Oleh:
Dr Muhammad Fathi Yusof - Felo Penyelidik
(Undang-undang
dan Perlembagaan),
Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST),
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Pelaksanaan undang-undang Islam termasuk yang berkaitan
dengan jenayah telah menjadi hasrat dan cita-cita pejuang Islam di Malaysia
sejak sekian lama. Apabila PAS mula memerintah Kelantan pada tahun 1990, satu
pasukan khas telah diwujudkan untuk merealisasi hasrat tersebut. Pasukan ini
menggabungkan pelbagai kepakaran dari kalangan pemimpin politik, ahli akademik
dan mengamalkan undang-undang. Hasilnya pada tahun 1993, satu Rang
Undang-undang Jenayah Syariah II telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Kelulusan undang-undang ini merupakan satu kejayaan besar kepada perjuangan
Islam di dalam negara.
Walau bagaimana pun, hasrat ini mendapat tentangan
keras dari pemimpin negara pada waktu itu. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad
telah menulis satu surat bertarikh 15 Julai 1994 yang menyatakan secara jelas
larangan pelaksanaannya serta memberikan amaran bahawa tindakan akan diambil
jika ia diteruskan. Dengan mengambil kira amaran itu dan pengalaman kerajaan
Kelantan di bawah PAS pernah berdepan dengan pengisytiharan darurat dan
dirampas kuasa melalui tindakan MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) pada tahun
1977, maka hasrat murni itu terpaksa ditangguhkan.
Usaha yang serupa dilakukan oleh kerajaan negeri
Terengganu di bawah pemerintahan PAS (1999-2004) apabila Enakmen Jenayah
Syariah 2002 telah diluluskan. Undang-undang ini telah diperkenankan oleh DYMM
Sultan Terengganu pada 2 September 2002, disiarkan dalam warta pada 23
September 2002 dan diisytiharkan berkuat kuasa pada 27 Oktober 2003. Namun, ia tidak
dapat dikuatkuasakan kerana tiada kerjasama dari kerajaan Persekutuan Malaysia.
Walau pun undang-undang jenayah Syariah di Kelantan dan
Terengganu belum dapat dilaksanakan, ia merupakan satu kejayaan dalam dakwah
kepada rakyat Malaysia dan juga masyarakat dunia. Pertamanya, ia membuktikan
bahawa undang-undang jenayah Islam boleh dikanunkan dengan sempurna dan baik
melalui mekanisme perundangan moden. Kedua, ia meneroka medan ijtihad yang
berani khususnya berkaitan dengan perlaksanaannya dalam sebuah negara berbilang
kaum. Ketiga, ia menunjukkan perlaksanaan hukum Allah adalah satu kewajipan
sebenar, bukan sekadar menjadikannya sebagai retorik atau propaganda politik.
Keempat, ia menjinakkan hati masyarakat agar semakin dekat dengan syariat Islam
dan yakin dengan kemampuan Islam menyelesaikan kemelut jenayah yang membarah.
Hasilnya, selepas hampir 20 tahun, semakin ramai pihak
yang mempunyai sikap terbuka untuk menerima hudud. Demikian juga dengan
lonjakan ketara sokongan bukan Islam terhadap undang-undang jenayah Islam. Persoalan yang timbul kini ialah dari sudut
pelaksanaannya. Apakah sebenarnya penyelesaian kepada penguatkuasaan yang
tertangguh ini. Di manakah ia sepatutnya bermula.
Apa halangan sebenar?
Pada dasarnya terdapat dua bentuk halangan perlaksanaan
Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan dan Enakmen Kesalahan Jenayah
Syariah (Hudud dan Qisas) 2002 Terengganu. Halangan pertama ialah halangan
politik iaitu sikap kerajaan Persekutuan yang tidak menyokong, tidak memberikan
kerjasama serta melarang pelaksanaannya. Halangan kedua ialah halangan
perundangan. Berikut dijelaskan terlebih dahulu halangan perundangan.
Halangan Perundangan
Halangan perundangan yang jelas ialah Akta Mahkamah Syariah
(Bidang kuasa Jenayah) 1965 mengehadkan skop kuasa Mahkamah Syariah. Seksyen 2
Akta itu memperuntukkan bahawa:
Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di
bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke
atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana
perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam
Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi
bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama
Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di
bawah mana-mana undang-undang bertulis:
Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah
boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara
selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau
sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.
