Soalan:
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah hukumnya seorang anak membaca surah al-Mulk dan menyedekahkan pahalanya untuk kedua orang tua yang telah meninggal? Adakah arwah akan turut mendapat fadhilat-fadhilat surah al-Mulk?
Jawapan:
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan
pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat
dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak
langkahnya hingga hari kesudahan.
Berkenaan dengan persoalan di atas, memang surah al-Mulk mempunyai kelebihan apabila dibaca pada setiap malam. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ سُورَةً فِي الْقُرْآنِ ثَلاَثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِصَاحِبِهَا
حَتَّى غُفِرَ لَهُ : تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ
Maksudnya:
Sesungguhnya surah dalam al-Quran padanya 30
ayat, dapat memberi syafaat kepada seorang lelaki sehingga diampunkan. Ia
adalah surah al-Mulk.
Riwayat Ibn Majah (3786)
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Maka didapati padanya seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk hingga tamat. Lantas beliau menemui Nabi SAW lalu berkata:
يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا
لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ
الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
: هِيَ الْمَانِعَةُ ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.
Maksudnya:
Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah
tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca
surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda SAW, surah tersebut adalah
penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur.
Riwayat al-Tirmizi (2890)
Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Maksud al-mani’ah (المانعة)
adalah menegah dan menyelamatkan daripda azab kubur atau sebarang maksiat yang
mewajibkan hukuman azab kubur. Sedangkan yang menyelamatkan pula boleh jadi
sebagai penguat kepada ucapan mani’ah (المانعة) atau ia juga sebagai
menafsirkan. Dengan sebab itu ucapan selepas itu Rasulullah SAW menyebut
sebagai penyelamat daripada azab kubur. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/200)
Berdasarkan perbahasan di atas, kelebihan untuk penyelamatan dari azab kubur adalah khusus kepada pembacanya. Walaupun begitu, berkenaan dengan pertanyaan saudara, kelebihan membaca al-Quran dan secara umumnya apabila diniatkan kepada si mati, maka kami lebih cenderung kepada pendapat yang menyatakan sampai pahala tersebut. Kami cadangkan agar disertai dengan doa kepada si mati yang mana ia sudah pasti akan diperolehi oleh si mati. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ
ثَلاَثَةٍ : إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ
وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya:
“Apabila matinya seorang manusia, maka
terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu: sedekah jariah, atau
ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak yang soleh yang sentiasa
mendoakannya.”
Riwayat Muslim (4310), Abu Daud (2882), al-Nasa'ie
(6445) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (12635)
Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Dengan membaca Yasin
daripada anak dan lainnya berdasarkan hadis, "Bacalah Yasin di kalangan
orang mati daripada kamu”[1] beliau berkata, dan dengan doa daripada anak dan
lainnya seperti hadis di atas (atau anak yang soleh berdoa untuknya) dan hadis
‘hendaklah kamu beristighfar kepada saudara kamu (Abi Salamah) dan mintalah
supaya diberi thabat dan lain lagi daripada hadis dan semua yang dilakukan oleh
anak untuk kedua ibubapanya dari amalan yang soleh kerana hadis 'anak manusia
adalah dari usahanya'. Ada yang berkata dikiaskan semua tempat ini yang
menunjukkan datangnya dalil-dalil, maka dihubungkan kepada si mati setiap
sesuatu yang dilakukan oleh orang lain. Inilah ringkasan daripada apa yang
dikemukakan oleh al-Imam al-Syaukani dalam Nail al-Autar. (Lihat Tuhfah
al-Ahwazi bi Syarh Jami' al-Tirmizi, 3/276)
Jumhur ulama’ mazhab berpendapat bahawa do’a dapat memberi
manfaat kepada si mati. Imam al-Nawawi
berkata, ijma’ ulama’ berpendapat bahawa do’a ke atas si mati dapat memberi
manfaat dan sampai pahala kepadanya. (Lihat al-Azkar, hlm. 150)
Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ
لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا
غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya:
Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian
daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah
dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan
janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap
orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah
Belas kasihan dan RahmatMu".
(Surah al-Hasyr: 10)
Semoga orang tua kita atau arwah yang telah meninggal dunia
tatkala kita berbakti kepada Tuhan dan melakukan ibadat maka mereka akan memperolehi
pahala hasil didikan mereka kepada kita yang termasuk dalam anak dan zuriat
yang soleh.
Kami akhiri dengan berdoa kepada mereka yang telah mendahului kita:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهم، وارْحمْهم ، وعافهم ، واعْفُ عنْهم ،
وَأَكرِمْ نزُلَهم ، وَوسِّعْ مُدْخَلَهم واغْسِلْهم بِالماءِ والثَّلْجِ والْبرَدِ
، ونَقِّهم منَ الخَـطَايَا، كما نَقَّيْتَ الثَّوب الأبْيَضَ منَ الدَّنَس ، وَأَبْدِلْهم
دارا خيراً مِنْ دَارِهم ، وَأَهْلاً خَيراً منْ أهْلِهم، وأدْخِلْهم الجنَّةَ.
Nota Hujung:
[1] Sila rujuk Irsyad al-Hadith siri ke-117: Status Hadith“Bacalah Yasin kepada Orang yang Mati”
Pautan: Al Kafi li al-Fatawi
https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2932-al-kafi-990-baca-surah-al-mulk-untuk-si-mati
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.