disable

doa dan imej

doa dan imej
                                                                                                                                                                      

Selasa, 28 November 2023

RUKUN SOLAT DAN KESALAHAN DALAM SOLAT YANG BIASA DILAKUKAN.

 

APA ITU RUKUN?

Rukun ialah bahagian asasi daripada sesuatu benda, seperti dinding yang merupakan salah satu bahagian asasi bilik. Oleh itu, bahagian asasi solat ialah rukun-rukunnya seperti rukuk, sujud dan seumpamanya. Solat tidak akan berlaku dan tidak sah kecuali semua bahagian asasi soleh ini dilakukan dengan sempurna secara tertib sebagaimana yag ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang diambil daripada malaikat Jibril AS. Secara keseluruhannya, rukun solat mempunyai 13:

 

  1. Niat
  2. Berdiri betul bagi yang mampu
  3. Takbiratul ihram
  4. Membaca al-Fatihah
  5. Rukuk beserta toma’ninah
  6. I’tidal beserta toma’ninah
  7. Sujud
  8. Duduk antara dua sujud
  9. Duduk tahiyat akhir
  10. Membaca tasyahud pada tahiyat akhir
  11. Selawat ke atas Nabi SAW selepas tasyahud
  12. Salam pertama
  13. Tertib


PERINCIAN RUKUN SOLAT


1. NIAT

Niat ialah lintasan atau ingatan di dalam hati mahu mengerjakan solat itu. Dengan syarat mengetahui solat apa yang ingin dikerjakan dan telah masuknya waktu solat. Hal ini kerana niat akan berubah daripada adaa an (tunai) kepada qadho an (ganti) jika melakukan solat yang telah melebihi daripada waktu yang ditetapkan. Adapun niat secara lisan atau lafaz itu hanyalah sunat sahaja. Jika tidak mampu menyebut dengan kalimah arab, boleh juga diucap didalam Bahasa ibunda atau cukup sekadar niat melalui lintasan hati sahaja. Niat solat juga perlu dihadirkan di dalam hati ketika mengangkat takbiratul ihram

 

Sekurang-kurangnya niat itu merangkumi tiga perkara dibawah: 

Qasad (ﻗﺼﺪ) - iaitu solat semata-mata.

Ta’arudh (ﺗﻌﺮﺽ) - iaitu jenis fardhu

Ta’yin (ﺗﻌﻴﻴﻦ) - iaitu menentukan waktu solat yang hendak didirikan sama ada Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib atau Isyak.


Contohnya apabila seseorang hendak mendirikan solat Zuhur, memadai dia berniat “Sahaja aku solat fardhu Zuhur”

 

2. BERDIRI BETUL BAGI YANG MAMPU

Maksud berdiri dengan betul adalah berdiri tegak lurus iaitu tulang belakang tegak dengan dada menghadap kiblat. Sunat menundukkan sedikit kepala dan memandang ke tempat sujud. Sekiranya seseorang itu membongkok dengan kira-kira tapak tangannya mampu menyentuh lutut tanpa uzur, maka batal lah solatnya. Hal ini kerana rukun berdiri itu sudah tiada dalam solatnya.

 

Untuk yang tidak mampu berdiri dengan betul kerana cacat, bongkok atau sakit, boleh menunaikan solat mengikut cara yang termampu oleh mereka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solatlah dengan berdiri, sekiranya tidak mampu maka dengan duduk, sekiranya tidak mampu, maka dengan berbaring.” (HR Bukhari)

 

Sungguhpun begitu, sekiranya seseorang itu mampu berdiri pada beberapa bahagian sahaja dan tidak mampu pada beberapa bahagian yang lain, maka dikehendaki baginya untuk berdiri pada bahagian yang termampunya dan melakukan secara duduk pada bahagian yang tidak mampu. Sebagai contoh, Ahmad mampu berdiri tegak namun pinggangnya sangat sakit jika bongkok ketika rukuk. Oleh itu, Ahmad perlu berdiri tegak ketika takbiratul ihram sehingga selesai membaca Surah al-Fatihah dan duduk sahaja ketika melakukan rukuk. Kemudian, Ahmad perlu berdiri semula untuk melakukan I’tidal dan seterusnya sujud.

