Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain. |
Soalan:
Assalamualaikum ustaz. Ada sesetengah makmum membaca bacaan
dalam solat dengan terlalu kuat, sehingga terkadang mengganggu makmum lain yang
turut solat berjemaah. Mohon nasihat dan pandangan ustaz dalam isu ini.
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai
kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam
ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan
mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Rukun dibahagikan kepada tiga iaitu rukun qalbi (hati),
rukun qauli (pertuturan atau bacaan) dan rukun fi’li (perbuatan). Antara rukun
yang utama di dalam solat ialah rukun qauli. Ianya dinamakan sebagai rukun
qauli disebabkan rukun-rukun ini wajib untuk dibaca oleh orang menunaikan solat
yang sekurang-kurangnya bacaan tersebut didengari oleh telinganya sendiri.
Syeikh al-Sayyid Abdullah al-Hadrami menyebutkan di dalam
kitabnya bahawa: “(Rukun) Qauliah ada lima: Takbiratul Ihram pada awal solat,
membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat, tasyahud dan selawat ke atas Nabi
SAW serta salam, ketiga-tiganya pada duduk yang terakhir.”[1]
Justeru, daripada kenyataan tersebut, dapat difahami bahawa terdapat lima rukun qauli, iaitu:
- Takbiratul ihram
- Bacaan Surah al-Fatihah
- Bacaan tasyahhud akhir
- Selawat ke atas Nabi Muhammad pada tasyahhud akhir
- Salam
Kesemua rukun-rukun qauli ini perlu dibaca, disebutkan dan
dilafazkan sehingga mengeluarkan suara sekadar bacaan yang boleh didengari oleh
dirinya.[2]
Syeikh Abu Bakar Syata al-Dimyati turut menegaskan perkara
ini dengan katanya: “(Dan wajib mendengar) yakni Takbiratul ihram itu oleh
orang yang bersolat itu sendiri, sekiranya pendengarannya baik, dan tiada
dihalang dengan benda yang mendatang contohnya bunyi bising, (seperti seluruh
rukun qauli) daripada al-Fatihah, Tasyahhud akhir dan memberi salam.”[3]
Menurut Imam al-Nawawi pula, bacaan yang paling minimum
untuk rukun qauli adalah dibaca dengan senyap iaitu bacaan tersebut boleh
didengari oleh dirinya sendiri jika dia seorang yang boleh mendengar.[4]
Dalam kitab al-Majmu’ pula, beliau menyebut: “Bagi makmum
maka sunat untuk memperlahankan suara sama ada ketika solat sendiri ataupun
berjemaah. Dan kadar minimum ialah suaranya boleh didengari oleh telinganya
sendiri jika dia mempunyai pendengaran yang elok dan tiada halangan untuk
menyebutnya. Ini termasuklah bacaan al-Fatihan, surah, tasbih, tasyahhud,
salam, doa dan lain-lain. Tidak kiralah bacaan yang wajib mahupun sunat.
Kesemuanya tidak dikira sehinggalah dia mendengar sendiri apa yang dibaca.”[5]
Syeikh Muhammad al-Zuhaili turut menyebut: “Hendaklah dia
mendengar (apa yang dibaca) dirinya sendiri, sekiranya mempunyai pendengaran
yang baik, dan tidak ada padanya gangguan bunyi dan sebagainya. Sekiranya
mempunyai masalah pada lisannya (pertuturan) atau bisu, maka hendaklah
digerakkan apa yang termampu baginya. Digerakkan kedua bibirnya dan anak
tekaknya dengan kadar yang termampu.[6]
Begitu juga yang ditegaskan dalam kitab al-Fiqh ala
al-Mazahib al-Arba’ah dengan menyebut: Jawapan bagi persoalan (adakah seseorang
itu disyaratkan untuk mendengar bacaan al-Fatihahnya) adalah, tiga daripada
para imam mujtahid bersepakat bahawa jika sekiranya sekiranya seseorang itu
tidak mendengar bacaannya, maka ia tidak dianggap sebagai membacanya.[7]
Dalam menjawab isu di atas, kami nyatakan seperti berikut:
Pada asasnya, seseorang makmum ditegah daripada membaca
dengan kuat di belakang imam, bahkan sepatutnya dia membaca dengan perlahan
sekadar hanya boleh didengari oleh dirinya sendiri. Imam al-Nawawi menyebut
fakta ini dalam al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (3/364): “Apabila kita berpendapat
bahawa wajib bagi makmum untuk membaca (al-fatihah) ketika solat jahar (yang
dibaca kuat seperti subuh dan solat Jumaat), (tetapi) makruh bagi makmum untuk
menguatkan (bacaannya) sampai mengganggu jirannya (yakni orang lain
sekelilingnya) bahkan hendaklah dia memperlahankan (suaranya) sampai hanya
boleh didengar oleh dirinya sendiri, jika dia seorang yang sami` (tidak pekak)
dan tiada suatu yang menyibuk (atau mengacau bacaan itu) daripada bunyi bising
dan selainnya, kerana itulah sekurang-kurang kadar bacaan yang memadai.”
Sekalipun kenyataan di atas menunjukkan larangan makruh,
namun sebahagian para ulama Syafieyyah menegaskan keharamannya apabila ia
mengganggu orang lain, kerana itu adalah mudarat. Berkata Imam Ba Fadhl dalam
al-Muqaddimah al-Hadhramiah: “Dan diharamkan menguatkan suara sekiranya
mendatangkan tasywisy (mengacau bacaan) atas orang lain.”
