini.

 

Hadis Sahih Berkaitan Amalan Dalam Bulan Rejab 

Dalam meneliti perbahasan ini, jelas bahawa memang tidak terdapat hadis sahih berkenaan kelebihan berpuasa secara khusus atau ibadat dalam bulan Rejab. Hal ini berdasarkan kepada kenyataan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Tabyin al-‘Ajab, beliau menyebutkan bahawa tidak terdapat hadis yang sahih dalam menerangkan keutamaan amalan dalam bulan Rejab, sama ada tentang amalan puasa atau solat malam yang dikhususkan pada bulan tersebut.[2] 

Namun, umum mengetahui bahawa ulama membolehkan untuk beramal dengan hadis-hadis daʻif dalam aspek kelebihan beramal (fada’il aʻmal) selagi mana ia tidak mencapai taraf palsu (mauduʻ). Walau bagaimanapun, terdapat syarat-syarat khusus sekiranya hendak beramal dengan hadis daʻif. Perkara ini bagi mengelakkan daripada seseorang yang beramal dengan hadis daʻif itu mensyariatkan apa yang tidak disyariatkan oleh Allah SWT atau menyebabkan sebahagian orang yang jahil dalam perkara tersebut memandangnya sebagai sunnah yang sahih.[3] 

Tetapi secara umum terdapat beberapa hadis sahih yang menceritakan perihal kehidupan Nabi SAW apabila berada dalam bulan Rejab. Bahkan, ulama menjadikan hadis-hadis ini sebagai asas untuk mengatakan bahawa wujudnya kelebihan bulan Rejab, dengan disokong oleh hadis-hadis daʻif yang lain sebagai penguat. Antara hadisnya ialah yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah bahawa Nabi SAW bersabda: 

إِنَّ الزَّمَانَ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ، وَذُو الحِجَّةِ، وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ، مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى، وَشَعْبَانَ 


Maksudnya: “Sesungguhnya masa telah berpusing dalam putarannya pada hari Allah SWT mencipta langit dan bumi. Satu tahun bersamaan dengan 12 bulan. 4 bulan di antaranya adalah bulan-bulan haram. Tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, juga Rejab Mudhar yang berada antara Jumada al-Akhir dan Syaaban.”[4]

 

Kemudian, hadis daripada Uthman bin Hakim bahawa: 

سَأَلْتُ سَعِيدَ بْنَ جُبَيْرٍ، عَنْ صَوْمِ رَجَبٍ وَنَحْنُ يَوْمَئِذٍ فِي رَجَبٍ فَقَالَ: سَمِعْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، يَقُولُ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لَا يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ 


Maksudnya: “Aku bertanya kepada Saʻid bin Jubair tentang puasa Rejab, apa pandanganmu? Beliau menjawab: Ibn ‘Abbas memberitahu kami bahawa: Rasulullah SAW biasa berpuasa sehingga kami menyangka Baginda SAW tidak akan berbuka. Baginda SAW juga terus berbuka sehingga kami menyangka Baginda SAW tidak akan berpuasa.”[5]

Riwayat Muslim

 

Riwayat ini merupakan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam karya sahihnya. Imam al-Baihaqi memasukkan hadis ini dalam karyanya Fada’il al-Auqat dan meletakkannya di bawah tajuk bab Fadl Syahr Rajab (Kelebihan Bulan Rejab).[6] Imam al-Baihaqi turut menukilkan kalam Imam al-Syafiʻi, iaitu: 

وَكَذَلِكَ يَوْمًا مِنْ بَيْنِ الْأَيَّامِ، وَإِنَّمَا كَرِهْتُهُ لِئَلَّا يَتَأَسَّى جَاهِلٌ فَيَظُنَّ أَنَّ ذَلِكَ وَاجِبٌ وَإِنْ فَعَلَ فَحَسَنٌ

 

Maksudnya: “Begitu juga mengkhususkan satu-satu hari (untuk berpuasa) di antara hari-hari yang lain. Aku memakruhkan perkara tersebut kerana bimbang orang jahil menyangka perkara tersebut adalah wajib. Jika dia melakukannya, maka ia adalah baik.”