 

3. TAKBIRATUL IHRAM 

Takbiratul ihram adalah melafaz “Allahuakbar” untuk memulakan solat dengan suara yang dapat didengari sekurang-kurangnya oleh diri sendiri. Takbir juga mesti dilafazkan ketika berdiri betul. Lafaz ini tidak boleh dilafazkan dalam bahasa lain selain bahasa arab. Dibenarkan juga untuk menambah perkataan yang tidak mengubah nama Allah seperti menyebut ‘Allahu Jalilul Akbar’. Jika penambahan itu bukan merujuk kepada sifat Allah atau menterbalikkan kedudukan lafaz takbir maka itu tidak sah. Lafaz ini juga perlu dibuat dalam satu nafas sambil memasang niat.

 

Rasululullah SAW bersabda yang bermaksud: “Anak kunci solat ialah berwuduk, yang mengharamkan perlakuan yang dihalalkan sebelum solat ialah takbir dan yang menghalalkannya ialah salam.” (HR Tirmizi)

 

Jelas disini bahawa yang menghalalkan takbiratul ihram adalah salam. Maka berdosa bagi seseorang yang membatalkan solat dengan sengaja kerana dianggap meremehkan ibadah solat. Adapun jika terbatal kerana salah satu perkara yang membatalkan solat telah berlaku, eloklah dengan memberi salam sebagai adab untuk menghabiskan solat yang dikerjakan dan bersegera untuk mengambil wudhu semula.

 

4. MEMBACA SURAH AL-FATIHAH 

Surah al-Fatihah wajib dibaca pada setiap rakaat solat dengan tajwid yang betul. Bukan itu sahaja, bacaan Basmalah juga wajib dibaca kerana termasuk dalam salah satu ayat Surah al-Fatihah. Tidak boleh dibaca dengan Bahasa selain Bahasa Arab. Jika tidak mampu membacanya seperti muallaf hendaklah digantikan dengan tujuh ayat Quran yang lain. Jika tidak mampu juga memadai dengan zikir yang hampir sama panjangnya dengan bacaan al-Fatihah. Namun, wajib baginya untuk mempelajari membaca surah al-Fatihah dengan tertib dan tajwid yang betul. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak (sah) solat bagi seseorang yang tidak membaca Fatihatul Kitab (surah al-Fatihah).” (HR Bukhari)

 

Bagi makmum atau seseorang yang mengejarkan solat pada waktu sir seperti Zuhur dan Asar, maka bacaan Surah al-Fatihah mestilah mampu didengari oleh pembaca sekiranya mempunyai pendengaran yang normal.

 

5. RUKUK BESERTA TOMA’NINAH 

Rukuk ialah membongkokkan badan dan kepala ke hadapan sehingga sama rata dengan punggung. Kedua-dua telapak tangan dilekapkan pada kedua-dua kepala lutut. Mata pula melihat kearah tempat sujud. Sunat berdoa atau bertasbih sewaktu rukuk. Sekiranya tidak tahu berdoa atau bertasbih, cukup diam seketika sekadar masa membaca sekali “Subhanallah”. Berada dalam keadaan tersebut dinamakan toma’ninah.

 

Maksud Toma’ninah 

Toma’ninah dalam bahasa mudah bawa maksud bertenang. Ibarat memandu kenderaan, waktu di simpang hentikan kereta sepenuhnya sebelum bergerak semula. Selagi kenderaan itu masih bergerak, tidaklah dikira tamakninah

 

6. IKTIDAL BESERTA TOMA’NINAH 

Iktidal ialah berdiri tegak selepas rukuk. Perlu ada tomakninah dalam keadaan berdiri tegak sebelum beralih ke rukun solat seterusnya. Kadar tomakninah sama seperti rukuk, iaitu kadar sekali nafas atau kadar menyebut “subhanallah”. Jika bacaan doanya panjang, jangan sampai melebihi daripada lamanya berdiri membaca al-Fatihah. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Allah tidak akan memerhatikan solat seorang hamba yang tidak menegakkan punggungnya di antara rukuk dan sujudnya.” (HR Ahmad)

 

7. SUJUD DUA KALI 

Sujud ialah merendah dan tunduk. Sujud yang minimum adalah meletakkan dahi yang terdedah ke tempat solat. Tapak tangan dilekapkan rata pada tempat sujud bersetentang dengan bahu. Sujud dilakukan dua kali untuk setiap rakaat. Sunat berdoa atau bertasbih sewaktu rukuk. Sunat meletakkan hidung ketika sujud. Sujud yang sempurna adalah dengan meletakkan semua tujuh  anggota sujud di atas lantai.

