Kisah ini bermula apabila para pemuda yang beriman ini
melarikan diri ke gua untuk menyelamatkan pegangan akidah dan tetap
berkeyakinan tauhid walaupun pelbagai ancaman yang ditujukan oleh raja yang
zalim. Bilangan pemuda Ashabul Kahfi yang sebenar tidak diketahui, namun
mengikut Ibnu Abbas jumlah mereka seramai tujuh orang termasuk seekor anjing.
Kemudian kisah diteruskan dengan mereka ditidurkan oleh
Allah SWT selama hampir 309 tahun lamanya dan setelah terbangun, salah seorang
keluar dari gua menuju ke kota untuk mencari makanan. Apabila pemuda itu ingin
membayar dengan wang peraknya, penjual merasa hairan melihat wang tersebut lalu
dibawanya pemuda itu kepada pihak raja.
Raja yang soleh pada ketika itu menyoal siasat pemuda
tersebut. Apabila mendengar keterangannya, si raja terkenang akan kisah
sekumpulan pemuda yang lari meninggalkan kota dan meminta kepada pemuda itu
agar dapat melihat gua tempat persembunyian mereka.
Namun apabila sampai di pintu gua, pemuda tadi meminta
kepada raja supaya jangan ikut masuk ke dalam gua kerana biar dia terlebih
dahulu memberitahu rakan-rakannya. Setelah sekian lama menunggu tetapi tidak
ada yang keluar, akhirnya raja masuk ke dalam gua dan rupa-rupanya Allah SWT
telah mencabut roh kesemua pemuda Ashabul al-Kahfi itu. Maka, raja yang soleh
itu memerintahkan rakyatnya supaya membangunkan masjid di atas gua tersebut.
Di sini bermula seribu satu persoalannya. Apakah yang boleh
kita belajar sebagai hambaNya untuk sentiasa bermuhasabah diri akan kisah yang
menakjubkan ini? Firman Allah SWT, maksudnya, “Dan engkau akan melihat matahari
ketika terbit, condong dari gua mereka sebelah kanan, dan apabila matahari itu
terbenam, menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada dalam tempat
yang luas di dalam (gua) itu”, Al-Kahfi: 17.
Dijelaskan oleh para ulama bahawa mereka berada di tempat
yang luas di dalam gua tersebut, dimana tidak terjangkau oleh sinar matahari,
kerana jika sinar matahari itu mengenai mereka, nescaya badan dan pakaian
mereka akan terbakar. Dengan kuasaNya juga, kedudukan gua itu memelihara pencahayaan, pengudaraan dan
kesegaran tubuh mereka.
Selain itu, Firman Allah SWT maksudnya, “Dan kamu mengira
mereka itu bangun padahal mereka tidur”, Al-Kahfi: 18. Nukilan Syeikh
‘Abdur-Rahman menerangkan bahawa mata mereka tetap terbuka dan tidak tertutup
sehingga orang yang melihat, menyangka mereka terjaga padahal sedang tidur. Hal
ini demikian kerana supaya mata mereka terkena udara dan tidak rosak serta
tiada bendasing yang terkumpul di dalam mata. Hal ini juga merupakan
pemeliharaan Allah SWT terhadap tubuh-tubuh hambaNya yang soleh.
Di samping itu juga, kekuasaan Allah SWT dibuktikan melalui
FirmanNya “Dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan
ke sebelah kiri”, Al-Kahfi: 18. Inilah bukti kekuasaanNya. Walaupun mereka
tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi jasad mereka tidak hancur
atau rosak. Seandainya tubuh mereka tetap dan tidak dibalik-balikkan, pasti
akan dimamah ulat tanah serta gesekan bumi akan merosakkan tubuh mereka.
Tuntasnya, kisah Ashabul al-Kahfi adalah antara perkara
yang menakjubkan sebagai tanda pembuktiaan keagungan Allah SWT. Akan tetapi,
perlu diingatkan banyak lagi perkara yang membuktikan kekuasaanNya yang lebih
menakjubkan seperti kejadian langit dan bumi serta segala isinya. Akhir kata,
sebagai umat Islam kita perlu meyakini bahawa janji Allah SWT adalah benar.
Allah SWT pasti sentiasa melindungi, dan menolong hamba-hambaNya yang beriman
dan beramal soleh.
Kredit: USTAZUSTAZAH.COM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.