 

Menurut Imam al-Baihaqi, penjelasan Imam al-Syafiʻi yang menetapkan makruh kemudian mengatakan perbuatan tersebut adalah baik kerana semua orang Islam mengetahui bahawa syarak tidak mewajibkan untuk berpuasa melainkan dalam bulan Ramadan sahaja. Oleh itu, terangkatlah hukum makruh tersebut.[7] 

Selain itu, terdapat juga hadis lain yang menjelaskan berkenaan amalan berpuasa dalam bulan Rejab, namun disebutkan secara isyarat. Usamah bin Zaid RA meriwayatkan bahawa dia berkata kepada Rasulullah SAW: 

يَا رَسُول اللَّه لَمْ أَرَك تَصُومُ مِنْ شَهْر مِنْ الشُّهُور مَا تَصُوم مِنْ شَعْبَان ، قَالَ : ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاس عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَان ، وَهُوَ شَهْر تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَال إِلَى رَبّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

 

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa penuh sebulan daripada bulan-bulan yang lain sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Syaaban. Baginda SAW menjawab: “Bulan ini adalah bulan yang orang ramai lalai (daripada ibadat), iaitu antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan kepada Tuhan sekalian alam. Oleh itu, aku suka amalanku diangkatkan ketika aku dalam keadaan berpuasa.” [8]

Riwayat al-Nasa’i

 

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan hadis ini menjelaskan bahawa bulan Rejab dan Ramadan memiliki kesamaan dalam hal keutamaan. Begitu juga dengan tuntutan berpuasa dalam bulan Rejab.[9] Bahkan al-Syaukani menyebutkan bahawa disunatkan berpuasa pada bulan Rejab berdasarkan hadis ini.[10]


Hadis Daʻif Berkaitan Amalan Dalam Bulan Rejab

 

Isu amalan atau ibadah dalam bulan Rejab sering dikaitkan dengan hadis daʻif bukanlah suatu isu yang baru dalam kalangan masyarakat Islam. Hal ini kerana, isu ibadah merupakan suatu topik yang sangat dekat dengan hati orang Islam yang sentiasa mengingatkan setiap orang Islam agar tidak pernah lupa mengisi masa-masa mereka dengan ibadah kepada Allah SWT. Bahkan, isu ini sudah menjadi isu yang berulang-ulang dan akan timbul dalam kalangan umat Islam apabila tibanya bulan Rejab. 

Berikut merupakan antara hadis-hadis daʻif berkaitan bulan Rejab: 

Hadis Ganjaran Istana Dalam Syurga Bagi Orang Yang Berpuasa Bulan Rejab

 Abu Qilabah meriwayatkan bahawa: 

فِي الْجَنَّةِ قَصْرٌ لِصُوَّامِ رَجَبٍ

 

Maksudnya: Dalam syurga terdapat istana yang diperuntukkan bagi mereka yang berpuasa pada bulan Rejab.

 

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syuʻab al-Iman.[11] Menurut Imam al-Suyuti, Imam al-Baihaqi mengatakan bahawa riwayat ini merupakan riwayat yang paling kuat berkenaan kelebihan puasa pada bulan Rejab.[12]

 

Hadis Doa Ketika Memasuki Bulan Rejab

 Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa: 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ قَالَ: اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

 

Maksudnya: “Apabila tiba bulan Rejab maka Rasulullah SAW akan berdoa: Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.” [13]

 

Imam al-Suyuti menilai hadis ini dalam karyanya al-Jamiʻ al-Saghir sebagai daʻif.[14]

 

Hadis Puasa Rasulullah Di Bulan Rejab

 

Mujibah al-Bahiliyyah daripada ayahnya atau pakciknya bahawa: 

أَنَّهُ أَتَى رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- ثُمَّ انْطَلَقَ فَأَتَاهُ بَعْدَ سَنَةٍ وَقَدْ تَغَيَّرَتْ حَالَتُهُ وَهَيْئَتُهُ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمَا تَعْرِفُنِى قَالَ « وَمَنْ أَنْتَ ». قَالَ أَنَا الْبَاهِلِىُّ الَّذِى جِئْتُكَ عَامَ الأَوَّلِ. قَالَ « فَمَا غَيَّرَكَ وَقَدْ كُنْتَ حَسَنَ الْهَيْئَةِ ». قَالَ مَا أَكَلْتُ طَعَامًا إِلاَّ بِلَيْلٍ مُنْذُ فَارَقْتُكَ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « لِمَ عَذَّبْتَ نَفْسَكَ ». ثُمَّ قَالَ « صُمْ شَهْرَ الصَّبْرِ وَيَوْمًا مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ». قَالَ زِدْنِى فَإِنَّ بِى قُوَّةً. قَالَ « صُمْ يَوْمَيْنِ ». قَالَ زِدْنِى. قَالَ « صُمْ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ ». قَالَ زِدْنِى. قَالَ « صُمْ مِنَ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ مِنَ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ مِنَ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ ». وَقَالَ بِأَصَابِعِهِ الثَّلاَثَةِ فَضَمَّهَا ثُمَّ أَرْسَلَهَا