Akta ini menetapkan had dari sudut jenis atau skop
kesalahan iaitu ‘kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh
orang-orang yang menganuti agama tersebut’. Buat masa ini skop kesalahan ini
ditafsirkan secara luas sesuai dengan keluasan Syariah Islam itu sendiri. Dalam
enakmen-enakmen jenayah syariah yang sedia ada sudah mengandungi
kesalahan-kesalahan seperti berjudi, muncikari, zina, sumbang mahram,
persetubuhan luar tabii dan seumpamanya. Bahkan bentuk kesalahan yang ada dalam
jenis hukum hudud seperti zina dan qazaf pun sudah ada dalam undang-undang hari
ini. Lihat contohnya seksyen 22 hingga 38 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)
1995. Sesetengah kesalahan yang disebut dalam enakmen ini sebenarnya juga
diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan. Contohnya seseorang yang didakwa melakukan
kesalahan liwat, dia tertakluk kepada dua undang-undang iaitu enakmen jenayah
syariah dan juga Kanun Keseksaan. Berdasarkan hakikat ini dapat disimpulkan
bahawa kewujudan kesalahan-kesalahan seperti mencuri, bunuh dan lain-lain
seperti yang disebutkan dalam Enakmen Jenayah Syariah 2 Kelantan adalah tidak
bercanggah dengan Akta. Jika hukuman bagi kesalahan itu ada disebut dalam
ajaran Islam, maka ia juga sepatutnya dianggap sebagai sebahagian dari jenayah
Syariah.
Namun demikian, seksyen 2 mengehadkan bidang kuasa
jenayah mahkamah Syariah dari sudut hukuman. Mahkamah Syariah tertakluk kepada
had hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau enam sebatan
atau gabungan mana-mana hukuman terbabit. Had inilah merupakan halangan sebenar
kepada enakmen jenayah syariah Kelantan dan Terengganu.
Memandangkan enakmen jenayah Syariah menetapkan hukuman
yang lebih tinggi seperti iaitu seratus rotan dan penjara yang lebih lama, maka
ia dikira pertentangan dengan Akta. Demikian juga hukuman yang tidak disebut
oleh akta itu seperti rejam dan potong tangan tidak boleh berkuat kuasa kerana
bertentangan dengan Akta. Mana-mana undang-undang negeri yang bercanggah dengan
undang-undang Persekutuan akan dikira tidak sah dan batal.
Bagi mengatasi halangan ini Parlimen perlu membuat
pindaan ke atas Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965
iaitu dengan menaikkan had yang disebut itu sesuai dengan kadar yang ditetapkan
oleh enakmen-enakmen terbabit.
Bercanggah Perlembagaan?
Isu kedua adalah berkaitan dengan percanggahan antara
enakmen jenayah syariah Kelantan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 4
secara jelas menyebut bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang
tertinggi dan mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya adalah
terbatal. Mana-mana akta atau Enakmen, termasuk enakmen jenayah syariah tidak
boleh bercanggah dengan Perlembagaan.
Aspek yang disebut bercanggah ialah Perkara 74
memperuntukkan agihan kuasa antara negeri dan Persekutuan berdasarkan Jadual
Kesembilan. Kerajaan persekutuan dan negeri hanya boleh membuat undang-undang
dan mentadbir dalam ruang bidang kuasa masing-masing. Jika mana-mana kerajaan
membuat undang-undang di luar bidang kuasanya, undang-undang itu adalah pertentangan
dengan Perlembagaan.
Oleh itu enakmen ini dianggap bercanggah dengan
Perlembagaan kerana ia mengadakan kesalahan-kesalahan seperti mencuri,
membunuh, merompak yang sebahagian besarnya bertindan dengan
kesalahan-kesalahan yang termasuk di dalam Senarai Persekutuan, Jadual
Kesembilan dan kesalahan-kesalahan ini terdapat dalam undang-undang Persekutuan
iaitu Kanun Keseksaan. Ini juga bercanggah dengan butiran 1, Senarai Negeri
yang mengehadkan kuasa membuat undang-undang jenayah Islam setakat mana ia
tidak ‘berkaitan dengan perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai
Persekutuan’.
Namun begitu dakwaan bahawa ia bercanggah dengan
perlembagaan masih boleh dipertikaikan. Ini kerana, jika ia dianggap bercanggah
maka undang-undang ke atas kesalahan berjudi, muncikari, zina, sumbang mahram,
persetubuhan luar tabii, zina dan qazaf yang sedia ada kini dalam
enakmen-enakmen jenayah syariah negeri juga dianggap bercanggah. Namun setakat
ini tiada orang yang mencabarnya, dan ia diterima umum sebagai undang-undang
yang sah.
Pertembungan kuasa
Contoh terbaik untuk menggambarkan pendekatan mahkamah
dalam kes ini ialah kes Mamat bin Daud lwn. Kerajaan Malaysia (1988) 1 MLJ 119.
