Assalamualaikum w.b.t Datuk Mufti. Saya ada soalan
berkenaan wasiat. Ayah saya ada mewasiatkan sebahagian hartanya tidak melebihi
1/3 kepada saya selaku anak sulung, namun ada berlaku pertikaian dalam kalangan
kami sesama ahli waris disebabkan wasiat yang dibuat secara lisan. Maka, adakah
wasiat tersebut sah atau perlu ditinggalkan? Mohon penjelasan Datuk Mufti.
Terima kasih.
Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi
Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas
Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat
Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari
Akhirat.
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:
( مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ )
(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan
wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.
Melalui ayat ini, Allah S.W.T telah menjelaskan bahawa pembahagian harta hendaklah dilakukan setelah selesai urusan hutang si mati serta setelah dilaksanakan wasiat si mati. Antara pelunasan hutang dan juga pelaksanaan wasiat, pelunasan hutang mesti dahulukan ke atas wasiat.
Ini berdasarkan kepada hadith Nabi Muhammad S.A.W:
عَنْ عَلِيٍّ أَنَّهُ قَالَ: إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ هَذِهِ الآيَةَ:
{مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ} [النساء: 12] «وَإِنَّ رَسُولَ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَضَى بِالدَّيْنِ قَبْلَ الوَصِيَّةِ
Daripada Ali R.A bahawasanya berkata: Kamu membaca ayat ini (Surah al-Nisa’ ayat 12) dan Rasulullah S.A.W melunaskan hutang sebelum wasiat (dilaksanakan).
Riwayat Tirmizi (2094)
Namun begitu, Dr Wahbah Zuhaili menyatakan bahawa antara sebab Allah S.W.T mendahulukan penyebutan wasiat ke atas hutang adalah kerana ia sebagai dorongan dan perintah untuk memperhatikan dan memenuhi wasiat yang ada serta larangan mengingkarinya.
[Lihat: Tafsir al-Munir; 4/276].
Dalam hal wasiat ini, terdapat empat rukun yang perlu diraikan iaitu:
- Pewasiat
- Penerima wasiat
- Perkara yang diwasiatkan
- Sighah (ucapan)
[Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/601-606]
Maka, berbalik kepada persoalan yang diajukan, ada dua perkara yang perlu diteliti di sini, iaitu hukum wasiat secara lisan dan hukum wasiat kepada ahli waris.
Pertama:
Berkenaan dengan wasiat secara lisan, perkara ini
boleh dilihat pada rukun yang terakhir iaitu rukun sighah (iaitu lafaz ijab dan
qabul). Rukun ini merupakan rukun terpenting bagi membuat sesuatu wasiat.
Wasiat ini dilakukan secara lisan yang membabitkan ijab (penawaran) dan juga
qabul (penerimaan).
Antara lafaz ijab yang jelas bagi wasiat ialah aku
wasiatkan padanya dengan ini, barang ini menjadi milik kau selepas aku mati dan
sebagainya. Kemudian, ijab juga boleh dilafazkan dalam bentuk kiasan berserta
niat seperti rumahku ini adalah untuk zaid dan bermacam-macam lagi bentuk
lafaz.
Namun, dalam hal membuat wasiat dengan tulisan mesti juga disertakan dengan niat kerana tulisan tidak kurang darjatnya dari lafaz dan juga ibarat dalam menerangkan kehendak seseorang. Bahkan tulisan ini lebih kuat dalam perkara yang memerlukan kepada pengukuhan hujah mahupun dalil. Maka, sekiranya pewasiat adalah seorang yang tidak mampu untuk berkata-kata seperti orang bisu dan sebagainya, maka wasiatnya perlu diikat melalui penulisan, dan disyaratkan supaya wasiat tersebut dapat diterima, hendaklah melalui tulisannya yang telah diakui oleh warisnya atau bukti lain yang menyaksikan bahawa dia yang menulisnya.
[Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/553-554].
Justeru itu, dalam hal ini, sememangnya sah jika seseorang
pewasiat mewasiatkan hartanya dengan cara lisan atau dengan hanya menggunakan
lafaz, namun dalam konteks zaman sekarang, dan perlunya kepada pembuktian, maka
dokumentasi (sama ada dalam bentuk tulisan dan bukti-bukti lain) amatlah
penting bagi membuktikan wasiat dan menentukan ia perlu dilaksanakan atau
tidak, berdasarkan kepada pembuktian yang ada.
Ini kerana, sebagai contoh dalam hal wasiat, sekiranya
seseorang saudara datang mengatakan bahawa si mati mewasiatkan 1/3 hartanya
kepada dirinya, maka dalam hal ini pembuktian amatlah diperlukan, justeru itu,
dokumen bertulis memainkan peranan penting sebagai bahan bukti bagi membenarkan
wasiat yang dinyatakan.
Dalam konteks undang-undang, jika berlaku pertikaian
terhadap wasiat, maka ia perlu dikemukakan di mahkamah, dan setiap dakwaan yang
dikemukakan ke Mahkamah ini perlulah dibuktikan. Jika benar si mati telah
memberi hartanya kepada seseorang, ia perlu dibuktikan samada melalui akuan
sumpah dan saksi serta disokong oleh bukti-bukti yang lain sehingga boleh
membuktikan bahawa ianya adalah wasiat. Sekiranya tiada bukti mahupun saksi
yang boleh menyokong di antara ahli warisnya maka adalah sukar untuk
membuktikan bahawa wasiat secara lisan telah berlaku dan ini bermakna warisnya
mempunyai hak sepenuhnya terhadap harta si mati (harta tersebut hendaklah
difaraidkan).
Kedua:
Berkenaan hal wasiat kepada ahli waris. Pada dasarnya, wasiat hanya dibenarkan kepada bukan waris yang berhak.
Ini berdasarkan kepada hadith Nabi Muhammad S.A.W:
أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
“Sesungguhnya Allah S.W.T telah menentukan
setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak
ada wasiat kepada ahli waris”
Dalam hal ini, hadith di atas jelas menyatakan bahawa wasiat kepada ahli waris adalah tidak dibenarkan. Meskipun begitu, sekiranya kesemua para waris bersetuju dengan wasiat tersebut, maka ia dibenarkan.
Perbahasan ini boleh dilihat dalam artikel kami yang bertajuk AL-KAFI 1225:
HUKUM MEWASIATKAN SEBAHAGIAN HARTA KEPADA ANAK di laman web Pejabat Mufti
Wilayah Persekutuan.
Penutup
Kesimpulannya, wasiat secara lisan adalah sah menurut
syarak dan boleh dilaksanakan, namun wasiat yang dilakukan secara bertulis
adalah lebih baik agar tulisan itu bertindak sebagai bahan pembuktian terhadap
wasiat di samping mengelakkan dari berlakunya pertikaian, perbalahan dan juga
pergaduhan sesama waris dan juga penerima wasiat, maka sebaiknya perkara ini
dielakkan. Meskipun begitu, sekiranya para waris redha dan setuju terhadap
wasiat yang dilakukan secara lisan, maka ia adalah sah dan mesti dituruti.
Akhir kalam, kami menasihati orang ramai agar melakukan wasiat dengan
didokumentasikan secara rasmi, supaya wasiat ini boleh terlaksana pada suatu
hari nanti dengan adanya pembuktian ini. Semoga Allah S.W.T memberikan
kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya, menetapkan hati kita, serta
memberkati segala amal kebajikan kita.
Wallahua’lam.
Sumber: Al Kafi li al-Fatawi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.