Perbezaan pendapat ini cuba diharmonikan oleh Imam Ibn
Hajar al-Haitami dalam al-Minhaj al-Qawim (hlm. 125-126): “[Dan diharamkan] ke
atas setiap seorang untuk menguatkan bacaan semasa solat atau diluarnya [jika
mengacau orang lain] seperti orang yang sedang bersolat, yang sedang membaca
al-Quran, atau tidur, kerana mendatangkan mudarat, dan merujuk bagi ucapan yang
mengacau itu sekalipun terhadap fasiq kerana tidak diketahui melainkan
daripadanya. Apa yang disebut daripada hukum haram itu adalah yang zahir
(daripada nas al-Muqaddmah al-Hadhramiah), tetapi dinafikan pengharaman itu
dengan kalam (Imam al-Nawawi) dalam al-Majmu’ dan selain itu, maka bahawasanya
itu seakan-akan yang sarih (yang jelas) ialah bukan hukum haram, melainkan jika
cuba dihimpunkan (kedua-dua pendapat itu) dengan kemungkinan bahawa makruh jika
tasywisy (pengacauan) itu hanyalah ringan.”
Larangan ini relevan kerana Syariat Islam tertegak atas
dasar menolak kemudaratan. Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi kaedah fiqh
menyebut:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang
memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”[8]
Begitu juga dalam Busyra al-Karim (hlm.286), al-Allamah
al-Habib Ba `Isyn bersetuju dengan pengharmonian tersebut dan memasukkan
situasi jika tidak terdapat keuzuran: “[Dan diharamkan] ke atas orang yang
sedang bersolat, dengan syarat tiada keuzuran, untuk [menguatkan bacaan] di
dalam solat dan di luarnya [sekiranya mengacau orang lain] seperti orang yang
bersolat, membaca al-Quran dan selain kedua mereka, kerana mendatangkan
mudarat.
Dan diambil (faham) daripada ucapan yang mengacau itu,
termasuklah larangan jika berlaku kepada orang yang fasiq sekalipun, kerana
tidak diketahui melainkan daripadanya. (Hukum haram ini) jika pengacauan itu
bersifat melampau. Jika tidak melampau, maka hukumnya adalah makruh. Dengan
cara ini, maka harmonilah khilaf (yang disebutkan diatas). Adapun jika terdapat
keuzuran, seperti suasana bising sehingga seseorang itu memerlukan untuk
menguatkan suara, lalu dia mendatangkan bacaan berdasarkan keadaan itu, maka
tidak makruh atau haram.”[9]
Suka untuk kami sebutkan juga di sini beberapa pengecualian di mana boleh makmum itu menguatkan suara. Antaranya:
- Suara Muballigh. Sekiranya suara imam itu perlahan sehingga dikhuatiri tidak sampai kepada Jemaah yang berada dibelakang, disunatkan bagi makmum itu bertindak sebagai muballigh (penyampai) akan suara imam itu dengan dia menguatkan suaranya. Berkata Syeikh al-Jamal dalam Hasyiah-nya (1/367): [Berkata Imam Zakariyya al-Ansari: dan disunatkan menguatkan suara untuk memperdengarkan bagi imam dan muballigh] yakni jika terdapat hajat bagi melakukan itu, seperti mana yang disebut oleh Imam al-Ramli, kerana itu adalah zikir untuk menunjukkan perpindahan.”
- Membaca Amin selepas al-Fatihah imam. Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam al-Majmu` (3/371): “Sekiranya solat itu itu solat sirriyyah (membaca dengan suara perlahan seperti solat Zuhur) maka imam dan selainnya baca amin secara perlahan kerana mengikut keadaan bacaan (al-Fatihah) itu. Sekiranya jahriyyah (solat dengan bacaan kuat seperti solat Subuh) dan dibaca kuat semasa bacaan (al-Fatihah) maka digalakkan bagi makmum untuk menguatkan suara semasa mengucapkan Amin tanpa khilaf sepertimana yang dinaskan oleh Imam al-Syafie dan disepakatan oleh para Ashab.”
Justeru, berdasarkan perbahasan di atas, dapat kita simpulkan poin-poin berikut:
- Makruh hukumnya bagi seorang makmum membaca kuat semasa solat berjemaah kerana boleh mengganggu orang lain dan mereka hanya disunatkan membaca dengan perlahan sekadar didengari oleh diri sendiri.
- Jika makmum membaca kuat sehingga begitu mengganggu orang lain, dan juga mengacau bacaan orang yang berada di sebelah, maka hukumnya adalah haram.
- Tidak haram mahupun makruh jika tidak mengganggu orang lain, dan terdapat keuzuran seperti bunyi bising. Namun tidak diwajibkan untuk menguatkan suara jika terdapat bunyi bising, memadai dia membaca kadar suara pada keadaan yang tidak bising.
- Disunatkan untuk makmum menguatkan suara apabila mengucapkan amin selepas bacaan al-Fatihah Imam dalam solat jahriyyah, termasuk juga sewaktu qunut, dan bagi makmum yang menjadi muballigh.
Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada kita semua.
Wallahu a’lam.
Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443H
SUMBER:
Pautan lain: AAM 2017; Larangan Makmum Baca Dengan Suara Kuat Di Belakang Imam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.