Dalam kes ini plaintif-plaintif telah dituduh di bawah seksyen 298A Kanun
Keseksaan, yang baru dipinda bagi menambah satu kesalahan baru iaitu melakukan
tindakan di atas asas agama, yang boleh menjejaskan perpecahan atau menyebabkan
atau menjejaskan keharmonian di antara rakyat yang menganut agama yang sama
atau berbeza. Mereka dituduh melakukan tindakan yang menjejaskan perpaduan di
kalangan masyarakat Islam iaitu apabila bertindak sebagai bilal, khatib dan
imam yang tidak bertauliah. Mereka menuntut pengisytiharan bahawa s. 298A
adalah ultra vires dengan Perkara 74 kerana ia secara ‘inti pati dan isi’ (pith
and substance) berkaitan dengan agama Islam yang tertakluk kepada bidang kuasa
negeri, dan Parlimen tidak ada kuasa untuk membuat undang-undang tersebut.
Setelah meneliti secara terperinci, Mahkamah Agung
telah memutuskan dengan majoriti tiga daripada lima orang hakim, bahawa
tindakan yang dilarang oleh akta tersebut tiada kaitan langsung dengan
‘keselamatan awam’ yang tertakluk kepada bidang kuasa Persekutuan, sebaliknya
ia menyentuh secara langsung dengan agama Islam yang terletak di bawah bidang
kuasa negeri. Menurut Salleh Abas KHN :
Dengan melihat dari sudut pandangan yang sepatutnya,
setakat untuk perlaksanaan ke atas orang-orang Islam, seksyen yang
dipertikaikan ini adalah satu undang-undang yang bertujuan untuk memastikan
agama Islam diamalkan di negara ini menepati panduan, aturan dan amalan yang
dibenarkan oleh negeri-negeri…. Dalam meluluskan seksyen yang dipertikaikan
ini, saya tidak fikir bahawa Parlimen boleh bergantung kepada kuasa perundangan
berasaskan ketenteraman awam kerana penggunaan kuasa tersebut akan menyebabkan
pertembungan secara langsung dengan kuasa kerajaan negeri untuk membuat
undang-undang dan mengawal urusan amalan agama Islam.
Seah dan Mohamad Azmi HHMA yang turut bersetuju dengan
keputusan pengisytiharan pembatalan seksyen berkenaan menjelaskan;
…apa yang perlu diambil kira adalah isi atau inti pati
kepada sesuatu statut bukannya bentuk atau sifat luarannya… sebanyak mana pun
‘kosmetik’ digunakan untuk membuat ‘hiasan perundangan’ tidak dapat menutup
penyamaran dalam perundangan. Matlamat, tujuan dan bentuk seksyen yang
berkenaan mesti diterokai untuk mengenal pasti rupa sebenar dan inti pati
sesuatu undang-undang dan untuk mengenal pasti kategori undang-undang tersebut.
Hujah majoriti berkisar di sekitar tujuan dan matlamat
sebenar yang membawa kepada kewujudan seksyen 298A Kanun Keseksaan itu.
Walaupun diakui bahawa ia mempunyai kaitan dengan ketenteraman awam, tetapi
hubungannya dengan pengamalan agama Islam adalah lebih dekat dan hampir dengan
tujuan undang-undang itu diperkenalkan.
Keputusan ini memberikan ‘perlindungan’ kepada kuasa
perundangan terpenting kerajaan negeri iaitu hal ehwal agama Islam. Contohnya
dalam kes terdahulu iaitu Tengku Nik Maimunah lwn Majlis Ugama dan Adat Melayu
Negeri Terengganu [1979] 1 MLJ 157, mahkamah telah memutuskan bahawa persoalan
wakaf adalah di bawah bidang kuasa negeri berdasarkan Perkara 74 dan Senarai
Negeri, Jadual Kesembilan, maka undang-undang negeri yang berkaitan iaitu
Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Terengganu 1955 adalah berkuat kuasa.
Selagi negeri-negeri tidak menyerahkan kuasa membuat undang-undang kepada
kerajaan Persekutuan melalui beberapa mekanisme seperti Perkara 76 yang
membenarkan kerajaan Persekutuan membuat undang-undang di bawah bidang kuasa
kerajaan Negeri dengan sebab-sebab tertentu, selagi itulah Negeri mempunyai
kuasa perundangan mutlak ke atas urusan agama Islam. Jika di lihat kepada
pendekatan yang telah digunakan dalam kes-kes ini, kita dapat andaikan bahawa
enakmen jenayah syariah yang melibatkan hudud dan qisas di Kelantan dan
Terengganu adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Langkah penyelesaian
Walau bagaimana pun, halangan utama ialah halangan
politik. Jika ada kemahuan politik kekangan yang wujud dalam Perlembagaan
Persekutuan atau mana-mana akta boleh dirungkaikan dengan mudah. Jika kekangan
politik ini dapat diatasi tindakan yang wajar dilakukan untuk menjamin
kelancaran pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dengan meminda Akta Mahkamah
Syariah (Bidang kuasa) 1965 bagi membolehkan Mahkamah Syariah membicarakan
kes-kes jenayah berkaitan dan menjatuhkan hukuman-hukuman seperti potong
tangan, sebat dan mati. Peluasan kuasa ini bukan hanya dapat dinikmati oleh
Kelantan dan Terengganu, bahkan juga untuk negeri-negeri lain.