 

Maksudnya: “Beliau pernah datang kepada Nabi SAW, lalu pergi dan datang semula selepas setahun. Rupa dan penampilan beliau telah berubah. Beliau bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, adakah engkau mengenaliku? Rasulullah SAW bersabda: Perkenalkanlah dirimu. Beliau berkata: Aku ialah lelaki daripada Bani Bahiliy yang datang bertemu engkau pada tahun lepas. Baginda bersabda: Apa yang menyebabkan keadaan engkau berubah? Dahulu rupa engkau elok. Beliau berkata: Selepas hari aku bertemu dengan engkau, aku tidak makan melainkan pada malam hari. Baginda bersabda: Engkau telah mendera diri sendiri. Baginda melanjutkan: Berpuasalah di bulan Ramadan dan satu hari pada setiap bulan. Lelaki itu berkata: Tambahkanlah, sesungguhnya aku memliki kemampuan. Nabi SAW bersabda: Puasalah dua hari. Lelaki itu berkata: Tambahkan lagi. Nabi SAW bersabda: Puasalah tiga hari. Lelaki itu berkata: Tambahkan lagi. Maka Nabi bersabda: Berpuasalah di bulan-bulan mulia dan tinggalkan. Berpuasalah di bulan-bulan mulia dan tinggalkan. Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkan (diulang sebanyak tiga kali sambil Rasulullah menggenggam tangannya lalu melepaskannya).”[15]

Riwayat Abu Daud

 

Hadis di atas dinilai sebagai daʻif kerana Mujibah al-Bahiliyyah merupakan seorang perawi yang majhul. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Zahabi.[16] 

Terdapat lagi hadis daʻif berkenaan puasa bulan Rejab yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa: 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يصم بعد رمضان إلا رجب وَشَعْبَانَ 

 

Maksudnya: Rasulullah SAW tidak berpuasa setelah Ramadan kecuali pada bulan Rejab dan Syaaban[17].

 

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan dalam kitabnya “Tabyin al-‘Ajab” bahawa hadis ini adalah hadis munkar kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang sangat lemah iaitu Yusuf bin ‘Athiyyah.[18] 

Meskipun amalan dalam bulan Rejab sering dikaitkan dengan hadis-hadis yang daʻif namun perlu diingatkan bahawa ulama membenarkan beramal dengan hadis daʻif selagi ia bukan terlalu daʻif (syadid al-da’f) atau palsu (maudhuʻ). Imam al-Sakhawi dalam al-Qawl al-Badiʻ menukilkan kalam Imam Ibn al-Salah yang menyebut: 

جواز رواية الضعيف باحتمال صدقه في الباطن فإنه قال عقب قوله بعدم جواز رواية الموضوع إلا مقروناً بخلاف الأحاديث الضعيفة التي تحتمل صدقها في الباطن

 

Maksudnya: “Boleh meriwayatkan hadis da’if kerana kebarangkalian terkandung kebenaran dalam maknanya. Sejurus selepas beliau menyebutkan tentang tidak boleh meriwayatkan hadis palsu melainkan diikat (dengan penjelasan terhadap kepalsuannya), berbeza dengan hadis-hadis da’if yang mempunyai kebarangkalian kebenarannya pada makna.” [19]

 

Menurut Imam al-Nawawi hadis daʻif boleh diamalkan jika memenuhi syarat-syarat berikut:[20]

 

Hadis da’if tersebut tidak palsu. Dalam al-Taqrib al-Nawawi menambahkan bahawa boleh beramal dengan hadis daʻif selagi mana tidak berkaitan dengan hal-hal akidah.[21]

Tidak berkaitan hukum hakam.

Boleh diamalkan dalam hal fada’il (kelebihan), targhib (galakan) dan tarhib (ancaman).

Kemudian, perlu ditekankan bahawa hadis-hadis yang daʻif ini hanya sebagai sokongan dalam bab kelebihan beramal bagi bulan Rejab, di samping wujudnya hadis-hadis sahih yang menjadi asas ibadat puasa di bulan Rejab.

