USTAZ INDERA SHAHRIL BIN MOHD SHAHID, PENGURUS HARTA BAITULMAL, MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS)
“ARWAH bapa semasa hayatnya pernah memberitahu kami adik-beradik bahawa adik bongsu kami adalah anak angkat yang dibinkan dengan bapa angkat iaitu bapa kami.
Sekarang usianya telah menjangkau 25 tahun. Arwah bapa telah meninggal dunia kira-kira tiga bulan lepas.
Arwah bapa meninggalkan kami anak-anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan, berserta ibu (isteri arwah bapa) dan adik angkat.
Manakala harta pusaka yang ditinggalkan adalah tiga bidang tanah seluas 2-3 ekar setiap satu, sebuah rumah lot banglo, sebuah rumah kondominium dan tiga buah kereta. Sehingga kini, harta-harta pusaka tersebut belum dibahagikan lagi.
Arwah bapa juga tidak meninggalkan wasiat atau hibah kerana terlantar sakit selama setahun sebelum meninggal dunia.
Persoalannya, adakah adik angkat kami layak menerima harta
pusaka kerana telah dibinkan dengan bin arwah bapa?”
JAWAPAN:
Isu kedudukan perwarisan harta pusaka kepada anak angkat sememangnya selalu berbangkit.
Sama ada dibinkan kepada bapa angkat atau tidak, sebenarnya anak angkat tidak layak untuk mewarisi harta pusaka ibu atau bapa angkatnya mengikut hukum syarak.
Anak angkat adalah seorang anak yang mulia di sisi ibu bapa angkatnya.
Selalunya, anak angkat ini dipelihara ialah kerana pasangan suami isteri itu tidak mendapat anak atau mereka mempunyai anak, namun ingin menambahkan keceriaan lagi dalam keluarga lalu mengambil seorang anak angkat. Sejak kecil hingga dewasa, anak angkat ini dipelihara oleh ibu bapa angkatnya seperti anak kandung mereka sendiri.
Demikian juga, sebagai anak angkat, mereka itu akan berbakti kepada ibu bapa angkatnya hingga ke akhir hayat mereka.
Namun, walau bagaimana kaya sekalipun ibu bapa angkatnya, anak angkat tetap tidak berhak mewarisi harta pusaka.
Ini kerana anak angkat tiada hubungan pertalian darah dan tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkat mengikut hukum syarak.
Walau bagaimanapun, bukanlah ini bermakna anak angkat dibiarkan begitu sahaja sehingga tidak diberikan apa-apa oleh ibu bapa angkat.
Persepsi terhadap anak angkat oleh sesetengah pihak yang meminggirkan anak angkat disebabkan oleh fahaman bahawa anak angkat tidak berhak mewarisi, sebenarnya tidak tepat.
Berilah sebahagian daripada harta pusaka kepadanya atau setidak-tidaknya kasihilah mereka.
Sebenarnya hukum faraid ditentukan oleh ALLAH SWT untuk mewariskan harta pusaka kepada kaum keluarga yang mempunyai pertalian darah dengan si mati.
Soalnya, bagaimana nasib anak angkat yang sememangnya tidak mempunyai pertalian darah dengan ibu bapa angkatnya?
Bolehkah mereka mewarisi harta pusaka ibu dan bapa angkat
sedangkan ibu bapa angkat sangat menyayangi mereka seperti anak kandung mereka?
Agama adil
Islam adalah agama yang adil dan prihatin kepada semua golongan manusia.
Memang benar anak angkat tidak berhak mewarisi harta pusaka secara faraid.
Tetapi ibu bapa angkat mempunyai pilihan untuk memberikan sebahagian hartanya kepada anak angkat semasa hidup yang dinamakan sebagai hibah.
Hibah adalah pemberian harta semasa hidup yang melangkaui kepada sesiapa pun penerimanya.
Waris-waris lain boleh menikmati harta pusaka namun, anak angkat telah mendapat harta yang diberikan oleh ibu bapa angkatnya semasa hayat mereka dahulu.
Islam juga membenarkan ibu bapa angkat mewariskan sebahagian daripada harta mereka kepada anak angkat melalui wasiat.
Wasiat adalah pemberian harta yang dilaksanakan selepas mati.
Dengan berwasiat, anak angkat akan mewarisi paling maksimum 1/3 daripada harta pusaka ibu bapa angkat mereka, manakala baki 2/3 bahagian lagi akan diwarisi oleh waris-waris si mati secara faraid.
Anak angkat adalah bukan waris, maka anak angkat layak menerima
wasiat sekiranya wasiat dibuat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.