Selain itu, bagi memberikan laluan yang lebih selesa,
agar tidak dianggap wujud percanggahan antara enakmen jenayah syariah dan
undang-undang Persekutuan, maka perkataan ‘kecuali mengenai perkara-perkara
yang termasuk dalam senarai Persekutuan’ perlu digugurkan dari Butiran 1
Senarai Negeri. Bagi memberikan ruang yang lebih selesa perkataan jenayah
syariah dan skopnya perlu dimasukkan dalam Senarai Negeri.
Pilihan yang lain ialah dengan memberikan kuasa khusus
kepada Kelantan dan Terengganu untuk meluluskan dan menguatkuasakan
undang-undang berkaitan jenayah. Pada dasarnya bidang kuasa jenayah adalah di
bawah bidang kuasa Pusat melalui Jadual Kesembilan Perlembagaan, namun Parlimen
boleh meluaskan kuasa kerajaan negeri melalui Perkara 76A. Oleh itu enakmen
jenayah syariah boleh berkuat kuasa jika ia diberikan laluan melalui kaedah
ini.
Hak bukan Islam
Pemimpin dan rakyat bukan Islam tidak seharusnya gusar
dengan penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah di Kelantan. Undang-undang
yang diluluskan itu hanya meliputi orang-orang Islam sahaja. Oleh itu penganut
agama lain tidak tertakluk kepada undang-undang hudud.
Selain itu, persoalan hak asasi sewajarnya menjadi
pertimbangan pemimpin dan rakyat bukan Islam. Ini kerana hasrat untuk diadili
melalui undang-undang Islam adalah sebahagian dari hak asasi rakyat Kelantan
untuk beramal dengan agama sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Perkara 11
Perlembagaan Persekutuan. Jika mereka dihalang untuk mendapat keadilan melalui
sistem perundangan Islam, mereka sebenarnya dinafikan hak asasi untuk
mengamalkan agama mereka sendiri.
Selain itu, hak untuk diadili dengan undang-undang
jenayah syariah juga merupakan hak demokratik rakyat Kelantan. PAS secara
terbuka dan jelas menyatakan hasratnya untuk menguatkuasakan undang-undang
Islam. Undi majoriti yang diberikan kepada PAS di Kelantan pada pilihan raya
umum 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008 membuktikan kewujudan hasrat rakyat
Kelantan untuk mengamalkan undang-undang jenayah Islam. Menghalang pelaksanaan
Enakmen Kanun Jenayah Syariah bermakna menafikan hak demokratik rakyat
Kelantan.
Selain itu perlu diingat juga bahawa undang-undang
berkenaan hanya mahu dilaksanakan di Kelantan. Kedudukan Kelantan sebagai
sebuah negeri yang mempunyai ciri-ciri khusus perlu dihormati. Penghayatan
kepada semangat federalime meliputi pengiktirafan perbezaan yang wujud antara
satu negeri dengan negeri lain. Fakta bahawa undang-undang tersebut mendapat
sokongan kerajaan dan juga pembangkang di Kelantan juga satu yang unik. Seruan
dan titah Baginda Sultan Kelantan agar undang-undang itu dikuatkuasakan mengukuhkan
pandangan bahawa Kelantan perlu dibenarkan menjalankan undang-undang hudud.
Tegasnya, kini terpulang kepada pihak berkuasa
khususnya kerajaan Persekutuan untuk menggerakkan langkah bagi memberikan
laluan perlaksanaan undang-undang hudud di Kelantan. Sebenarnya kebenaran
perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah 2 Kelantan boleh dilakukan oleh kerajaan
Persekutuan tanpa perlu menunggu usul Rang Undang-undang Persendirian dari
wakil Kelantan. Jalan yang paling mudah ialah dengan meminda Seksyen 2 Akta Mahkamah
Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965. Pindaan ini boleh diusulkan oleh Menteri kerajaan Persekutuan menggunakan kaedah biasa. Ia boleh diluluskan dengan
sokongan majoriti mudah, tanpa perlu persetujuan dua per tiga ahli Parlimen.
Sumber
Sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.