 

Pandangan Ulama Mazhab al-Syafiʻi Berkenaan Kelebihan Bulan Rejab

Umumnya, puasa dan ibadah dalam bulan Rejab dan Sya’ban adalah dianjurkan berdasarkan kesepakatan tiga mazhab iaitu mazhab al-Hanafi, al-Maliki dan al-Syafi’i.[22] 

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa antara puasa sunat adalah puasa pada bulan-bulan Haram iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab dan yang paling afdal antaranya adalah pada bulan Muharram.[23] Ini menunjukkan bahawa bulan Rejab merupakan bulan yang mulia dan bulan yang disunatkan berpuasa padanya. 

Seterusnya, Imam al-Ramli menyebutkan dalam karyanya Nihayah al-Muhtaj bahawa sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas bulan Ramadan antaranya ialah bulan Rejab kerana ini salah satu daripada bulan-bulan haram.[24] 

Menurut Syeikh Abu Bakr al-Dimyati terdapat sebahagian orang mengatakan bahawa puasa Rejab adalah bid’ah, maka itu tidak benar. Bahkan ia adalah suatu sunnah yang diutamakan.[25] 

Imam al-Syafi’i juga pernah menyatakan bahawa doa akan dikabulkan oleh Allah SWT pada 5 malam iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha dan Aidilfitri, malam pertama Rejab dan malam nisfu Syaaban. Kemudian, beliau menyebutkan bahawa ia bukan satu kefarduan.[26] 

Berikutan daripada penghujahan yang dikemukakan, tiada dalil mahupun pandangan yang mengharamkan untuk melakukan ibadah atau puasa di bulan Rejab. Bahkan majoriti ulama berpandangan bahawa ia adalah sunat. Walaupun ada yang mempertikaikan kononnya tidak bersumberkan hadis yang sahih namun dalam hal pengamalan maka fuqaha menjadi rujukan utama bagi orang awam. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Aʻmasy terhadap Imam Abu Hanifah, “Wahai sekalian fuqaha, kalian adalah doktor dan kami adalah ahli farmasi.”[27]

 

Kesimpulan 

Secara asasnya, terdapat beberapa hadis sahih yang menceritakan perihal kehidupan Nabi SAW apabila berada dalam bulan Rejab. Bahkan, ulama menjadikan hadis-hadis ini sebagai asas untuk mengatakan bahawa puasa di bulan Rejab adalah sunat. Meskipun tidak terdapat hadis sahih berkenaan kelebihan amal ibadah dalam bulan Rejab namun terdapat hadis-hadis daif yang boleh digunakan dalam bab berkaitan (fada’il aʻmal) selagi mana ia tidak mencapai taraf palsu (mauduʻ). 

Fuqaha dalam kalangan mazhab al-Syafiʻi juga berpandangan bahawa sunat berpuasa pada bulan Rejab dan pada bulan tersebut segala amalan baik diganjari dengan pahala yang lebih banyak serta dosa yang dilakukan pada bulan tersebut dibalas dengan balasan yang lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. Wallahuaʻlam.

 

 

Rujukan: 

[1] Ibn Rajab al-Hanbali, Latha’if al-Maʻarif (Dar Ibn Hazm, 2004), hlm. 115.

 

قال علي بن أبي طلحة عن ابن عباس: اختص الله أربعة أشهر جعلهن حرما وعظم حرماتهن وجعل الذنب فيهن أعظم وجعل العمل الصالح والأجر أعظم

 

[2] Ibn Hajar al-ʻAsqalani, Tabyin al-‘Ajab bima Warada fi Syahr Rajab, ed. Tariq ‘Iwadullah (Andalus: Qurtuba, t.t.), hlm. 23. 

لم يرد في فضل شهر رجب، ولا في صيامه، ولا في صيام شيء منه معين، ولا في قيام ليلة مخصوصة فيه حديث صحيح يصلح للحجة. وقد سبقنى إلى الجزم بذلك الإمام أبو إسماعيل الهروي الحافظ. رويناه عنه بإسند صحيح، وكذلك رويناه عن غيره، ولكن اشتهر أن أهل العلم يتسمحون في إيراد الأحاديث في الفضائل وإن كان فيها ضعف، ما لم تكن موضوعة. وينبغى مع ذلك اشتراط أن يعتقد العامل كون ذلك الحديث ضعيفا، وأن لا يشهر ذلك، لئلا يعمل المرء بحديث ضعيف، فيشرع ما ليس بشرع، أو يراه بعض الجهال فيظن أنه سنة صحيحة.