 

Anggota sujud adalah: 

  • Dahi
  • Kedua-dua tapak tangan
  • Kedua-dua lutut
  • Kedua-dua kaki


8. DUDUK ANTARA DUA SUJUD. 

Duduk antara dua sujud ialah duduk sebentar selepas sujud pertama sebelum melakukan sujud yang kedua dalam setiap rakaat. Sujud ini juga perlu dilakukan dengan toma’ninah. Duduk ini juga dilakukan secara iftirasy iaitu membaringkan tapak kaki kiri dan duduk diatasnya sementara tapak kaki kanan ditegakkan dengan anak-anak jari dihadapkan ke kiblat. Kedua-dua tapak tangan diletakkan di atas kedua-dua paha dengan hujung jari berada hampir dengan pangkal lutut. Disunatkan berdoa dan beristighfar. Seurang-kurang kadarnya dengan mengucap tasbih. Tidak duduk terlalu lama melebihi masa sekurang-kurang tasyahud.

 

9. DUDUK TAHIYAT AKHIR 

Duduk tahiyat akhir ialah duduk ketika membaca tahiyat akhir sebelum memberi salam. Duduk ini dilakukan secara tawarruk  iaitu dengan melipatkan kaki kanan dan menegakkan tapak kaki dan jari kaki dihadapkan ke kiblat manakala mengeluarkan kaki kiri bersilang di bawah kaki kanan dan kedua-dua tangan diletakkan di atas peha.

 

10. MEMBACA TASYAHUD PADA TAHIYAT AKHIR

Tasyahud pada tahiyat akhir dibaca mengikut sebagaimana yang telah diajarkan oleh Nabi SAW, salah satunya:

 

 

Bacaan mestilah didengari oleh pembaca. Bacaan juga mestilah secara berturut-turut dan menggunakan Bahasa Arab. Jika tidak mampu, cukup sekadar membaca terjemahan yang yang diketahui, namun tetap wajib baginya untuk mempelajari menyebutnya dalam Bahasa Arab dan menjaga makhraj setiap huruf yang akan disebut.

 

11. SELAWAT KE ATAS RASULULLAH SAW SELEPAS TASYAHUD 

Bacaan selawat ke atas Rasulullah SAW selepas tasyahud, sekurang-kurangnya dengan membaca “Allahumma Solli ‘Ala Muhammad, Wa’ala Ali Muhammad”. Rasulullah SAW juga bahkan berselawat atas dirinya semasa Baginda mendirikan solat.

 

Antara selawat lain yang boleh diamalkan adalah selawat Ibrahimiyyah seperti berikut:

 

 

12. SALAM PERTAMA 

Memberi salam yang pertama adalah penutup solat dengan ucapan “Assalamualaikum Warahmatullah” sambil berpaling muka ke kanan. Ataupun sekurang-kurangnya dengan lafaz “Assalamualaikum. Disambung pula memberi salam sambil berpaling muka ke kiri adalah sunat

 

13. TERTIB

Setiap rukun solat wajib dilaksanakan dengan tertib iaitu mengikut turutan.

 

KESALAHAN DALAM SOLAT

Sesungguhnya manusia sentiasa lupa dan alpa dalam kehidupan hariannya. Walau telah melalui perkara yang sama setiap hari pasti akan ada sahaja kecuaian yang berlaku. Yang lebih merbahaya apabila kita membiasakan kesilapan yang dilakukan. Justeru, setelah diketahui rukun solat beserta kaedah dan syarat diatas, bahagian ini akan menyatakan kesalahan dalam solat yang sering berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia khususnya. Kesalahan ini dinyatakan bukanlah dengan tujuan untuk mencari kesalahan atau kekurangan seseorang tetapi sebagai iktibar dan penambahbaikan seseorang dalam ibadahnya. Antara kesalahan dalam solat yang biasa dilakukan adalah:

 

-Mengangkat takbir dalam keadaan belum berdiri dengan betul.

