disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Selasa, 5 Mac 2024

MAIK Laksanakan Program Audit Kewangan Masjid Mulai Julai.

 Oleh Hidayatidayu Razali - Mac 3, 2024 @ 11:34pm bhnews@bh.com.my

(Gambar fail) Yang Dipertua MAIK,
Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
NSTP/HAZIRA AHMAD ZAIDI

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan melaksanakan program pengauditan kewangan masjid di Kelantan, tahun ini. 

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata justeru untuk memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, MAIK bersetuju melantik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan sebagai juruaudit luar bagi program itu. 

Beliau berkata, program itu akan bermula awal Julai depan dengan pengauditan membabitkan semua masjid negeri, bandar dan jajahan, diikuti masjid mukim kategori A. 

"Selepas selesai semua masjid berkenaan, program itu akan diteruskan kepada semua masjid mukim besar dan submukim," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Amanat Yang Berhormat Mulia Tengku Yang Dipertua Bersama Pegawai Masjid Kelantan. 

Tengku Mohamad Rizam menjelaskan, program pengauditan itu bukan bertujuan mencari kesalahan jawatankuasa masjid dalam menguruskan kewangan, sebaliknya ia akan menjadi elemen semak dan imbang serta tempat memberi teguran untuk menambah baik kaedah pengurusan kewangan terbabit.  

Sementara itu, beliau berkata, MAIK akan memperkenalkan skim taawun yang sama konsep dengan program takaful, bagi memastikan kebajikan pegawai masjid mukim sentiasa terjaga. 

"Skim ini adalah perlindungan perubatan dalam bentuk sumbangan kepada pegawai masjid mukim yang mempunyai penyakit biasa atau kritikal, termasuk yang dimasukkan ke wad untuk rawatan. 

"Kita mendapati ada pegawai masjid mukim tidak mampu menanggung kos rawatan perubatan yang tinggi, maka skim ini dapat membantu meringankan beban mereka," katanya. 

Beliau berkata, skim itu akan mula berkuat kuasa selepas diperkenankan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.


Sumber: BH ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.