 

[3] Ibid. 

[4] Muhammad bin Ismaʻil al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir (t.tp.: Dar Tuq al-Najah, 1422), no. hadis 4662, jld. 6: hlm. 66. 

[5] Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t.), no. hadis 1157, jld. 2: hlm. 811. 

[6] Abu Bakr al-Baihaqi, Fada’il al-Auqat, ed. ‘Adnan ‘Abd al-Rahman Majid al-Qisi (Mekah: Maktabah al-Manarah, 1410), hlm. 89. 

[7] Ibid., hlm. 108. 

فَتَبَيَّنَ الشَّافِعِيُّ الْكَرَاهَةَ ثُمَّ قَالَ: وَإِنْ فَعَلَ فَحَسَنٌ وَذَلِكَ؛ لِأَنَّ مِنَ الْعِلْمِ الْعَامِّ فِيمَا بَيْنَ الْمُسْلِمِينَ أَنْ لَا يَجِبَ بِأَصْلِ الشَّرْعِ صَوْمٌ غَيْرُ صَوْمِ رَمَضَانَ فَارْتَفَعَ بِذَلِكَ مَعْنَى الْكَرَاهَةِ

 

[8] Abu ‘Abd al-Rahman al-Nasa’i, Sunan al-Nasa’i, ed. ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah (Halab: Maktab al-Matbuʻat al-Islamiyyah, 1986), no. hadis 2357, jld. 4: hlm. 201. 

[9] Ibn Hajar al-ʻAsqalani, Tabyin al-‘Ajab bima Warada fi Syahr Rajab, ed. Tariq ‘Iwadullah, 26. 

فَهَذَا فِيْهِ إِشْعَارٌ بِأَنَّ فِي رَجَبَ مُشَابَهَةً بِرَمَضَانَ، وَأَنَّ النَّاسَ يَشْتَغِلُوْنَ مِنَ الْعِبَادَةِ بِمَا يَشْتَغِلُوْنَ بِهِ فِي رَمَضَانَ، وَيَغْفُلُوْنَ عَنْ نَظِيْرِ ذلِكَ فِي شَعْبَانَ. لِذَلِكَ كَانَ يَصُوْمُهُ. وَفِيْ تَخْصِيْصِهِ ذَلِكَ بِالصَّوْمِ - إِشْعَارٌ بِفَضْلِ رَجَبَ، وَأَنَّ ذَلِكَ كَانَ مِنَ الْمَعْلُوْمِ الْمُقَرَّرِ لَدَيْهِمْ.

 

[10] Al-Syaukani, Nail al-Authar (Dar al-Hadith, 1993), jld. 4: hlm. 292. 

إنَّ شَعْبَانَ شَهْرٌ يَغْفُلُ عَنْهُ النَّاسُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ أَنَّهُ يُسْتَحَبُّ صَوْمُ رَجَبٍ؛ لِأَنَّ الظَّاهِرَ أَنَّ الْمُرَادَ أَنَّهُمْ يَغْفُلُونَ عَنْ تَعْظِيمِ شَعْبَانَ بِالصَّوْمِ كَمَا يُعَظِّمُونَ رَمَضَانَ وَرَجَبًا بِهِ

 

[11] Abu Bakr al-Baihaqi, Syuʻab al-Iman, ed. Mukhtar Ahmad al-Nadwi (Riyadh: Maktabah al-Rusyd, 2003), no. hadis 3521, jld. 5: hlm. 337. 

[12] Jalal al-Din al-Suyuti, al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim bin al-Hajjaj, ed. Abu Ishaq al-Huwaini (Saudi: Dar Ibn ‘Affan, 1996), jld. 3: hlm. 238. 

قلت وروى الْبَيْهَقِيّ فِي شعب الْإِيمَان عَن أبي قلَابَة قَالَ فِي الْجنَّة قصر لصوام رَجَب وَقَالَ هَذَا أصح مَا ورد فِي صَوْم رَجَب

[13] Muhammad bin Abdullah al-Khatib al-Tabrizi, Misykat al-Masabih (Beirut: Maktab al-Islami, 1980), no. hadis. 1369, hlm. 312. 