Keadaan ini kebiasaannya berlaku apabila seorang makmum yang ingin mengejar pahala solat jemaah dalam keadaan terburu-buru. Niat yang baik namun tindakan yang menyebabkan solatnya tidak sah kerana berdiri dengan tegak adalah rukun solat

 

-Sengaja membatalkan solat tanpa sebab

Kesalahan ini jelas dinyatakan sebelum ini bahawa ianya seolah-olah mempersendakan ibadah solat itu sedangkan solat adalah waktu dan ketikanya untuk bertemu dan bersujud kepada Allah SWT dan bukannya untuk bermain-main. Biasanya kesalahan ini berlaku dalam kalangan anak-anak kecil atau yang masih muda. Ibubapa lah yang berperanan untuk memastikan solat mereka dalam keadaan yang bersedia dan khusyuk.

 

-Baca Surah al-Fatihah dlm hati

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa membaca Surah al-Fatihah adalah rukun qauli iaitu rukun lisan. Bagaimana mungkin seseorang boleh menjaga makhraj dan tajwid bacaan tersebut jika membacanya didalam hati. Wajib keatas kita untuk menyebutnya secara lafaz dan mampu didengari oleh pembaca bagi pengikut mazhab Syafie. Bahkan bacaan perlu jelas ketika solat jahar (baca kuat) mahupun sir (baca perlahan).

 

-Tidak menjaga tajwid bacaan al-Fatihah

Sesetengah pihak masih mengambil ringan tentang hukum tajwid. Selemah-lemah apapun ilmu kita tentang Islam, wajib keatas kita untuk sentiasa memperbaiki bacaan al-Quran terutama surah al-Fatihah. Makhraj dan sebutan huruf mestilah tepat disamping kelajuan bacaan yang tidak terlalu terburu-buru juga diambil kira.

 

-I’tidal tanpa toma’ninah

Rukun Iktidal mesti disertai toma’ninah iaitu bertenang dalam tempoh sekurangnya mengucapkan tasbih.

 

-Rukuk dan sujud terburu-buru seperti ayam yang mematuk

Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Bahwasanya Rasulullah SAW melihat seorang lelaki  tidak menyempurnakan rukuknya dan mematuk-matuk dalam sujudnya, sedang dia lagi bersolat. Maka berkatalah Rasulullah SAW: Sekiranya orang ini mati dalam keadaan begini, matilah dia di luar agama Muhammad. Kemudian Nabi SAW berkata: Perumpamaan orang yang tidak menyempurnakan rukuk dan mematuk-matuk dalam sujudnya, adalah seumpama orang lapar memakan sebiji atau dua biji kurma yang tiada mengenyangkan(tiada memberi faedah apa-apa baginya).“

 

-Siku diletakkan diatas lantai ketika sujud seperti anjing yang berehat

Telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA Nabi SAW telah bersabda, yang bermaksud, “Hendaklah kamu sekelian sujud dengan betul dan jangan kamu hamparkan dua lengannya seperti kedudukan tangan anjing.”

 

-Tidak menjaga makhraj ketika membaca tasyahud dan selawat ke atas Nabi

Antara sebutan yang sering terlepas pandang adalah pada perkataan “sayyidina” yang mempunyai tanda sabdu pada huruf ya dan membacanya dengan “saidina”.

 

-Memalingkan kepala ke kiri dan ke kanan ketika solat

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Allah SWT sentiasa berharap kepada para hamba-Nya dalam solatnya, selama hamba itu tiada berpaling-paling. Apabila hamba itu memalingkan mukanya,berpalinglah Allah SWT daripadanya.”

 

Kita juga digalakkan untuk selesai membuang air besar dan kecil, makan dan minum sebelum melakukan ibadah solat. Tindakan ini  adalah salah satu cara agar seseorang mendapatkan khusyuk didalam solat dan mengelakkan fikiran daripada memikirkan hal duniawi saat solat sedang dikerjakan.

Hakikatnya, terdapat banyak lagi kesalahan dalam solat yang masih ramai belum tahu tetapi telah dibiasakan hingga kini kerana tidak ada yang menegurnya. Justeru, sebarkanlah ilmu kepada mereka agar mereka sentiasa berjaga-jaga dan tidak mengambil ringan dalam hal solat.

 

Wallahua’lam.



Sumber: Perkim Datuk Keramat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.