[14] Jalal al-Din al-Suyuti, al-Jamiʻ al-Saghir, cetakan elektronik (t.tp.: t.p, t.t.), hlm. 9875. 

[15] Abu Daud Sulaiman bin al-Asyʻath, Sunan Abi Daud, ed. Muhammad Muhy al-Din ‘Abd al-Hamid (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyyah, t.t.), no. hadis 2428, jld. 2: hlm. 322. 

[16] Al-Zahabi, Mizan al-Iʻtidal fi Naqd al-Rijal (Beirut: Dar al-Maʻrifah, 1963), jld. 3: hlm. 440. 

[17] Abu al Qasim ibn al-Asakir (2000), Juzu’ fi Fadhli Rajab, Muassasah al-Riyan, h. 316, no 13 

[18] Ibn Hajar al-ʻAsqalani, Tabyin al-‘Ajab bima Warada fi Syahr Rajab, ed. Tariq ‘Iwadullah, 40. 

[19] Muhammad bin ʻAbd al-Rahman bin Muhammad al-Sakhawi, al-Qawl al-Badiʻ fī al-Salah ʻala al-Habīb al-Syafīʻ (Kaherah: Dar al-Rayyan li al-Turath, t.t.), 256. 

[20] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Azkar (Beirut: Dar al-Fikr, 1994), 8. 

[21] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Taqrib wa al-Taisir li Ma’rifah Sunan al-Basyir al-Nazir (Beirut: Dar al-Kitab al-ʻArabi,1985), 48. 

[22] Abdul Rahman al-Jaziri, al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arbaʻah (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2003), jld. 1: hlm. 507. 

يندب صوم شهر رجب وشعبان، باتفاق ثلاثة من الأئمة، وخالف الحنابلة، فانظر مذهبهم تحت الخط

 

[23] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmuk Syarh al-Muhazzab (Kaherah: Idarah al-Tibaʻah al-Muniriah, 1347), jld. 6: hlm. 385. 

وَمِنْ الصَّوْمِ الْمُسْتَحَبِّ صَوْمُ الاشهر الحرم وهي ذوالقعدة وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبٌ وَأَفْضَلُهَا الْمُحَرَّمُ

 

[24] Al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Fikr, 1984), jld. 3: hlm. 211. 

أَنَّ أَفْضَلَ الشُّهُورِ لِلصَّوْمِ بَعْدَ رَمَضَانَ الْأَشْهُرُ الْحُرُمُ وَأَفْضَلُهَا الْمُحَرَّمُ ثُمَّ رَجَبٌ خُرُوجًا مِنْ خِلَافِ مَنْ فَضَّلَهُ عَلَى الْأَشْهُرِ الْحُرُمِ ثُمَّ بَاقِيهَا وَظَاهِرُهُ الِاسْتِوَاءُ ثُمَّ شَعْبَانُ لِخَبَرِ

 

[25] Abu Bakr ‘Uthman al-Dimyathi, Iʻanah al-Talibin ‘ala Halli Alfaz Fath al-Muʻin (t.tp.: Dar al-Fikr, 1997), 313. 

قِيْلَ: وَمِنَ الْبِدَعِ صَوْمُ رَجَبَ، وَلَيْسَ كَذَلِكَ بَلْ هُوَ سُنَّةٌ فَاضِلَةٌ، كَمَا بَيَّنْتُهُ فِي الْفَتَاوِي وَبَسَطْتُ الْكَلَامَ عَلَيْهِ

 

[26] Muhammad bin Idris al-Syafiʻi, al-Umm (Beirut: Dar al-Maʻrifah, 1990), jld. 1: hlm. 264. 

قال الإمام الشافعي رضي الله عنه: بلغنا أنه كان يقال: إن الدعاء يُستجاب في خمس ليال: في ليلة الجمعة، وليلة الأضحى، وليلة الفطر، وأول ليلة من رجب، وليلة النصف من شعبان... وأنا أستحب كل ما حكيت في هذه الليالي من غير أن يكون فرضاً

 

[27] Al-Khatib al-Baghdadi Abu Bakr Ahmad bin ‘Ali, Nasihah Ahl al-Hadith, ed. ‘Abd al-Halim Ahmad (Zarqa: Maktabah al-Mannar, 1408), hlm. 45. 

يَا مَعْشَرَ الْفُقَهَاءِ أَنْتُمُ الْأَطِبَّاءُ وَنَحْنُ الصَّيَادِلَةُ

 

 

 

Irsyadal-Hadith

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.